Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Encik Roslee Daud , 53, menyifatkan keputusan Pakatan Rakyat (PR) mempertaruhkan dua wakil dari Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di kerusi yang sama memberi kelebihan kepada BN untuk kekal mempertahan kerusi itu.
“Pecahan undi pembangkang kepada PR boleh menyebelahi kita disebabkan wujudnya ketidaksepakatan di kalangan mereka yang mahu menampilkan wakil masing-masing.
“Jadi faktor itu memberi kelebihan kepada BN disebabkan kemungkinan penyokong mereka akan berpecah sekaligus BN akan tetap memenangi DUN Bukit Besi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Pas yang mengambil keputusan saat akhir untuk tetap meletakkan calonnya sedangkan PKR lebih dahulu mengumumkan calonnya di situ, membuktikan PR dari awal lagi tidak mampu menemui kata sepakat dalam aspek meletakkan calon, apatah lagi untuk mentadbir sebuah negeri dan negara sebagaimana hasrat kepimpinan pembangkang itu.
Encik Roslee yang juga Setiausaha Umno Bahagian Dungun sejak lima tahun lalu juga yakin dengan kekuatan jentera parti termasuk sokongan akar umbi serta penyandang kerusi itu sebelum ini, Dato’ Din Adam yang akan tetap bersama membantu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“BN di DUN Bukit Besi sudah memiliki kekuatan tersendiri berikutan kita mempunyai keahlian Umno yang berdaftar lebih 6,000 orang, selain kekuatan padu jentera parti. Oleh itu, kita berasa yakin mengekalkan kemenangan walaupun berdepan tiga penjuru kali ini,” katanya.
Beliau yang berkecimpung dalam kancah politik lebih 30 tahun lalu akan terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Bukit Besi yang juga kawasan kelahirannya itu, sebagaimana kepimpinan BN sebelum ini, selain berusaha mengatasi masalah rakyat khususnya isu perumahan dan membuka peluang pekerjaan baru.