Halaman

25 April 2013

UniSZA jalin kerjasama majukan sektor pelancongan

Oleh; Esah Abdullah

Usaha bersepadu atau ‘Total Integrated Approached’ (TIA) perlu dibangunkan dengan lebih terancang untuk penambahbaikan memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, TIA adalah suatu strategi yang akan mengambilkira pembangunan lestari dan didokongi semua pihak.

“Titik permulaan usaha ke arah itu telahpun dimulakan oleh UniSZA Holding melalui anak syarikatnya UniSZA Tourism yang mengadakan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada pelancong dan penyediaan tempat penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Penginapan Pelancongan dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UniSZA Holding dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal hari ini.

Teks beliau telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UniSZA (LPU), Dato’ Haji Mokhtar Nong.

Katanya, YPU sebagai sebuah badan yang ditubhkan oleh kerajaan maka penglibatannya bersama UniSZA Tourism di dalam projek pelancongan semestinya memberi impak yang positif.

Menurutnya, kerjasama ini tentunya akan melonjakkan lagi mutu perkhidmatan dan hebahan maklumat mengenai kesediaan sesebuah tempat penginapan pelancongan.

Tambahnya, perniagaan masa kini jauh berbeza dengan perniagaan 10 atau 20 tahun lalu, kecuali kita dalam kelompok yang sudah berpuas hati dan merasa cukup dengan apa yang ada serta tidak perlu berfikir untuk membuat penambahbaikan dengan apa yang ada sekarang.

“Kita sekarang berada di dunia tanpa sepadan, maklumat bergerak dalam tem;poh yang paling singkat dan pembeli membuat keputusan berpandukan maklumat yang didapati melalui internet,” katanya.

Sebagai contoh katanya, hari ini orang tidak lagi menggunakan agen tempahan apabila mahu membeli tiket kapal terbang sebaliknya semua boleh dibuat sendiri menggunakan sesawang internet.

“Kita biasa mendengar cerita bahawa suatu produk itu mendapat lonjakan apabila ia dipromosikan melalui internet dan ini dapat dilihat kuasa internet adalah suatu yang tidak boleh kita pinggirkan,” katanya.

Tan Sri Alimuddin berharap kerjasama yang dilakukan ini akan memberi impak besar kepada sector pelancongan di Terengganu.