Halaman

17 May 2013

Kepulangan Menteri Pelajaran dan Penganjian Tinggi.Dato’Seri Idris Jusoh akan disambut meriah rakyat Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Kepulangan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh akan dsambut meriah oleh rakyat negeri ini sebagai tanda sokongan dan terima kasih terhadap perlantikan beliau dalam kabinet Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut dijangka tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmood,Kuala Terengganu, kira-kita jam 4 petang ini dan akan disambut oleh orang ramai.

Sejurus tiba beliau dijangka membuat sidang akhbar sebelum berlepas pulang secara konvoi ke rumah beliau di Kampung Tok Has, dekat Jertih.

Idris akan diraikan secara besar-besaran dalam satu majlis perjumpaan dengan penduduk Besut di Bangunan UMNO Bahagian Besut kira-kira jam 5.30 petang.

Setiausaha UMNO Bahagian itu, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, pada perjumpaan itu Idris akan menyampaikan ucapan kepada 1,000 penyokong Barisan Nasional (BN) di bahagian itu.

Katanya, pada sebelah malam satu majlis solat hajat akan diadakan di Masjid Kayu, Ulul Albab, Seberang Jertih, dan akan meraikan jemaah masjid.

Manakala pada keesokkan hari (Sabtu) satu majlis sarapan pagi kepada orang ramai akan diadakan di kediaman beliau di Kampung Tok Has, bermula jam 8 pagi.

Perlantikan Idris di kementerian yang dianggap penting itu mengembirakan rakyat Terengganu kerana beliau adalah seorang tokoh berpengetahuan luas dalam bidang pendidikan dan agama Islam.

PPAT anjur Program Hadiah Pinjaman Buku Terbanyak

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mengadakan Program Hadiah Pinjaman Bulanan Buku Terbanyak bagi kategori dewasa dan kanak-kanak bermula pada bulan Mac hingga Disember nanti.

Pengarahnya, Puan Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pendekatan itu mampu memupuk semangat meneroka ilmu dan mencintai perpustakaan di kalangan peserta.

“Apa yang menariknya, agihan hadiah kepada pemenang diadakan pada setiap bulan bagi membuktikan kesungguhan pengunjur melaksanakan program itu,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mengadakan Kempen Pengecualian Denda bagi buku-buku yang dipinjam melebihi tempoh pinjaman bermula 16 April dan berakhir 15 Mei lalu di semua perpustakaan bawah seliaan perbadanannya.

 “Tempoh pengecualian denda selama sebulan ini adalah sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

 "Pengecualian denda ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada peminjam buku supaya menghantar kembali buku-buku yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang denda walaupun tarikh pemulangannya telah lama habis tempoh.

 "Secara kumulatifnya, di semua perpustakaan bawah seliaan kami, terdapat 7,000 naskah buku belum dipulangkan oleh peminjam," katanya.

 
 

UMT tuan rumah kejohanan sirkit skuasy KPT@IPT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Kejohanan Sirkit Skuasy Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) @ Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2013 yang berlangsung selama empat hari di gelanggang skuasy UMT bermula semalam (16 Mei).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Anuar Hassan berkata, sebagai Pusat Sukan Tumpuan Skuasy, UMT dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan yang mendapat kerjasama daripada KPT Malaysia.

"Selaku mewakili tuan rumah saya mengalu-alukan kedatangan 45 mahasiswa dan mahasiswi dari sepuluh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mengambil bahagian pada kejohanan skuasy kali ini.

"Antara IPTA dan IPTS yang menyertai kejohanan ini termasuk Universti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Taylor’s College,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kejohanan Sirkit Skuasy KPT@IPT 2013, di Dewan Senat UMT, semalam.

Katanya, pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal membawa pulang hadiah lumayan di mana johan akan menerima wang tunai RM500 beserta medal dan piala pusingan.

"Manakala, naib johan pula bakal membawa pulang wang tunai RM350 dan medal sementara tempat ketiga menerima wang tunai RM200 dan medal,” ujarnya.

 

Rakyat gembira, teruja tiga wakil Terengganu barisi Kabinet

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan tiga ahli parlimen dari Terengganu menjadi orang penting yang dilantik menerajui kabinet yang baru dibentuk semalam, menimbulkan reaksi gembira dan terharu rakyat negeri ini.

Pemimpin berkenaan, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia serta timbalannya Dato’ Jailani Johari dijangka mampu memantapkan lagi barisan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Rata-rata meluahkan rasa kagum dan bersyukur, tidak kurang berkongsi  berita gembira itu menerusi media sosial terutama facebook dan blog masing-masing.

Bagi pembantu Agensi Pembangunan Masyarakat Kuala Terengganu, Puan Norizah Mohd Nor, pemilihan tiga ahli parlimen itu amat tepat dan membangkitkan semangat serta membanggakan seluruh rakyat dan kepimpinan negeri Terengganu.

“Ia satu pengiktirafan cukup besar dan sebagai ahli politik, saya melihat ketiga-tiga pemimpin berkenaan mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu berdasarkan keupayaan dan latar belakang pengalaman di bidang masing-masing selama ini.

“Pemilihan mereka pastinya menjadi platform untuk membawa suara rakyat Terengganu di parlimen nanti di mana Dato’ Idris akan membawa isu pelajaran, manakala isu komunikasi serta multimedia pula pastinya lebih efisien gandingan Dato’ Ahmad Shabery dan Dato’ Jailani,” katanya.

Sementara Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar dari Jabatan Penerangan Negeri Terengganu pula menyifatkan pelantikan tiga ahli politik itu membuktikan Terengganu tidak tandus melahirkan pemimpin yang berwibawa.

“Pelantikan mereka bertepatan dengan kehendak dan keperluan rakyat di zaman teknologi yang memerlukan pemimpin yang mempunyai jiwa serta pengalaman dan pastinya akan membawa kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan uyang mantap di dalam dunia tanpa sempadan ini.

 “Sebagai kakitangan di jabatan penerangan umpamanya, saya amat berbangga dan tempias itu pastinya memberi kesan untuk sama-sama mendukung aspirasi kerajaan bagi memantapkan lagi sektor komunikasi dan multimedia di negeri dan negara, khasnya,” katanya.

 

16 May 2013

YAB Menteri Besar Terengganu dan YABhg. To' Puan Seri ke Majlis Perasmian Festival Kenyir 2013 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Kenyir 2013 sambil disaksikan Dato' Mohd Jidin Shafee. - Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Dato' Seri Haji Ahmad Said disambut orang ramai sebaik tiba di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu.


 Ucapan perasmian oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad said.


Isteri Menteri Besar, To'Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut hadir pada majlis itu.










Gandingan mantap anak Terengganu perkasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan dua anak Terengganu menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi mesej jelas mengenai kepercayaan pucuk pimpinan Pusat terhadap kemampuan pemimpin negeri ini bagi memperkasakan lagi bidang berkenaan pada masa kini dan masa depan.

Dua wakil rakyat berkenaan, Ahli Parlimen Kemaman, Dato’Seri Ahmad Shabery Cheek, dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, manakala timbalannya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong, berkata seluruh rakyat ternanti-nantikan barisan Ahli Parlimen dari Terengganu untuk disenaraikan dalam kabinet transformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semalam.

“Alhamdulillah, dua Ahli Parlimen Terengganu mendapat kepercayaan dan pengiktirafan cukup tinggi oleh  pucuk pimpinan untuk menerajui bidang komunikasi dan multimedia negara kita di mana ia merupakan sektor yang terpenting dalam dunia yang semakin mencabar serta tanpa sempadan kini.

 “Kita yang berada di peringkat negeri pastinya gembira dan teruja malah akan sentiasa menyokong usaha kementerian itu dalam memantapkan industri komunikasi dan multimedia tempatan setanding dengan perkembangan antarabangsa," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kelab wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat turut gembira dengn pelantikan itu, bukan sahaja dalam konteks politik negeri, malah dalam konteks kepentingan media di Terengganu.

Katanya, Kawat bersedia untuk memberi komitmen tidak berbelah-bahagi dalam setiap perancangan dan pelaksanaan gerak-kerja bagi memperkukuhkan bidang itu di negeri dan negara ini, amnya.

“Industri komunikasi dan multimedia mempunyai skop yang cukup luas dan mencabar yang pastinya harus diterajui oleh pakar dan individu yang berpengalaman dan teknorat di lapangan itu.

 “Pelantikan dua pemimpin dari Terengganu ini membuktikan satu pilihan yang tepat oleh Perdana Menteri dalam hasrat kita menjana kemajuan dan pembangunan sistem komunikasi dan juga multimedia termasuk skop-skop yang berkaitannya, tidak terkecuali bidang kewartawanan tu sendiri,” katanya.

Beliau menyifatkan Dato’ Ahmad Shabery seorang menteri yang pernah menerajui Kementerian Penerangan pada 2008, mudah didekati dan sudah biasa dengan pengamal media di Terengganu khususnya Kawat, malah hubungan baik yang sedia terjalin itu pasti mampu menyuntik dimensi baru yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

 

HARAPAN BUKAN LAGI SUATU MIMPI

OLEH: Ruslan Abdul Rahman 

Pembentukan kerajaan di peringkat negara dan negeri sudah pun selesai.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika mengumumkan barisan kabinet begitu berkata barisan kabinet mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

Ia dibarisi oleh mereka yang berpengalaman, tenokrat dan juga golongan muda yang disebut oleh Perdana Menteri sebagai kabinet berimbang.

Manakala Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pula berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya akan meneruskan ke menjayakan akujanji atau maniafesto pilihan raya yang dikemukakan oleh Barisan Naisonal, baik di peringkat negeri atau pusat.

Katanya, inilah masanya untuk semua wakil-wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat kepada pengundi atau rakyat di kawasan masing-masing, tidak kira dari parti kerajaan atau pembangkang.

Di peringkat kerajaan usaha untuk menunaikan janji cukup jelas.

Kita akan pastikan segala akujanji atau manifesto yang kita bentangkan kepada rakyat dilaksanakan dengan sedaya upaya.

Daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi, kerajaan Barisan Nasional mara dengan penuh yakin dan mantap bagi mencapai perkhidmatan dan faedah untuk rakyat secara yang lebih menyeluruh.

Perubahan sebenar telah pun berlaku dan dirasai, tetapi perjalanan ke arah transformasi sepenuhnya akan mengambil masa.

Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 dilancarkan pada 1991, dan selepas 22 tahun, ternyata bahawa dasar-dasar Kerajaan BN yang dirancang dengan berhemat dan prihatin itu telah meletakkan kita pada landasan ke arah mencapai Wawasan 2020.

Kita memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat.

Kita perlu mempertahankan apa yang telah kita capai – Kita tidak boleh gadaikan apa yang dikecapi, kita tidak boleh perjudikan masa depan kita.

Kita perlukan sebuah kerajaan kukuh yang berupaya melaksanakan Agenda Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi yang maju sepenuhnya.

Kita perlu kerajaan yang kuat dan berkeupayaan untuk menjamin kesinambungan perpaduan, kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan.

Kita percaya kepada keadilan untuk semua dan mendekati rakyat seluruhnya,menyentuh hati nurani mereka dan meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat di mana sahaja mereka berada.

Kejayaan yang dikecapi dalam tempoh 55 tahun negara yang mardeka, tidak boleh dinafikan.

Rekod pencapaian kerajaan mantap dan menunaikan segala janji. Selama ini, kerajaan yang diterajui BN telah membawa kemakmuran kepada segenap segmen masyarakat Malaysia.

Kepada muda dan mudi dan golongan yang masih lalai dengan nikmat yang dikecapi, bertindaklah secara rasional.

Sekarang bukan masa untuk berdemonstasi dan membuat huru-hara. Terimalah apa yang diputuskan oleh rakyat dengan redha dan pasrah.

Jangan sesekali lakukan uji kaji dengan masa depan kita Kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan.

Sepanjang empat tahun lalu, dari usaha usaha yang dijalankan oleh kerajaan telah mencapai banyak kemajuan besar dalam meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian dan keselesaan untuk rakyat.

Kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan berpengalaman mengurus masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya – mengurus masyarakat bandar dan desa.

Perpaduan dan keselamatan negara adalah menjadi keutamaaan, dulu sekarang dan akan datang.

Kerajaan sejan dulu lagi telah membuktikan kemampuan menghadapi cabaran dan mengharungi kesukaran – sudah berkali-kali, kita berjaya keluar daripada krisis dengan lebih gagah Barisan kabinet dan Exco di peringkat pusat dan negeri ini adalah gabungan yang dinamik – disesuaikan gerakan dengan perubahan landskap tetapi tidak pernah mengorbankan prinsip.

Marilah kita amalkan formula perkongsian yang efektif – kita tolak politik benci- membenci dan pecah belah.

Kita perlu hormat dan terima kepelbagaian agama dan kaum serta perbezaan parti politik – marilah kita membina jambatan dan tidak merobohkannya.

Kita perlu menentang eksploitasi kaum dan agama untuk keuntungan politik kepartian – perpaduan membuahkan kekuatan, perpecahan pula hanya membawa kemusnahan Para pemimpin datang dan pergi tetapi gabungan tetap utuh.

Semua pendapat perlu diambil kira, semua suara didengar, agar segalanya memenuhi kehendak rakyat majoriti, berkongsi harapan dan aspirasi.

Marilah kita berusaha gigih menjadikannya suatu kenyataan untuk semua.

Menepati Janji Membawa Harapan – Memacu rakyat dan negara ke tahap baharu kecemerlangan dan perkhidmatan berasaskan gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan! Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Harapan bukan suatu mimpi, tetapi perjalanan menjadikan impian suatu realiti.

 

Lantikan dua menteri penuh dan timbalan menteri, satu penghargaan besar

Oleh: Suriati Ali

 Kesudian Kerajaan Pusat melantik dua menteri dan satu timbalan dari Terengganu dianggap penghormatan dan penghargaan cukup besar kerana mampu memperkukuhkan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia bersyukur ke hadrat Allah SWT dan mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi penghormatan dan kepercayaan kepada tiga Ahli Parlimen Terengganu. 

Katanya, pelantikan Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia serta timbalannya Dato’ Jailani Johari turut mampu memantapkan lagi barisan Kabinet kerajaan pusat yang diterajui Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Pelantikan Dato’ Seri Idris Jusoh diharap dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan bukan sahaja di Terengganu malah seluruh negara,” katanya .

 Menurutnya, pencapaian cemerlang Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu boleh menjadi contoh kepada negeri lain kerana beliau mempunyai pandangan yang hebat dalam bidang itu.

 Dato’ Seri Haji Idris merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) (mulai 2008) dan pernah memegang jawatan Menteri Besar Terengganu (2004-2008) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999).

 Dato’ Seri Ahmad Shabery pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan pada Mac 2008 hingga April 2009 sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Dato’ Jailani yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri dan Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

 Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menafikan terdapat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai pembangkang.

 Beliau berkata 17 Adun tetap kekal bersama BN dan akan memfokuskan kepada usaha menabur khidmat kepada rakyat berteraskan kepada `Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.



Dato' Seri Idris terajui pendidikan negara

Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh, 58, yang banyak terlibat dalam pembangunan pendidikan dan pembangunan Islam di Terengganu, dilantik Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II.

Ahli Parlimen Besut yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan selama sepenggal pada 1995, turut memainkan peranan dalam memantapkan pembangunan Islam di Terengganu.

Beliau memperkenal Sekolah Imtiaz, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab, Pintar Quran serta pelbagai inisiatif dalam pendidikan di Terengganu, khasnya sekitar Besut dan Setiu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat itu, yang menjadi Menteri Besar Terengganu dari 2004 hingga 2008, memiliki Ijazah Sarjana MBA University of New Haven, Amerika Syarikat (1988) dan Ijazah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia pada 1980.

Anak kelahiran Kampung Tok Has Jertih itu juga merupakan orang yang memainkan peranan besar dalam menaikkan semangat 'gelombang biru' sehingga berjaya menumbang kerajaan negeri Pas di Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.


Pelantikan Dato' Seri Shabery ibarat sirih pulang ke gagang

Pelantikan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia ibarat sirih pulang ke gagang, kerana beliau pernah meneraju kementerian itu dari tempoh Mac 2008 hingga April 2009.

Ketika itu kementerian berkenaan dikenali Kementerian Penerangan. Dalam rombakan kabinet kemudian, Ahmad Shabery, 55, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri dari 2006 hingga 2008 itu merupakan Anggota Parlimen Kemaman sejak pilihan raya umum 2004. Anak kelahiran Kijal, Kemaman, Terengganu itu merupakan bekas pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya selama empat tahun dari 1986.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Sains Politik dari University of Leeds, United Kingdom selain diploma lanjutan dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Uppsala, Sweden yang diterimanya pada 1989.

 Dato' Seri Ahmad Shabery juga pernah menjadi pemimpin pelajar iaitu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universti Malaya dan Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Universiti Malaya dan pada 1989 dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Sains Sosial Malaysia selama setahun.

Beliau juga merupakan bekas felo penyelidik di Institut Kajian Asia Tenggara Singapura (ISEAS).