Kerajaan negeri sedia memperkenalkan pelbagai pengiktirafan kepada penggiat gamelan di negeri ini bagi mewujudkan dimensi baru untuk mempertahan dan mengangkat martabat kesenian itu ke peringkat lebih global.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pengiktirafan akan tertumpu kepada individu serta kumpulan gamelan yang gigih mengembangkan kesenian itu dalam konteks komuniti, masyarakat, negeri, negara dan juga peringkat antarabangsa.
“Bentuk-bentuk pengiktirafan seperti Tokoh Ahli Seni Gamelan, Tokoh Gamelan Daerah, Kumpulan Gamelan Aktif dan Sebagainya akan diwujudkan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap usaha gigih dalam perjuangan mengembang dan meneruskan seni gamelan sebagai warisan seni berzaman ini.
“Inilah sebenarnya hadiah yang mampu kerajaan usahakan bagi membalas jasa serta budi peminat serta pencinta gamelan yang berjaya mendukung dan menjulang keseniaan ini hingga ke tahap yang membanggakan kita semua,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan, di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Gamelan Melayu peringkat Kebangsaan 2013 dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.
Dato’ Haji Mazlan berkata, tanggungjawab memastikan gamelan terus subur di negeri ini harus dipikul semua pihak memandangkan kesenian yang memiliki kesopanan gerak tari itu menjadi sebahagian dari darah daging anak Terengganu yang bermula sejak 1880-an lagi.
“Adalah tanggungjawab semua untuk menyemarakkan kembali seni gamelan ini dan sudah tentu ianya menjadi peranan kolektif kita untuk memartabatkan seni warisan ini hingga ke peringkat paling tinggi.
“Bagi merealisasikan visi dan misi ini, kerajaan negeri akan sentiasa memberi segala dukungan dan sokongan yang diperlukan terutamanya menerusi jabatan serta organisasi termasuk Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Suktra dan sebagainya yang terlibat secara langsung dengan kesenian itu,” katanya.
Beliau sebelum itu turut berbangga dengan kualiti dan mutu persembahan muzik dan vokal kumpulan gamelan yang bertanding kali ini berbanding tahun sebelumnya.
Dato’ Haji Mazlan berharap peserta akan terus mengekalkan dan meningkatkan prestasi persembahan dalam temasya gamelan pada musim depan bagi merealisasikan hasrat untuk mempopularkan lagi seni itu ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai koleksi dan genre gubahan baru.