Halaman

22 April 2013

Petugas PAS langgar peraturan pasang bendera di bangunan KRT milik kerajaan


Bangunan KRT Bandar Jertih jadi sasaran PAS

Oleh: Mohammad Ishak 

Pas sudah terdesak apabila penyokongnya memasang bendera parti di pagar Pejabat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih  sedangkan bangunan itu adalah premis kerajaan.

Tindakan penyokong parti pembangkang yang memasang bendera parti itu dipercayai dilakukan malam tadi dan disedari ahli jawatankuasa KRT terbabit pagi ini.

Setiausaha KRT Bandar Jertih, Abdul Aziz Hassan berkata, beliau terkejut apabila melalui Jalan Pasir Akar kira-kira jam 8 pagi ini dan ternampak bendera parti PAS dipacak dipagar bangunan pejabatnya.

Katanya, bangunan KRT yang terletak berhadapan dengan bangunan Pejabat Pas Kawasan Besut, adalah antara premis kerajaan yang menjadi sasaran penyokong pembangkang.

Beliau berkata,pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana ia mencabul peraturan kerana bangunan kerajaan tidak boleh dipasang dengan mana-mana bendera parti termasuk Barisan Nasional (BN).

 “KRT adalah sebuah pertubuhan di bawah naungan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tetapi kami bersikap berkecuali,” katanya.

Katanya, jika boleh KRT pun mahu memasang bendera BN tetapi kami terikat dengan peraturan dan tidak wajar Pas pula yang mengambil tempat.

Beliau berharap, pemimpin Pas Besut mengambil tindakan sewajarnya dan menanggalkan bendera berkenaan sebelum pihaknya membuat laporan polis terhadap perbuatan berkenaan.