Halaman

15 May 2013

UMT iktiraf kecemerlangan dan jasa kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada kakitangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Pendaftarnya telah mengadakan Majlis Anugerah Tahunan 2013 bertempat di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam tadi.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, majlis tersebut merupakan malam kemuncak kepada kakitangan sokongan dan ahli akademik UMT kerana diraikan dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan perkhidmatan sebagai menghargai jasa mereka sepanjang tahun lalu.

"Bagi saya, majlis sebegini sangat bermakna kerana pihak universiti sememangnya menghargai jasa dan sumbangan setiap kakitangan.

"Terdapat dua majlis anugerah yang berlainan bagi menghargai jasa kakitangan di universiti ini iaitu majlis sebegini sebagai menghargai perkhidmatan kakitangan dalam pentadbiran, pengurusan dan tugas-tugas harian dan kemungkinan dalam tempoh dua bulan akan datang menyusul pula malam anugerah untuk meraikan ahli akademik yang telah membuat sumbangan keilmuan dalam bentuk penyelidikan dan penerbitan,” ujarnya pada sidang media selepas selesai majlis tersebut.

Katanya, dua perkara penting iaitu kecemerlangan dan nilai bersama perlu diterapkan dalam diri setiap kakitangan universiti.

"Kecemerlangan adalah penilaian orang kepada kita dan tahap kecemerlangan itu berbeza-beza dan saya berharap semua kakitangan UMT dapat menanamkan semangat dalam diri masing-masing bahawa kecemerlangan itu perlu dikejar kerana ia susah untuk capai.

"Selain itu, untuk mengukuhkan sesuatu institusi nilai bersama sangat penting kerana sekiranya kita tidak mengenali nilai bersama, nilai yang disokong oleh semua, nilai yang kita semua persetujui maka sebuah universiti itu tidak boleh maju,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut sebanyak empat kategori anugerah telah diberikan kepada kakitangan yang telah mengharumkan nama UMT dan telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada universti ini  termasuk 125 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor (5), Anugerah Setia Bakti (202) dan Anugerah Sukan (72) dalam bentuk wang tunai dan sijil.