Halaman

01 April 2013

Pas ulang tawar manifesto tipu rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindakan Pas mengulangi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) bagi PRU13, diibaratkan seperti membuka pekung di dada berikutan kegagalan parti itu ketika mentadbir Terengganu pada 1999-2004 lalu.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Rosol Wahid berkata usaha Pas menguar-uarkan janji dalam manifesto amat memalukan kerana tawaran yang sama ketika diberi peluang mentadbir negeri ini, ketika itu juga tidak mampu dilaksanakan.


 “Jadi kali ini mereka juga menabur janji dengan menawarkan manifesto yang sama itu kepada rakyat. Malah, adalah sesuatu yang tidak bijak jika rakyat termakan dengan janji-janji ini kerana sudah terbukti mereka gagal melaksanakan pada PRU10 lalu.

“Oleh itu, kita minta rakyat berfikir banyak kali kerana Rasulullah s.a.w bersabda : `Seorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua’.. orang Islam tidak akan dipatuk oleh ular dalam satu lubang dua kali. Sudah tahu dalam lubang itu ada ular, kena patuk sekali kalau hulur pula sekali lagi, satu tindakan yang amat bodohlah,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat. Dato’ Rosol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil meminta rakyat Terengganu dan Malaysia amnya berfikir semasak-masaknya mengenai manifesto dan janji-janji PRU yang dijaja oleh pembangkang di seluruh negara kerana pihak itu bijak menabur janji sebelum memperolehi sesuatu yang dihajati.

Katanya, perkara yang sama juga terbukti berlaku di negeri yang diperintah pembangkang termasuk Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan kegagalan menunaikan pelbagai janji sejak mula mentadbir pada 2008 sehingga kini.

 “Inilah sikap sebenar pembangkang yang suka menghalalkan sebarang cara untuk mencapai matlamat untuk ke Putrajaya.

“Bagaimanapun, tidak kepada Barisan Nasional kerana sejak dulu sampai sekarang dan selama-lamanya kita akan berpijak di bumi nyata. Kita hanya akan menawarkan apa yang kita mampu laksanakan kerana menepati janji itu suatu perkara yang penting dalam agama,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini setiap janji yang tertulis dalam Manifesto BN (PRU12) jika tidak tertunai seratus peratus pun, lebih 90 peratus sudah dilaksanakan.

Pada masa yang sama, Dato’ Rosol berkata, walaupun pembangkang menuduh tindakan Kerajaan Pusat mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengakibatkan negara menanggung hutang dan bankrap, tuduhan itu ternyata tidak benar sama sekali.

 “Negara tidak bankrap walaupun BR1M sudah dua kali dilaksanakan dan bantuan itu akan diberikan secara berterusan.

“Ini menunjukkan tuduhan mereka semborono dan tiada asas. Kita yakin dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN yang bertujuan mendahulukan rakyat dalam semua aspek bagi mastikan negara aman dan sejahtera.

Beliau berkata banyak fakta yang membuktikan keupayaan Kerajaan BN dan Umno yang memerintah sejak PRU1 hingga menghampiri PRU13 menyebabkan kedudukan ekonomi dan politik negara semakin hari semakin bertambah baik.