Halaman

22 April 2013

Jangan kerana nyamuk kelambu dibakar-Pengerusi BN

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk mengambil tindakan terhadap ahli Umno di negeri ini yang bertindak menjadi calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

“Segala tindakan yang bakal diambil saya serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin Pusat yang akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Pesara dan Bekas-bekas Polis bersama Menteri Besar di Hotel Permai Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu, Dato’ Haji Jamshah Mustafa dan Timbalannya Dato’ Hamzah Md Jamil serta Pengerusi Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia Terengganu Haji Hussin Awang Ngah serta 500 pesara dan bekas polis seluruh negeri.

Katanya, setakat ini dua ahli Umno yang mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas ialah Encik Zulkiflee Salleh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan Haji Mohd Yusop Majid DUN Permaisuri.

“Saya anggap tindakan mereka itu lebih kepada masalah peribadi dengan calon yang bertanding di kawasan berkenaan serta kurang menghayati perjuangan parti dan sanggup meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti,” katanya.

Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan mereka yang sanggup membelakangkan kepentingan parti semata-mata untuk kepuasan diri.

“Jangan campur adukkan masalah peribadi dengan perjuangan parti dan janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya.

Menteri Besar juga memuji sikap beberapa bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin kanan parti yang tidak dicalonkan semula tetapi sanggup turun padang dan memberi sokongan kepada calon baru bagi memenangkan BN.

 “Itu contoh sikap mereka yang sayangkan parti, kalau dulu ketika nama kita naik orang sokong kita dan hari ini bila giliran orang lain kita sokong mereka pula, baru adil,” katanya.