Halaman

23 April 2013

Kerja keras pertahan BN – Cikgu Lan

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) merupakan parti keramat yang perlu dipertahankan bagi terus menerajui negara untuk mengekal keharmonian dan kedaulatan bangsa dan agama.

Calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Encik Bazlan Abd Rahman, 49, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Lan berazam untuk pertahankan kawasan yang diwakili demi kesejahteraan umat seluruhnya.

“Saya akan bekerja keras bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu terutama meningkatkan taraf kehidupan golongan petani, nelayan dan penternak khususnya dalam kawasan saya,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang berasal di Kampung Pengkaan Atap Batu Rakit itu sebelum ini bertugas sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Batu Rakit, memegang beberapa jawatan penting dalam Umno sejak 1990 iaitu sebagai Ketua Pemuda Umno Cawangan Padang Polis. Diikuti Bendahari Penyelaras Pemuda DUN (1992-1995), Setiausaha Pemuda DUN (1995-2000),

Pengerusi Penyelaras Pemuda DUN dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno bahagian Setiu (2000-2008), Antara jawatan dalam parti yang dipegang bermula 2008 hingga sekarang ialah Penolong Setiausaha Umno Bahagian Setiu, Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih bahagian, Setiausaha Biro Penerangan bahagian,

Pengerusi Bilik Gerakan Parlimen dan Pengerusi Pusat daerah Mengundi (PDM) DUN. Encik Bazlan mendirikan rumah tangga bersama Siti Zaimah Mahmod, 47 dan dikurnia sepasang cahaya mata Muhammad Jamaluddin, 24 dan Siti Nur Adila,14.

 Beliau berkelulusan Sijil Perguruan (1987) kemudian mengikuti Kursus Ijazah Sarjana Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan kepujian (2011).

 “Jadual harian saya kini padat dengan turun padang berjumpa pengundi di kampung-kampung untuk menyampaikan hasrat pucuk pimpinan parti mendapat mandate besar bagi meneruskan tradisi membela rakyat,” katanya.

 

CALON N03 JERTEH




CALON N01 KUALA BESUT



CALON P 033 BESUT



Abdul Hadi dicabar buat laporan polis berhubung calon PKR jual pil kuda


Ahmad beramah mesra dengan calon BN Parlimen Besut,Idris,Nawi, Dr A Rahman,Muhamad Pehimi dan Mohd Mahdi.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kemelut Pakatan Pembangkang negeri ini semakin parah apabila Presedin Pas, Dato,Seri Abdul Hadi Awang, tergamak melebalkan calon dari PKR sebagai penjual pil kuda dan mengamal fahaman komunis.

“Tuduhan itu, amat berat dan perlu difikirkan semula oleh penyokong pembangkang terhadap gabungan parti terbabit,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Katanya, kenyataan Abdul Hadi itu juga satu penghinaan besar kepada kepemimpinan PKR kerana tuduhan itu adalah serius.

Ahmad berkata,sepatutnya, Abdul Hadi juga tanpil membuat laporan polis jika benar dia tahu dan ada maklumat mengenai kegiatan haram calon PKR terbabit.

Beliau berkata, PAS memang tamak kuasa dan tidak mahu PKR bertanding di negeri ini malah membuat tuduhan sebegitu rupa kepada calon PKR.

“Rakyat sudah Nampak permainan politik Pakatan Pembangkang yang sejak awal lagi menghadapi masalah calon dan belum menjadi kerajaan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan jentera pilihan raya DUN Kota Putera, di Kampung Raja, pagi tadi.

Ahmad berkata, Pemuda Umno Terengganu juga akan membuat laporan polis petang ini berhubung kenyataan Presiden Pas itu.

Hadir sama calon BN Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh,Calon DUN Kota Putera, Mohd Mahadi Musa, Nawi Mohamad (Hulu Besut), Muhamad Pehimi Yusof (Jertih) dan Dr A Rahman Mokhtar DUN Kuala Besut.

Menteri Besar berada sehari suntuk di daerah Besut dengan jadual pertama menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jam 2.30 petang di Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, jam 5 petang PPD Jertih dan 9 malam di PPD Hulu Besut.

Gema Gangsa johan pertandingan gamelan kebangsaan 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kumpulan Gema Gangsa dari Universiti Islam Antarabangsa muncul johan dengan mengenepikan 12 pasukan dalam Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013, di Universiti Malaysia Terengganu, malam tadi.



Kemenangan julung kali itu membolehkan pasukan itu membawa pulang RM10,000 beserta piala iringan, manakala tempat kedua milik kumpulan Alkis Gemawan dari Selangor dan ketiga, Sanggar Kirana dengan masing-masing memperolehi RM8,000 dan RM6,000 termasuk piala iringan.

Sementara Anugerah Khas Juri Persembahan Tradisional Terbaik turut diraih kumpulan Alkis Gemawan sekaligus membawa pulang hadiah tambahan berjumlah RM2,000 serta piala iringan. Manakala 10 kumpulan yang tidak bernasib baik untuk mendapat tiga tempat utama itu, tetap pulang tanpa tangan kosong apabila masing-masing mendapat hadiah saguhati berupa RM3,000 dan sijil penyertaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dengan diiringi Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013.

Pertandingan gamelan yang berlangsung dua hari sejak 20 April lalu merupakan program kali kedua anjuran Kerajaan Terengganu bagi mewujudkan satu dimensi baru untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai rentak dan genre gubahan baru.

Selain itu, ia bertujuan mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu untuk menonjolkan hasil-hasil ciptaan lagu-lagu tradisi mereka untuk disebarkan kepada umum.



22 April 2013

Petugas PAS langgar peraturan pasang bendera di bangunan KRT milik kerajaan


Bangunan KRT Bandar Jertih jadi sasaran PAS

Oleh: Mohammad Ishak 

Pas sudah terdesak apabila penyokongnya memasang bendera parti di pagar Pejabat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih  sedangkan bangunan itu adalah premis kerajaan.

Tindakan penyokong parti pembangkang yang memasang bendera parti itu dipercayai dilakukan malam tadi dan disedari ahli jawatankuasa KRT terbabit pagi ini.

Setiausaha KRT Bandar Jertih, Abdul Aziz Hassan berkata, beliau terkejut apabila melalui Jalan Pasir Akar kira-kira jam 8 pagi ini dan ternampak bendera parti PAS dipacak dipagar bangunan pejabatnya.

Katanya, bangunan KRT yang terletak berhadapan dengan bangunan Pejabat Pas Kawasan Besut, adalah antara premis kerajaan yang menjadi sasaran penyokong pembangkang.

Beliau berkata,pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana ia mencabul peraturan kerana bangunan kerajaan tidak boleh dipasang dengan mana-mana bendera parti termasuk Barisan Nasional (BN).

 “KRT adalah sebuah pertubuhan di bawah naungan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tetapi kami bersikap berkecuali,” katanya.

Katanya, jika boleh KRT pun mahu memasang bendera BN tetapi kami terikat dengan peraturan dan tidak wajar Pas pula yang mengambil tempat.

Beliau berharap, pemimpin Pas Besut mengambil tindakan sewajarnya dan menanggalkan bendera berkenaan sebelum pihaknya membuat laporan polis terhadap perbuatan berkenaan.

Kontraktor diminta sumpah laknat sebelum dapat projek

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri bercadang untuk mengenakan syarat akuan bersumpah laknat mengikut hukum Islam kepada semua pemilik syarikat kontraktor di negeri ini sebelum meluluskan sesuatu tender atau projek kerajaan.



 Langkah itu wajar dikuatkuasa bagi mengelak sebarang musibah, selain mahu membuktikan segala projek yang diluluskan itu telus dan bebas daripada gejala rasuah.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihak cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13) .

 “Pendekatan ini cukup penting kepada kita kerana pembangkang sering gemar melemparkan tuduhan melulu tanpa menunjukkan bukti sahih, selain gemar menjadikan isu rasuah sebagai bahan berkempen.

“Apa yang dikesalkan, saya juga turut dikatakan terlibat dalam rasuah berkaitan `skandal’ pengagihan balak, fitnah itu jelas tidak benar dan saya berani bersumpah pada majlis ini dengan lafaz, Wallahi, Wabillahi dan Watallahi,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah; Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu segala fitnah yang dilemparkan itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa dan SPRM, biar mereka siasat sama ada beliau bersalah atau tidak.

“Pembangkang hanya pandai membuat tuduhan dan mengadakan demonstrasi bagi menarik perhatian, mengapa tidak laporkan kepada pihak yang berkuasa, biar mereka siasat.

 “Jika terbukti salah, saya rela dikenakan tindakan tatatertib atau sebarang hukuman, tetapi sehingga tiada lagi sebarang tangkapan,” katanya.

 




PRU13:Jentera BN bekerja untuk menangkan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru jentera parti bekerja keras dan mengelak daripada memberi tumpuan kepada individu tertentu bagi memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama calon Parlimen Kuala Terengganu , Zubir Embong (BN) beramah mesra dengan kakitangan media Terengganu semasa melawat  Pusat Media Pilihanraya Umun ke-13 , Jabatan Penerangan Negeri Terengganu  di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, jentara parti tidak seharusnya memberi tumpuan kepada individu sepanjang kempen pilihan raya ini kerana calon-calon yang diketengahkan hanya `alat’ sementara bagi memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.

“Saya menyeru jentera parti bekerja untuk parti, bukan untuk individu kerana individu hanya sebagai alat sementara sahaja, selepas tamat masa kita, orang lain pula akan menggantikan tempat kita.

 “Perjuangan parti mesti diteruskan. Ini kita harus faham sebagai ahli parti. Sebagaimana juga saya beritahu, adat berkampung, kampung kita pertahankan, adat negeri, negeri kita pertahankan, adat negara, negara kita pertahankan dan adat parti, parti yang harus kita pertahankan,” kata beliau kepada pemberita sempena kunjungan dan perasmian Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar turut meninjau operasi pusat itu yang berperanan sebagai tempat untuk mengakses maklumat berkaitan PRU13 untuk semua petugas media di Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Paun Azizah Awang dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat. Turut hadir, calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan Ketua Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kesetiaan kepada parti perlu mendahului sokongan kepada pemimpin bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati yang boleh menjejaskan perjuangan selama ini jika sesuatu yang dihajati tidak terlaksana.

“Macam yang saya kata, saya hanya sementara, takkan kalau orang lain, apabila kamu menyokong saya, jika saya tiada, nak bersara dan merajuk. Itu tidak boleh. Kita perlu bekerja untuk parti. Sebab itu jika dulu dia pernah menjadi calon dan menyeru rakyat menyokong dan memberi peluang kepadanya.

“ Pada masa yang sama, ramai juga orang lain yang tidak berpuas hati tidak menjadi calon. Ramai juga hendak menjadi calon. Tetapi boleh mengawal perasaan dengan baik.

 “Sekarang tiba giliran kita pula tidak menjadi calon, orang lain yang menjadi calon, kita tolonglah beri sokongan. Yang bertanding itu siapa? Kawan kita, ahli parti kita. Kalau bukan keluarga kita sekurang-kurangnya dia ahli parti bersama-sama dengan kita. Kenapa kita sanggup memusnahkan mereka, sabotaj sehingga kalah. Apa yang kita dapat. Mungkin Kita dapat kepuasan, tetapi sampai bila,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau akan meneruskan lawatan ke seluruh bahagian secara berperingkat-peringkat dan meluangkan masa sehari di setiap DUN sehingga tamat hari berkempen bagi menemui rakyat, pemimpin dan jentera parti.

Beliau juga melihat perkembangan positif di setiap DUN serta bahagian yang dilawati, malah yakin semua masalah di peringkat awal akan pulih sepenuhnya menjelang hari pengundian pada 5 Mei ini.


Kunjungan MB mengubat sedih tiga beradik OKU

Dato' Seri Haji Ahmad Said (dua kiri) mendengar cerita wakil calon Batu Buruk (BN), Dato'  Haji Che Mat Jusoh mengenai kebakaran rumah yang membabitkan tiga beradik OKU di Kampung Nibong, pagi ini.
Oleh; Esah Abdullah

Kesedihan tiga beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) mangsa kebakaran dari Kampung Nibong, Jalan Panji Alam Kuala Terengganu sedikit terubat apabila dikunjungi Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said tengahari tadi.

Kesediaan Dato’ Seri Haji Ahmad meluluskan peruntukan RM55,000 di bawah Tabung Bencana Alam untuk membaikpulih kerosakan rumah berkenaan ternyata melegakan mereka bertiga yang kini menumpang di rumah salah seorang saudara bersebelahan rumah pusaka itu.


Tiga beradik lembam itu ialah Mohd Johari Omar, 41, Mohd Junaidi Omar, 37 dan Mohd Jamaluddin Omar, 26, manakala adik bongsu mereka Munirah 19, juga OKU tinggal bersama seorang lagi saudara mereka Mohd Jamari Omar, 38.

Rumah pusaka dua tingkat berusia 50 tahun itu musnah sama sekali dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira 8.30 pagi pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Mereka berlima menjadi yatim piatu setelah kehilangan ibu tiga tahun lalu manakala bapa meninggal pada 2007 dan rumah pusaka itu merupakan tempat tidur tiga beradik kerana untuk makan dan minum akan ke rumah Mohd Jamari yang tinggal bersebelahan.


Mohd Jamari ketika ditemui berkata, sejak ibu dan bapa meninggal, beliau menjaga makan minum tiga adik serta seorang abang yang kesemuanya OKU dengan penuh reda kerana itu amanah arwah kedua ibu bapanya.

Abang (Johari) dan dua adiknya (Junaidi dan Jmaluddin) mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan manakala Munirah yang tinggal bersamanya dan tidak mendapat apa-apa bantuan setakat ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu merupakan kakitangan Percetakan Nasional Berhad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang prihatin terhadap musibah yang menimpa serta menghulur bantuan bagi meringankan beban keluarganya.

 “Saya akan baiki segera rumah pusaka itu dengan peruntukan yang diterima dan berharap adik beradiknya kembali ceria selepas ini,” katanya.

Turut mengiringi Menteri Besar dalam kunjungan berkenaan  ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk Dato’ Haji Che Mat Jusoh.