Pas yang ketandusan isu dilihat terus memainkan isu hudud sebagai gimik politik pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sedangkan mereka sendiri tidak mampu melaksanakannya, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
"Hudud ini sudah lama diperkatakan dan Pas cakap nak laksanakan, ia bukan isu yang baru. Tetapi dia sendiri tak mampu buat..ia hanya gimik politik setiap kali pilihan raya..belum sampai masanya hendak dilaksanakan di Malaysia, bukan kita menolak hudud,” katanya kepada pemberita selepas menikmati sarapan bersama rakyat di Marang Waterfront, hari ini.
Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyerahkan bantuan bulanan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 141 penerima baru di Marang, di Balai Raya Kampung Paya.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.
Menteri Besar menyifatkan isu hudud sudah lapuk dan tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN pada PRU13 termasuk di kawasan dikenali sebagai kubu pembangkang. Katanya, rakyat kini semakin sedar, Pas hanya tahu memainkan isu politik, sedangkan BN yang melakukan pelbagai pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi bagi membantu rakyat di seluruh Terengganu termasuk Marang.
Beliau yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, Kerajaan BN tidak pernah mengenepikan rakyat yang tahu berterima kasih kepada kerajaan khususnya mereka yang sudah menzahirkan sokongan pada setiap kali pilihan raya umum.
“Kebanyakan rumah yang hendak runtuh, kebanyakan rumah orang Pas. Itu hakikat. Sebab biasanya kalau orang Umno apabila hadir mesyuarat parti mereka akan minta bantuan dari kerajaan. Orang Pas hendak minta mereka malu.
“Orang kita tahu sajalah, apabila tidak pernah sokong kita dan tuduh macam-macam, kita manusia biasa. Sebab itu kita minta mereka berubah, dia sokong kita, kita berilah. Itu baru adil namanya. Apa adil, adil bererti memberi dan menerima. Dia kata kita tidak adil sebab tidak bantu dia. Tapi sebenarna kita tidak adil sebab dia tidak bantu kita. Baru seri,” katanya.
Katanya, contohnya DUN Rhu Rendang yang dipegang Pas sejak 31 tahun lalu gagal mendapat pembelaan wakil rakyatnya, Presiden Pas, dato' Seri Abdul Hadi Awang menyebabkan kawasan itu merekod kadar kemiskinan kira-kira 20 peratus dan antara yang termiskin di Terengganu.
Oleh itu, beliau meminta rakyat perlu melakukan perubahan dengan memilih BN jika mahu melihat transformasi dan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya dari Kerajaan BN.
"Kita cuma minta sokongan, bukan minta pergi berperang..takkan tak pangkah Pas boleh jadi kafir..syurga neraka bukan hal kita..ini soal salah tanggapan dalam Islam..Islam dimainkan oleh pemimpin Pas sendiri menyebabkan rakyat keliru.
"Nak samakan Pas adalah Islam, Islam adalah Pas, itu tak sama..Pas adalah parti, Islam itu agama..itu yang kita perlu faham," katanya.