Halaman

03 May 2013

Lempar tohmahan akibat kemaruk kuasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindak-tanduk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seorang yang kemaruk kuasa ekoran mendakwa beliau sudah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Anwar telah mengadakan sidang akhbar yang memaklumkan kemenangannya itu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu juga takut Barisan Nasional (BN) akan membawa pengundi dari tempat lain.

"Dia kata ada kapal terbang turun di Selangor (membawa pengundi hantu) dan menyorok di mana? Macam tak betul dah kepala dia, maaf saya cakap begitu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Dungun, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan semua calon BN Parlimen dan DUN di Dungun.

 Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai dakwaan pembangkang kononnya pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia akan membawa 70,000 penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung.

"Ada juga kata, nak bawa pengundi dari Bangladesh, mana boleh mereka mengundi, mereka bukan warganegara kita," katanya.

Tan Sri Muhyiddin menegaskan, sebalik pelbagai tindakan dan spekulasi mengenai PRU13, beliau adalah orang yang paling layak untuk membuat analisis mengenai pilihan raya kali ini kerana bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN peringkat kebangsaan.

Beliau juga menaruh keyakinan BN akan kekal memerintah di Terengganu pada pilihan raya umum ini berdasarkan sambutan padu penduduk terhadap program BN dan Umno menjelang PRU13.

 “Gelombang Merah di sana (Kelantan), (Gelombang Biru di Terengganu) sudah mula menyerang masuk ke setiap rakyat Kelantan yang mahu berubah dalam pilihan raya supaya Barisan Nasional kembali semula memimpin Kelantan di peringkat negeri

“Kalau sudah Kelantan boleh menang, Terengganu apatah lagi. Boleh kita beri peluang supaya Terengganu boleh menang 100 peratus di semua kerusi ,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua calon apabila menang nanti tidak lupa untuk terus menabur jasa dan khidmat kepada pengundi sebagaimana janji yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya.


Galas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun sibuk

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan tempoh berkempen berbaki dua hari lagi, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh masih menggalas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun jadualnya padat dengan pelbagai program.



Bergelar ahli politik tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk menyempurnakan niat pasangan yang ingin mendirikan masjid mengikut syarat yang ditetapkan Islam.

Disaksikan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, Mohd Hanafi Yaacob, 25, sah menjadi suami kepada Farah Nadia Usof, 23, dengan sekali lafaz dan mas kahwin berjumlah RM100 di hadapan juru nikah bertauliah seluruh negeri Terengganu itu.

 Haji Muhammad Ramli berkata, pasangan tersebut telah mendapat kelulusan pada 5 Februari lalu dan mengambil keputusan untuk menetapkan tarikh pernikahan pada 2 Mei 2013.

"Mereka merupakan pasangan keempat tahun ini dinikahkan oleh saya dan apa yang uniknya tarikh tersebut jatuh dalam tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ia menimbulkan satu kelainan berbanding hari-hari biasa.

"Ia boleh dikatakan sebagai kempen tambahan atau satu tugasan yang cukup istimewa kerana kebiasaannya pada musim begini calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya lebih memenuhi jemputan perkahwinan tetapi saya berpeluang menikahkan pasangan pengantin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada majlis pernikahan Farah Nadia yang merupakan anak perempuan kepada pasangan Yusof Bakar dan Nik Jah Nik Husin bertempat di kediaman mereka di Taman Perumahan Wakaf Tengah, malam tadi.

Tambah Haji Muhammad Ramli, ini merupakan sumbangan beliau kepada rakyat yang mana majlis akad nikah tidak dikenakan sebarang bayaran dan pendaftaran nikah juga ditanggung oleh beliau atas dasar khidmat wakil rakyat kepada rakyat.

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat lebih 100 pasangan telah beliau nikahkan dan tahun lepas sahaja 21 pasangan telah sah bergelar suami isteri.

"Terdapat pasangan yang saya nikahkan terdiri daripada pembangkang sama ada sebelah keluarga perempuan atau lelaki tetapi itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana mereka dapat menerimanya,” ujarnya.

Katanya, beliau nikahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga bertujuan memberi khidmat kepada rakyat dan bukan menjadikan tugasan tersebut sebagai satu kaedah untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

 





Oleh: Mohammad Ishak

Umno Bahagian Besut akan menganjurkan program Himpunan Gelombang Biru yang akan berlangsung di Dataran Jertih Souq pada Jumaat jam 9 malam ini.

Program itu yang akan disertai oleh 10,000 peserta membaitkan jentera Barisan Nasional (BN) Besut bertujuan menghimpunkan seluruh jentera pilihan raya BN sebelum mereka mengundi Ahad ini.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada perhimpunan itu semua calon BN Parlimen dan DUN juga akan diberi peluang berucap dan menyampaikan visi perjuangan masing-masing. 

Katanya, kemuncak program itu ialah deklarasi "Haram Undi Pas" yang akan dilakukan oleh Pengerusi Minda PondokKelantan, Abdullah Saamah bersama jawatankuasa pondok berkenaan. 

Menurutnya,deklarasi berkenaan akan dijadikan bukti bahawa sesiapa yang beragama Islam adalah Haram Mengundi Pas.

Idris yakin BN menang besar di Parlimen Besut


Idris Jusoh bersalaman dengan veteran Umno Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Parlimen Besut yang dilebelkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) bakal menyaksikan calon muda pembangkang dari PAS kecundang pada pilihan raya umum PRU13 Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang melihat penyokong BN di parlimen itu mempunyai semangat tinggi terutama menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya kali ini.

Katanya, penyertaan ramai penyokong Pas di Besut yang berpaling tadah dan kini menyertai Umno faktor utama kemenangan berpihak kepada calon BN selain pelbagai isu yang dihadapi parti pembangkang itu.

Idris yang juga bekas Menteri Besar yang berjaya menumbangkan pemerintahan Pas pada 2004 berkata berdasarkan sokongan rakyat terhadap BN Perlimen Besut akan menang 5-0 pada PRU13 ini.

“Pas tidak kuat sebagaimana digambarkan oleh pembangkang sebaliknya kesetiaan ahli Umno terhadap parti serta semangat kental mempertahankan pemerintahan BN menyebabkan penyokong akan mengundi calon BN,” katanya selepas menemui veteran Umno di Kampung Gong Nering, dekat sini hari ini.

Idris berkata, PRU13 menarik perhatian apabila ramai bekas pemimpin parti di Terengganu termasuk yang pernah memegang jawatan menteri dan ahli exco turut turun padang membantu jentera Umno.

Menurutnya, kehadiran tokoh veteran Umno membantu jentera parti mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengingatkan pengundi supaya berhati-hati dengan taktik terakhir yang akan dilakukan oleh pihak pembangkang menjelang hari pembuangan undi kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan.

56 tahun BN bukan tempoh sia-sia-TPM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menandatangani plag perasmian SMK Sri Payong, Marang, Terengganu petang semalam.
Oleh; Esah Abdullah

Program transformasi negara yang dilbawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak begitu cemerlang serta menunjukkan keupayaan membentuk masa depan rakyat lebih cerah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, tempoh 56 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara bukan tempoh yang sia-sia kerana pelbagai perubahan telah dibuat.

Pengetua dan guru-guru bergambar kenangan bersama TPM berlatarbelakangkan SMK Sri Payong.
“Sepanjang tempoh itu kepimpinan kita silih berganti bukan orang sama dan kini berada dalam era Perdana Menteri ke enam, “ katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Bukit Payong, Marang petang semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Rosli Mohamad serta calon-calon BN dalam Parlimen Marang iaitu Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad (Parlimen), Haji Alias Abdullah (Alor Limbat), Encik Zaidi Muda (Bukit Payong) Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Encik Abdul Latif Awang (Rhu Rendang).


Katanya, pelbagai agenda dijalankan, ada transformasi ekonomi, ada transformasi politik dimana undang-undang yang tidak sesuai dgubal dan diganti dengan undang-undang baru yang lebih baik serta transformasi luar bandar dengan pembangunan sentiasa diperhebatkan.

“Semua itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tersusun dan terancang dengan baik untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.


Menurutnya, program transformasi ini seperti sebuah kereta api yang sudah ada dilandasan dan pemandunya tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib.

“Kereta api sudah ada dilandasan dan sedang dipandu laju dengan hala tujunya jelas bahawa tahun 2020 akan menjadi sebuah negara maju.

“Jadi kalau sudah elok sebegitu biarlah ia berjalan terus jangan pula ada pihak yang menimbulkan masalah menyebabkan kereta api iti tergelincir daripada landasannya,” katanya.


Katanya,Perdana Menteri kita baru mengambil alih kepimpinan negara selama empat tahun dan telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang serta semua perancangan tersusun dan terancang dengan baik.

“Saya minta rakyat di negara ini jangan terpedaya dengan suara-suara yang mahu tukar dan ubah kerajaan sedia ada kerana tidak semestinya yang baru itu baik dan yang lama tidak baik,” katanya.

Dulu, kini dan selamanya - Mubarak

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu memberi sokongan padu kepada semua calon Barisan Nasional (BN) sejak dulu, kini dan selamanya.

Setiausaha Mubarak Terengganu, Haji Harun Hasan berkata, slogan ’ terus berkhidmat’ tetap menjadi pegangan dan akan memastikan BN terus berkuasa di negeri dan negara ini.

“Dalam gelombang kempen pilihanraya, ahli-ahli Mubarak berada di seluruh negeri bersama turun padang dan bekerja mengikut kemampuan bagi memastikan calon-calon BN menang,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, Mubarak yakin BN akan menguasai 2/3 kerusi dari jumlah 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

“Tidak mustahil BN akan menyapu bersih lapan Parlimen serta 32 kerusi DUN jika tiada unsur sebotaj atau masalah dalaman parti berlaku disaat akhir,” katanya.

Katanya, gelombangan sokongan rakyat negeri ini kepada BN semakin hebat kerana mereka telah merasai dan melalui pahit maung ketika parti pembangkang memerintah pada 1999-2004.
 

Progam Shap di 342 PDM

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional Terengganu kini giat memberi tumpuan kepada program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) yang dijalankan di 342 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri, bermula pertengahan tahun lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata bagi menjayakan program itu, setiap pusat daerah mengundi mempunyai jawatankuasanya sendiri.

 “Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.

"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

 Beliau yakin semua jawatankuasa di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program ini kerana mahu melihat Barisan Nasional (BN) menang besar pada pilihan raya ini.

 “Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.

 “Antara aktiviti itu adalah sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong,” katanya.

 

Matulidi yakin menang DUN Paka

Calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Datuk Matulidi Jusoh yakin dapat mempertahankan kemenangan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini berikutan sokongan yang diterima rakyat di kawasan terbabit.

Beliau berkata, biarpun pada pilihan raya lalu beliau menang di kerusi Parlimen Dungun namun pertukaran kerusi di kawasan DUN Paka tidak menjadi halangan kepadanya memandangkan sepanjang tempoh itu beliau telah dikenali pengundi di kawasan Paka.

 “Sepanjang penggal lalu menjadi Ahli Parlimen, saya sentiasa bersama masyarakat dan pimpinan masyarakat di Paka termasuk membantu apa saja kemahuan mereka tambahan pula saya juga bertindak sebagai Pengerusi Penyelaras di Dun terbabit,” katanya.

Katanya, bagi pengundi di kawasan Paka mereka juga sebelum ini telah mendapat kerjasama erat yang diberikan wakil rakyat BN sebelum ini yang dipimpin Zakaria Ariffin Abdullah.

 “Saya rasa tiada masalah di kawasan Paka kerana segala permintaan penduduk dan pimpinan masyarakat mendapat apa yang mereka mahukan di kawasan itu,” ujar beliau.

Katanya, matan wakil rakyat kawasan itu telah menjalankan tugasnya dengan baik dengan menyediakan lebih RM10 juta untuk membina sistem peparitan dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah banjir yang melanda beberapa buah kampung di situ.

 Matulidi berkata, selain itu, sebanyak 200 buah rumah mampu milik di Kampung Telaga Emas telah siap dibina dan menanti masa untuk diserahkan kepada penduduk.

 “Banyak lagi kejayaan yang BN buat di Paka dan semua itu telah berjaya diselesaikan dan saya mendapati tiada sebarang sebab rakyat di Paka akan menolak BN,”katanya.

Katanya, sepanjang berkempen di kawasan Paka beliau gembira apabila mendapat sokongan daripada pengundi termasuk pengundi yang cenderung kepada Pas yang banyak menyatakan mereka sudah mula jemu dengan pimpinan mereka.

 “Saya percaya kedatangan saya di sini boleh memberi kemenangan kepada BN sambil berharap agar rakyat Paka memberi kemenangan kepada BN sekiranya ingin terus melihat kemajuan di kawasan Paka,”katanya.

02 May 2013

RM13.1 juta baik pulih lima sekolah di Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ke Dungun membawa berita gembira kepada penduduk daerah itu khususnya warga pendidik apabila beliau meluluskan peruntukan RM13.1 juta bagi menaik taraf lima sekolah, tidak lama lagi.



Lima sekolah buatan kayu lama dan semakin uzur bakal dibaikpulih itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Santong, SK Tok Kah, SK Lintang, SK Kampung Subur dan SK Pasir Raja.

“Pok Li (Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan) awal-awal sebelum berucap sudah minta saya selesaikan, saya kata nanti dulu belum pilihan raya lagi. Dia kata ada beberapa sekolah buatan kayu yang perlukan peruntukan untuk pengubahsuaian.

“Ini bukan rasuah. Bukan salah saya tetapi Pok Li yang mintak. Tapi ini adalah keperluan kerana sekolah ini kayu mungkin sudah uzur dan ada yang tertinggal dan patut kita beri keutamaan. Insya-Allah akan saya luluskan dan serahkan kepada Setiausaha Kementerian (Pelajaran) dan akan kita laksanakan, tetapi yang mustahak kita kembali kepada Barisan Nasional,” katanya ketika berucap di Program Pemimpin Bersama Masyarakat, di Arena Square, Dungun, hari ini.

 Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan semua calon BN Parlimen dan DUN di Dungun.

Tan Sri Muhyiddin juga menaruh keyakinan BN akan kekal memerintah di Terengganu pada pilihan raya umum ini berdasarkan sambutan padu penduduk terhadap program BN dan Umno menjelang PRU13.

“Gelombang Merah di sana (Kelantan), (Gelombang Biru di Terengganu) sudah mula menyerang masuk ke setiap rakyat Kelantan yang mahu berubah dalam pilihan raya supaya Barisan Nasional kembali semula memimpin Kelantan di peringkat negeri.

 “Kalau sudah Kelantan boleh menang, Terengganu apatah lagi. Boleh kita beri peluang supaya Terengganu boleh menang 100 peratus di semua kerusi ,” katanya.

 Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua calon apabila menang nanti tidak lupa untuk terus menabur jasa dan khidmat kepada pengundi sebagaimana janji yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya.

 

Jangan percaya janji Pas-MB

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abdul Rahman 

Penduduk negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pemimpin parti pembangkang yang mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).



 Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad, berkata berkata apa yang pasti pemimpin parti pembangkang begitu terdesak untuk memerintah negara ini dan mereka terpaksa menabur janji-janji manis untuk memancing undi. “Jika mereka janji untuk meneruskan apa yang sudah dilakukan Kerajaan BN, tidak ada apa-apa yang istimewa yang boleh menambat hati rakyat,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk yang hadir pada Majlis Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri Ke Daerah Dungun, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin itu turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pemimpin pembangkang terpaksa membuat janji-janji yang tidak munasabah untuk memenangi hati rakyat walaupun mereka tahu ia tidak dapat ditunaikan jika sekiranya mereka memerintah negara ini.

 “Saya tahu rakyat kita boleh menilai sendiri keupayaan pihak pembangkang kerana mereka pernah memerintah negeri ini, tetapi tidak mampu mentadbir seperti Kerajaan BN.

 “Rakyat perlu bersyukur dengan limpahan nikmat yang disediakan kerajaan BN dengan mencurahkan pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.

 “Bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.

Beliau kemudiannya mengajak semua rakyat keluar awal dan beri undi kepada BN dalam pilihan raya pada 5 Mei nanti.