Persatuan Bekas Polis Malaysia Terengganu (PBPMT) memberi ingatan kepada lebih 4,800 ahli seluruh negeri terus setia kepada kerajaan memerintah kerana itu termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Persatuan.
Pengerusinya, Haji Hussin Awang Ngah, berkata mana-mana ahli yang tidak mematuhi Undang-undang Tubuh Persatuan bakal berdepan tindakan disiplin.
“Sekiranya terdapat mana-mana ahli secara jelas mempamerkan sikap tidak menyokong kerajaan memerintah tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Hotel Permai baru-baru ini.
Katanya, mereka terbabit akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Pusat dan surat tunjuk sebab akan dikeluarkan mengapa tindakan tidak boleh diambil kepada mereka.
Menurutnya setakat ini belum ada mana-mana ahli yang secara jelas mempamerkan sikap mereka menentang kerajaan, sebaliknya tidak menolak kemungkinan ada yang bangkang secara sembunyi.
“Tindakan tegas akan diambil jika ahli menjadi calon, pencadang atau penyokong calon bertanding atas tiket parti pembangkang,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan sikap segelintir anggota pasukan keselamatan berpaling kepada parti pembangkang apabila bersara serta menyifakan perjuangan mereka sebelum itu adalah sia-sia.
“Semasa bertugas kita memikul senapang serta sanggup tahan kepala dan dada kita terdedah dengan ledakan peluru musuh semata-mata untuk pertahankan negara tetapi selepas bersara kita belot kepada negara, apa maknanya tu,” katanya.
Baginya, selagi bernama pejuang bangsa dan negara walaupun sudah bersara, sampai bila-bila pun kedaulatan dan keamanan negara mesti dipertahankan kerana itu ikrar anggota keselamatan.
“Contohnya, kita dirikan sebuah rumah yang lengkap dan cantik hasil keringat ketika bekerja makan gaji , tetapi bila pencen kita mahu potong tiang dan runtuhkan rumah berkenaan, tentu ia tidak rasional,” katanya.
Beliau seterusnya mengharapkan rakan-rakan seperjuangan terus sematkan rasa cinta dan sayangkan negara daripada diceroboh oleh petualang yang ingin merosak keharmonian yang ada.
“Semua orang ada masalah, tetapi jangan jadikan ia suatu dendam yang boleh memudaratkan semua orang sebaliknya bawa berbincang supaya yang keruh boleh dijernihkan,” katanya.