Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu bergerak lebih 12 jam sehari mengunjungi rumah ke rumah setiap pengundi dari Besut hingga ke Kemaman.
Komandan Skuad Sayang Terengganu, Senator To’ Puan Hajah Zaiton Mat Amin berkata, terdapat kira-kira 300 wanita skuad sayang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjalankan aktiviti kebajikan di kampung-kampung.
“Wanita membawa imej lemah lembut serta penyayang mendekati pengundi warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan miskin sepanjang masa,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, selain menjejaki setiap tangga rumah pengundi, turut diadakan majlis sembang sayang bersama penduduk tempatan di kawasan terbuka serta salam sayang dengan pengisian bacaan yasin dan usrah.
Menurutnya, skuad ini telah mengerakkan jenteranya sejak awal tahun lalu dan ia diperhebatkan menjelang hari membuang undi. Namun begitu sebagai isteri dan ibu mereka dinasihatkan supaya meminta izin suami sebelum keluar rumah serta memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan mereka di samping menyelesaikan kerja-kerja rumah terlebih dahulu.
“Kepentingan keluarga tetap diutamakan, namun tanggung jawab kepada parti memerintah tidak mungkin diabaikan kerana ia membabitkan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi, beliau yakin wanita mempunyai pengaruh tersendiri merayu pengundi supaya memilih Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.