Halaman

17 May 2013

PPAT anjur Program Hadiah Pinjaman Buku Terbanyak

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mengadakan Program Hadiah Pinjaman Bulanan Buku Terbanyak bagi kategori dewasa dan kanak-kanak bermula pada bulan Mac hingga Disember nanti.

Pengarahnya, Puan Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pendekatan itu mampu memupuk semangat meneroka ilmu dan mencintai perpustakaan di kalangan peserta.

“Apa yang menariknya, agihan hadiah kepada pemenang diadakan pada setiap bulan bagi membuktikan kesungguhan pengunjur melaksanakan program itu,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mengadakan Kempen Pengecualian Denda bagi buku-buku yang dipinjam melebihi tempoh pinjaman bermula 16 April dan berakhir 15 Mei lalu di semua perpustakaan bawah seliaan perbadanannya.

 “Tempoh pengecualian denda selama sebulan ini adalah sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

 "Pengecualian denda ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada peminjam buku supaya menghantar kembali buku-buku yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang denda walaupun tarikh pemulangannya telah lama habis tempoh.

 "Secara kumulatifnya, di semua perpustakaan bawah seliaan kami, terdapat 7,000 naskah buku belum dipulangkan oleh peminjam," katanya.