Halaman

23 April 2013

Pemuda desak Hadi dedah calon terlibat edar pil khayal

Oleh: Aida Abd Rahman 

Pemuda Umno Negeri Terengganu tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa terdapat calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlibat dengan pengedaran pil kuda.



Ketuanya, Encik Saiful Bahri Baharuddin mendesak supaya Abdul Hadi mendedahkan nama individu yang terlibat sebagai membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan pemimpin Pas terbabit.

“Abdul Hadi mesti membuktikan calon PKR memang betul-betul terlibat dengan kes pengedaran pil khayal itu bagi memastikan kesahihan kenyataan beliau (dalam ceramah) itu.
 
“Dia mesti buktikan kerana kami Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) tertunggu-tunggu siapa calon PKR yang terlibat dengan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi dipercayai mengeluarkan kenyataan itu ketika menyampaikan ceramah di Tebakang, Alur Limbat, Marang, malam kelmarin.

Terdahulu, Presiden Pas itu berkata tindakan Pas menurunkan calon bertanding di tiga kawasan yang turut ditandingi PKR adalah bagi emnyelamatkan parti itu dan pakatan pembangkang daripada anasir `syaitan’.

Menurut Abdul Hadi, Pas mendapat maklumat ada calon yang melakukan kerja `haram’ dengan bertindak mengedar pil kuda serta mempunyai fahaman bertentangan apabila meletakkan gambar pejuang revolusi komunis Rusia iaitu Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin di markas parti mereka.

Encik Saiful berkata, sekiranya benar apa yang didakwa Presiden Pas itu, ia jelas membuktikan bahawa calon-calon yang dicadangkan oleh PKR mempunyai masalah akhlak kerana terlibat dengan gejala jenayah dan sosial.

“Kes itu membuka mata pengundi terutama orang muda tentang wujudnya ketidaksepakatan dan kepincangan antara Pas dengan PKR berhubung isu calon sehingga menimbulkan masalah sedemikian,” katanya. 

Katanya, kejadian itu juga menyerlahkan lagi bahawa pakatan pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu yang mungkin berpunca dengan masalah dalaman antara kedua-dua parti khususnya dalam soal mengetengahkan calon yang sesuai di satu-satu kerusi.

Sehubungan itu juga, Pemuda Umno juga bersetuju dengan cabaran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (ketika sidang media di Besut), supaya Abdul Hadi tampil membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan beliau itu.