Halaman

26 April 2013

Hulu Terengganu kubu BN

Oleh: Mastura Jamaluddin

 “Pertahankan apa yang ada, tambah majoriti dan tawan kembali DUN Manir pada pilihan raya kali ini. Apa yang penting adalah kesepakatan antara kita semua kerana sepakat membawa berkat,” demikan pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap pada Program Pemimpin Turun Padang, di HUlu Terengganu, semalam.

 Beliau menekankan supaya semua pihak harus memberi kerjasama kepada calon dan mempertahankan mereka serta jangan sesekali ada di antara jentera parti yang menjadi petualang dan merosakkan bangsa sendiri.

Katanya, sebagai orang Islam semua pemimpin Umno dan jentera parti perlu redha dengan ketentuan Tuhan dan semua pihak haruslah menerima dengan hati yang terbuka dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kali ini.

 “Walaupun calon bertukar ganti, tetapi perjuangan parti tetap diteruskan bagi memastikan BN terus berkuasa di negeri ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon Parlimen Hulu Terengganu, Dato Jailani Johari; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Haji Rozi Mamat; Encik Yusof Awang Hitam (Manir); Dato Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang) dan Encik Ghazali Taib (Ajil).

 Dato’ Seri Ahmad berkata, pilihan raya ini merupakan masa yang terbaik untuk bekerja dan Jalinan Rakyat(JR ) umpama semut merah yang merayap sepanjang masa ke seluruh pelusuk daerah demi parti BN.

Beliau berharap agar JR dapat melaksanakan tugas masing-masing kerana Islam mengajar bahawa setiap zarah kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.

 “Setiap JR haruslah bersabar dan banyakkan berdoa sewaktu bertugas dari rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen.

 “Kita punyai perancangan yang besar untuk menjana pendapatan dari pelancongan terutama di Tasik Kenyir melalui Pulau Bebas Cukai dan juga kita akan membina mini stadium yang merupakan satu-satunya di negeri Terengganu yang menggunakan padang rumput tiruan di daerah Hulu Terengganu, tidak lama lagi,” katanya.