Halaman

03 April 2013

Taktik kotor Pas tarik orang ramai dengar ceramah

Taktik kotor pembangkang didedahkan Pergerakan Puteri Umno negeri.
Oleh: Aida Abd Rahman

Demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin memuncak turut mengheret kepada pelbagai tindakan tidak berasas pembangkang dalam usaha meraih undi rakyat supaya memihak kepada mereka demi merampas kuasa pemerintahan.

Dalam sibuk berkempen, pembangkang didakwa menggunakan taktik kotor apabila menyebarkan poster ceramah di Kampung Pujuk, Manir tidak lama lagi dengan tertera ahli panel sebagai `bekas Ketua Puteri Umno’ sebagai usaha menarik perhatian orang ramai.

Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Puan Nordiana Shafei, berkata`bekas Ketua Puteri Umno’ berkenaan, Puan Rusni Hassan cuba mengaburi orang ramai dengan `menjual’ dirinya sebagai mantan ketua dalam sayap bongsu Umno itu, sedangkan dia hanya pernah memegang jawatan Ketua Penaja Puteri Cawangan Banggol Donas pada 2001 lalu sebelum jawatan itu diambil alih Puteri yang lain setahun kemudian.

“Untuk makluman bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus dari zaman (Ketua) Penaja hingga sekarang tidak bertukar lagi, iaitu Puan Aida Azam. Saya tidak tahu Puan Rusni ini dia mendapat jawatan daripada mana.Saya pun tidak mengenali (siapa) Puan Rusni ini.

 “Saya harap pihak pembangkang yang mengeluarkan poster ini dan mendakwa Puan Rusni sebagai bekas Ketua Puteri (Umno) ini supaya janganlah mengelirukan orang ramai dengan dakwaan sebegitu,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Ketua Puteri Bahagian Marang, Puan Marina Endut dan Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu , Puan Zurina Abd Rahman.

Puan Nordiana yang juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu, tidak menolak tindakan pembangkang mengaitkan Puteri Umno itu sebagai sandaran mereka bagi meraih sokongan orang ramai supaya datang mendengar ceramah dan menyokong mereka.

“Saya rasa inilah taktik kempen kotor yang diamalkan oleh pembangkang ketika PRU13 yang semakin hampir.

"Jadi kita nasihatkan pembangkang berkempen dengan cara yang betul dan tidak mengaitkan nama Puteri Umno dalam siri kempennya kerana ini mengelirukan orang ramai, cuba menarik golongan muda supaya hadir untuk mendengar sendiri kononnya, wanita berkenaan sebagai bekas Ketua Puteri (Umno),” katanya.

Sebelum itu, Rusni pernah menggunakan taktik serupa pada 2012 menyebabkan laporan polis dibuat oleh Puan Aida (Ketua Puteri Kuala Nerus) bagi menghentikan perbuatan itu, selain membersihkan penyalahgunaan gelaran oleh Rusni ketika itu yang mendakwa sebagai `mantan Ketua Puteri Kuala Nerus’.

Katanya, kali ini, wanita yang berasal dari Negeri Sembilan serta berkahwin dengan lelaki tempatan dan menetap di Banggol Donas itu sekali lagi bertindak menggelarkan dirinya sebagai bekas Ketua Puteri Umno’.

Sementara itu, Puan Aida berkata pihaknya yakin Rusni bertindak demikian disebabkan tidak berpuas hati dengan kaedah pengagihan kurma dan air zam-zam sumbangan Kerajaan Terengganu yang tidak mengikut kemahuannya dan berkaitan isu gantian balik tanah kediamannya yang terlibat dengan projek pembinaan lebuh raya di Jeram, Manir.

 “Rusni mungkin tidak berpuas hati apabila dipindahkan di kawasan lebih jauh berbanding di kawasan tempat tinggal asalnya. Hanya kerana ketidakpuasan hati beliau terhadap beberapa perkara termasuk soal pengagihan kurma, dia keluar daripada Puteri Umno dan menyertai Pas.

"Tindakan keluar Umno itu atas sebab peribadi, bukan agenda Puteri atau hal yang berkait dengan politik semasa pada ketika itu.

 “Harapan saya sebagai Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus saya menasihartkan Puan Rusni menghentikan segera dalam siri ceramahnya yang sentiasa menyalahkan Puteri dan juga ahli politik di kawasan Kuala Nerus serta Adun Teluk Pasu dengan mendakwa dirinya sebagai mantan Ketua Puteri Kuala Nerus,” ujarnya.

Beliau berkata, dakwaan itu mengelirukan masyarakat di luar sana sedangkan dia bukan bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus, sebaliknya hanya bekas Ketua Puteri Penaja di peringkat cawangan pada 2001 lalu.