Halaman

23 April 2013

Kunjungan MB bawa semangat baru

Oleh; Esah Abdullah

Encik Che Musa Yusof, 48 dan Puan Munah Bakar, 52,dari Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu hanya mampu berterima kasih kepada insan yang sudi membantu ketika beliau sekeluarga ditimpa musibah kebakaran dan tinggal sehelai sepinggang sekarang.

 “Hanya Allah sahaja yang akan membalas segala jasa baik mereka yang sudi membantu ketika kami dalam kesusahan,” kata Puan Munah ketika ditemui di perkarangan rumah yang musnah 100 peratus dalam kebakaran pada malam Isnin lalu.

“Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada keperihatinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang datang memberi semangat kepada kami sekeluarga serta melihat kesan kebakaran rumah pusaka kami yang diduduki sejak 40 tahun lalu,” katanya.

Che Musa dan Puan Munah merupakan peniaga makanan dan kain baju di pasar-pasar malam dan kini tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana semua peralatan jualan makanan dan kain baju musnah sama sekali dalam kebakaran itu.

Namun begitu beliau bersyukur ketika kejadian mereka sekeluarga termasuk empat anak berusia 20 hingga 32 tahun tiada di rumah kerana menghadiri kenduri kesyukuran di rumah saudara di Kampung Tepoh.

“Saya tak tahu apa nak buat sekarang, kerana semua peralatan dan barangan habis hangus, hanya tinggal van ini saja,” katanya yang kini menumpang di rumah anaknya di Kampung Tepoh.

Dato’ Seri Haji Ahmad dalam kunjungannya semalam meluluskan peruntukan RM40,000 di bawah Tabung Bantuan Bencana Negeri untuk membina rumah baru serta bersetuju menyumbang beberapa peralatan keperluan memulakan perniagaan.