Halaman

13 May 2013

Turunkan bendera atau wang deposit tidak dikembalikan-MBKT

Oleh; Esah Abdullah

Semua pihak yang terlibat dalam pemasangan kain rentang, poster dan bendera parti politik pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini diminta menurunkannya dengan kadar segera.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Samiun Salleh berkata, mengikut peraturan sedia ada, semua parti dikehendaki menurunkan poster dan lambang parti dalam tempoh dua minggu selepas hari pengundian.

“Mohon kerjasama dari semua pihak yang terlibat supaya dapat menurunkan kain rentang, poster dan bendera parti politik dalam tempoh 14 hari selepas hari membuang undi pada 5 Mei lalu,” katanya.

Katanya, peringatan awal ini khusus kepada parti politik yang bertanding agar dapat mengambil tindakan segera dalam waktu terdekat ini atau wang deposit sebanyak RM5,000 bagi Parlimen dan RM3,000 bagi Dun tidak akan dipulangkan.

 “Saya yakin dan percaya mereka juga telah sedia maklum akan peraturan tersebut, namun MBKT memberi peringatan sekali lagi, dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian wang deposit mereka tidak akan dipulangkan,” katanya.

Katanya, peruntukan akta sedia ada, semua parti politik hendaklah menurunkan poster, bendera dan kain rentang dengan segera sebelum tamat tarikh yang ditetapkan.

Langkah tersebut katanya adalah perlu bagi memastikan kebersihan serta pemandangan di sekitar kawasan bandar ini sentiasa terpelihara memandangkan pilihan raya telah berakhir dan kembali pada keadaan asal.

Sementara itu dalam tinjauan Teganukita hari ini, masih kelihatan bendera dan poster parti sekitar bandaraya ini yang belum diturunkan sepenuhnya.

“Semoga dalam waktu berbaki tujuh hari lagi itu akan dimanfaatkan oleh parti-parti yang terlibat agar wang deposit mereka tidak hilang akibat kecuaian sendiri,” katanya.