Halaman

31 March 2013

Hargai kerajaan yang utamakan kebajikan : Wan Mahyuddin

Haji Wan Mahyuddin (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Belia 4B Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam diminta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi hari ini hasil keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak berjanji palsu sepertimana pembangkang.

Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata terlalu banyak bantuan dan kemudahan yang disediakan Kerajaan BN untuk memastikan rakyat hidup dalam sejahtera dan selesa.


“Tinggalnya, kerajaan hanya mahu rakyat memanfaatkan setiap bantuan dan tidak sesekali terikut dengan desakan mahupun hasutan pihak yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang ada ini.

 “Apabila tiba hari mengundi, yang akan berlangsung tidak lama lagi, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita semua harus memikul amanah dan keluar membuang undi. Pilihlah kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan bukan sekadar melaungkan janji-janji mahupun manifesto yang ternyata mereka gagal laksanakan sepanjang diberi peluang mentadbir,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Belia 4B Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kubang Parit, Encik Rusli Bidi, semua AJK JKKK kampung dan lebih 200 penduduk.


Pertandingan yang julung kali dilaksanakan di parit tali air kampung itu disertai 60 peserta di kalangan penduduk kampung berkenaan yang berusia 10 hingga 60 tahun.

Selain itu, Haji Wan Mahyuddin berkata, keamanan dan kesejahteraan di kalangan penduduk dengan persekitaran yang harmoni membolehkan program santai seperti pertandingan memancing itu dilaksanakan dengan jayanya, malah ia harus dipertahankan sampai bila-bila.

ENCIK RUSLI
Sementara itu, menurut Encik Rusli, pertandingan itu bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, malah mengajar generasi muda erti mencintai dan menghargai alam sekitar termasuk tidak mengotorkan sumber air yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan air tawar.

“Program ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan generasi muda, pertengahan dan orang lama yang saling bergandingan bagi menjayakan matlamat penganjuran, malah mereka yang lebih muda terdidik untuk lebih mementingkan kebersihan alam sekitar terutama parit tali air yang wujud nenek moyang mereka lagi.

 “Selain itu, apa yang penting semua peserta seronok , walaupun ada sebahagiannya pulang tangan kosong tanpa berjaya menaikkan ikan, sekurang-kurangnya penyertaan mereka satu pengalaman baru selain dapat berkumpul bersama keluarga pada hujung minggu dalam aktiviti yang santai,” katanya.