Polis Terengganu memberi jaminan dengan kekuatan anggota yang ada mampu menangani sebarang kemunginan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.
Ketua Polis Terengganu Dato’ Haji Jamshah Mustafa berkata, lebih 3,000 anggota bertugas sepanjang tempoh kempen PRU bagi menjaga keharmonian masyarakat serta memberi keadilan kepada semua parti-parti bertanding.
“Kita juga akan menambah bilangan anggota Polis kepada 4,000 orang pada hari pembuangan undi nanti,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Pesara dan Bekas-bekas Polis bersama Menteri Besar di Hotel Permai Kuala Terengganu petang semalam.
Katanya, di samping anggota polis pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada agensi-agensi lain seperti Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba.
Beliau memahami dalam suasana sekarang program kempen antara parti-parti bertanding lebih ghairah dan Polis akan memantau setiap aktiviti ceramah politik yang diadakan.
“Saya berharap semua pemimpin dan penyokong parti jangan ikut perasan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di mana program ceramah yang ingin diadakan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa,” katanya.
Dato’ Haji Jamshah turut berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berjalan lancar di lapan Parlimen dan tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.