Halaman

12 April 2013

Penduduk jumpa DVD lucah pemimpin pembangkang.

Oleh:  Mohammad Ishak

Penduduk Kampung Alur Lintang, dekat sini,  terkejut dengan penemuan cekera video digital (DVD) lucah yang memaparkan imej seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di halaman rumah mereka semalam.

Penyebaran VCD dipercayai dilakukan pihak tertentu yang meletakkan antara satu dan dua keping DVD di pintu pagar rumah penduduk menyebabkan orang ramai tertanya-tanya.

Menurut penduduk kejadian itu disedarai kira-kira jam 8 pagi ketika hendak membuka pintu pagar dan ternampak DVD berkenaan yang diberselerak di pintu pagar rumah.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali dengan panggilan “Kak Yah’ 60, berkata pada mulanya beliau ternampak dua keping DVD di atas tanah dihadapan pintu pagar ketika hendak membuka pintu pagar.

ISU VIDEO SEX SETIAUSAHA AGUNG PAS YANG TERSEBAR: HAJI HADI MINTA JANGAN AIBKAN ORANG HATTA DATO’ NAJIB SEKALIPUN

Oleh: LB 


“Saya tak suka politik seperti ini dilakukan untuk mengaibkan pemimpin hatta kepada Dato’ Najib sekalipun”.

Presiden Pas berkata, beliau akan solat hajat bersendirian bagi mendapat pertunjuk Allah mengenai isu pembongkaran video sex yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustaffa Ali.

Adakah akan diambil apa-apa tindakan kepada mana-mana pihak, beliau menjawab tidak. “Saya akan adakan solat hajat secara sendiri untuk mendapat pertunjuk Allah”.

Beliau menjawab soalan wartawan di masjid Rusila tengahari hari ini 12 April 2013 selepas mengimamkan solat Jumaat.

Beliau yang kelihatan terkejut dengan kehadiran beberapa wartawan sebelum lancar pentas bergerak penerangan Pas Marang untuk PRU 13.

Sewaktu berucap merasmikan pentas (pentas lori bergerak) itu beliau hanya berucap kira-kira seminit sahaja dan terus turun balik meninggalkan majlis.

Bila ditanya apakah Mustaffa Ali akan bertanding di mana-mana, beliau mengesahkan Mustaffa tidak bertanding.

“Dia bertanding seluruh Malaysia.....dia adalah Pengarah Pilihanraya Pas Malaysia,” jawab Presiden Pas itu.

Mengenai desas desus Dato’ Harun Din akan keluar parti Haji Hadi menjawab: “Harun Din akan bertanding di Perlis”.

 

Nik Dir dengar setiap denyut nadi warga Rhu Rendang

Oleh : Amirullah Othman 

Warga Rhu Rendang harus bersyukur apabila mendapat sentuhan yang memberangsangkan dari pemimpin yang begitu mengambil berat setiap permasalahan penduduk tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

 Haji Nik Dir Nik Wan Ku yang merupakan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu untuk menjaga setiap kebajikan rakyat dalam DUN berkenaan dengan baik, tanpa jemu.

Walaupun DUN Rhu Rendang dimenangi oleh pembangkang pada pilihan raya yang lepas, namun wakil rakyat pembangkang , Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak melaksanakan tanggungjawabnya selaku yang berhormat di kawasan itu.

Tugas dan tanggungjawab ini dipikul oleh Haji Nik Dir Nik Wan Ku dengan melaksanakan setiap program dan menyampaikan pelbagai bantuan setiap hari tanpa mengira waktu.

Haji Nik Dir juga memandang tinggi dan menghormati semua warga Rhu Rendang yang datang berjumpa dengannya dan cuba menyelesaikan semua masalah rakyat.

Hebatnya Haji Nik Dir Nik Wan Ku ini sanggup berpanas dan berhujan demi menjaga kebajikan dan mempertahankan nilai ukhuwah rakyat Dun Bukit Payong.

Jangan cetus pergaduhan-Polis

Oleh; Esah Abdullah

Polis Kontinjen Terengganu mengingatkan penyokong parti tidak menimbulkan kekecohan yang boleh mencetuskan pergaduhan dalam tempoh berkempen dan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Jurucakap Polis Terengganu Semasa Pilihanraya 13, Superintenden Koh Ah Tiam berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan segera mengenai isu yang berlaku menjelang pilihanraya termasuk pemasangan bendera atau poster oleh penyokong parti yang tidak beretika.

“Setakat ini polis menerima lima kes yang dilaporkan mengenai isu pilihanraya masing-masing dua kes Kemaman dan Dungun serta satu di Kuala Terengganu.

``Dua kes di Kemaman berlaku pada 8 April telahpun dituduh di mahkamah pada 10 April lalu dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 seorang,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu semalam.

Katanya, ini membuktikan pihak polis mengambil serius berkenaan laporan yang melibatkan kejadian menjelang pilihanraya.

 Selain itu, beliau mengingatkan adalah perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menampal bendera dan poster supaya tidak berlaku perebutan tempat yang boleh mencetus pergaduhan.

``Penyokong parti juga tidak dibenarkan menampal bendera di premis persendirian, kecuali mendapat kebenaran pemilik,’’ ujarnya. Katanya, polis sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan semua penyokong parti tidak mengambil tindakan di luar lunas undang-undang.

Menurutnya, parti yang ingin mengadakan ceramah ditempat-tempat awam perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sepuluh hari belum majlis berlangsung bagi memudahkan polis membuat pemantauan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

 Sehubungan itu, orang awam yang ingin mendapatkan pengesahan maklumat mengenai ketenteraman awam dan pilihanraya boleh layari facebook rasmi komuniti Polis Terengganu bagi mendapatkan makluamt yang sahih.

 “Orang ramai boleh layari di https:/www.facebook.com/PDRMTerengganu dan facebook rasmi Polis Diraja Malaysia di https:www.facebook.com.PolisDirajaMalaysia,” katanya.

 

636,00 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Suriati Ali 

Seramai 636,000 penduduk di Terengganu yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13).

 Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 636,00 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi.

 “Hanya 40,357 orang atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih.

 “Berdasarkan perangkaan SPR, penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya (34.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.1 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (29.3 peratus), Sarawak (29.3 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

 “Berdasarkan jumlah 636,000 individu layak mengundi di seluruh Terengganu, bilangan pengundi Parlimen Kuala Terengganu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 94,561 orang, diikuiti Kemaman (92,087), Marang (90,926) dan Dungun pula mencatatkan 78,298.

 “Bagi Parlimen Kuala Nerus pula seramai 76,351 orang layak mengundi, Besut (72,703), Setiu (67,407) dan paling rendah, Setiu dengan jumlan 63,667 orang,” katanya.

 Encik Fakhrul Razi turut mengingatkan semua pengundi diminta menyemak kembali status lokasi mengundi masing-masing bagi mengelak kekeliruan dan kekalutan ketika proses pilhan raya berjalan.

 “Semakan daftar pemilih boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR berdekatan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada waktu bekerja.

 “Pengundi juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

 Katanya, pihaknya ada menerima aduan, pengundi tidak menyedari alamat mengundi `berpindah’ ke lokasi lain sedangkan mereka telah mengisi borang pertukaran alamat.

 “SPR tidak mahu lagi mendengar perkara seumpama ini berulang, oleh itu, mereka dinasihatkan segera menyemak status lokasi mengundi masing-masing sebelum tiba hari pilihan raya,” katanya

 

Pengaruh Pas makin hilang

Oleh: Aida Abd Rahman

Angin perubahan yang mula meresapi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sejak beberapa tahun lalu memberi petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Pegawai Pembanguan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

“Kesedaran orang muda terutamanya, terhadap Umno dan BN yang terbukti mampu dan sudah banyak memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara semakin baik.

“Semakin ramai penyokong Pas sudah mula sedar dan perlahan-lahan meninggalkan parti itu apabila mereka mula menghadiri majlis anjuran BN dan juga Umno. Jadi mesej itu amat jelas kepada BN untuk kembali merampas DUN ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Seramai 25,274 pengundi berdaftar sehingga suku keempat tahun lalu kini tiada pilihan lain lagi melainkan memastikan DUN itu kembali kepada BN sebagai memastikan kesinambungan kestabilan politik antara DUN, negeri dan juga Pusat.

 “Jika majoriti hampir 7,000 isi rumah yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 termasuk suami dan isteri masing-masing yang melibatkan jumlah kira-kira 14,000 orang tahu erti bersyukur.Majoriti mereka inilah bakal merubah dan memberi kemenangan kepada BN pada PRU13 nanti,” katanya.

Beliau berkata, BR1M membuktikan dasar kerajaan yang telus dan adil, malah usaha untuk meneruskan bantuan itu pada tahun akan datang seharusnya membuka mata rakyat untuk menolak pembangkang yang hanya pandai berjanji dan retorik.

Bukan sekadar menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri dan Pusat kepada penduduk terlibat, Haji Wan Mahyuddin berkata, dia turut meneruskan kegiatan rutin memasuki kawasan kubu kuat Pas bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sepatutnya, tanpa ianya dipolitikkan.

 “Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu mereka. Namun saya sudah lali dengan situasi itu. Itu amanah kepada saya dan saya akan laksanakan sebaik mungkin.

 “Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun, golongan itu masih menganggap kita seumpama `membawa bom’ untuk menghancurkan mereka pula,” katanya.

 Beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DUN itu walaupun terpaksa berdepan dengan golongan yang sentiasa memandang negatif terhadap setiap usaha baik itu.


Presiden Pas bersandiwara lagi

Oleh: Cicit Laksamana 

Jelas dan nyata sekali, Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, bersandiwara lagi apabila beliau sendiri mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sebelum ini, beliau mengumumkan kemungkinan besar tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, pada pilihan raya kali ini.

Masih segar lagi di ingatan rakyat Terengganu, Abdul Hadi mengumumkan bahawa beliau kemungkinan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN jika begitu kehendak parti.

Pemerhati politik lantas membuat andaian bahawa itu taktik beliau yang mahu menguji sokongan penyokong Pas terhadapnya setelah populariti parti itu merudum berikutan beberapa isu yang melibatkan hubungannya dengan DAP.

Tidak kurang juga yang berpendapat pengumuman itu hanya sekadar taktik Presiden Pas itu bagi meraih simpati pengundi, khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Pas.

Nampaknya Abdul Hadi mengikut jejak langkah beberapa pemimpin Pas sebelum ini yang pernah menggunakan taktik serupa dengan menyatakan keazaman mereka untuk berundur sebelum pilihan raya, tetapi bila sampai masanya, mereka membuat pusingan-U dengan mengubah pendirian kononnya parti masih memerlukan khidmat mereka.

Selain pengumuman untuk mempertahankan kerusi Parlimen Marang, Abdul Hadi turut memaklumkan Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau turut mengesahkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang bertanding di Parlimen berkenaan pada PRU12, diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen Pendang.

Kali ini kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan Mat Sabu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2008, bakal ditandingi anak tempatan.

Pengumuman tersebut dibuat selepas mesyuarat kepimpinan Pas Pusat hampir lima jam di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 Nampaknya, Mat Sabu terpaksa ‘balik kampung’ pada PRU13 setelah beliau ditolak oleh pengundi Terengganu pada tahun 2008.

Berdasarkan sokongan semasa rakyat negeri ini terhadap BN, calon baru Pas di Kuala Terengganu akan menimpa nasib yang sama seperti Mat Sabu pada PRU13.

 Dan tidak mustahil jika Abdul Hadi sendiri akan ‘tersungkur’ pada pilihan raya ini seperti yang pernah dialaminya pada Pilihan Raya Umum pada tahun 1986 dan 2004.

 

Terengganu negeri kebajikan

Banyaknya projek dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN Terengganu

Kelas Maya

Kerajaan Terengganu akan memastikan kesemua kira-kira 700 sekolah rendah dan menengah di negeri ini melaksanakan kelas maya dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sekurang-kurangnya satu kelas maya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak RM1 juta disediakan setiap tahun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pegawai Pembangunan DUN melibatkan RM500,000 bagi Bantuan Am yang boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti skrin sesentuh dan monitor.

E-book

Sehingga ini, kira-kira 114,000 murid sekolah rendah di seluruh negeri telah diberi e-Book melibatkan perbelanjaan RM114 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

Kerajaan negeri membuat pelaburan yang besar pada setiap tahun bagi membiayai bidang pendidikan, termasuk membeli e-Book bagi kegunaan murid-murid dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di semua sekolah rendah.

Bantuan Persekolah/pakaian sekolah Kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan RM150 untuk sekolah menengah. Sejak tahun 2008 hingga 2012 sejumlah peruntukan melebihi RM50 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut untuk manfaat kira-kira lebih 500,000 pelajar.

 

11 April 2013

5 Mei mungkin cuti umum di Terengganu

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri akan menimbang untuk membenarkan cuti umum pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) pada 5 Mei depan, bagi membolehkan penduduk Terengganu menunaikan tanggungjawab mereka.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan khas berkaitan perkara itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

 “Kita belum memutuskan lagi sama ada ia cuti atau tidak, apabila tiba masa nanti akan diberitahu, “ katanya.



 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Ke-40, di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud; Mantan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengumumkan senarai calon untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini selepas mendapat watikah dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 “Kita tidak mahu melengah-lengahkan perkara ini, sebaik saja dapat kebenaran dan watikah dari pucuk pimpinan, sehari selepas itu, kita akan umumkan calon-calon berkaitan,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata manifesto BN Terengganu yang bakal diumumkan nanti ada sedikit tambahan berbanding manifesto BN Pusat.

 “Apa yang pasti, ianya bukan janji kosong atau janji tidak logic seperti apa yang dumumkan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.



 Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad bersama rombongan sempat meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

 Pelbagai aktiviti diadakan sempena majlis sambutan yang diadakan selama tiga hari dan berakhir 13 April itu, termasuk pertandingan memasak, peraduan kuiz, demontrasi produk usahawan, pertandingan sukan rakyat dan seminar kerjaya.

 






Janji Pas bagai racun

Oleh; Esah Abdullah

Jangan termakan janji yang ditabur pemimpin Pas yang hanya kelihatan manis diluaran tetapi hakikat sebenarnya ia racun yang telah memusnahkan ikatan perpaduan dalam masyarakat.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Noh berkata, sudah banyak bukti angkara Pas, masyarakat berpecah belah dan jiran tidak bertegur sapa.

“Malah ada suami sanggup memberi talak kepada isteri dan abang tidak mengaku adik dan menularnya sikap pelik ini datangnya dari ketaksuban terhadap pemimpin pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat jangan tertipu lagi kerana apa yang dicanangkan pemimpin pembangkang itu tidak lebih daripada usaha membeli undi.

Katanya, mereka tidak pernah bersedia untuk perhambakan diri membantu rakyat yang susah tetapi mengejar cita-cita peribadi untuk menjadi ‘yang berhormat’.

Tambahnya, rakyat perlu bersyukur dengan limpahan nikmat yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mencurahkan pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.

 “Bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.

Beliau kemudiannya mengajak semua rakyat beri undi kepada BN dalam pilihan raya nanti serta sokong siapa saja calon yang dipilih pucuk pimpinan parti untuk memberi khidmat kepada rakyat.