Halaman

13 May 2013

Ketengah anjur Festival Kenyir

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai salah satu usaha mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan Festival Kenyir selama lima hari bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula 16 Mei depan.

Menurut jurucakap Ketengah, seramai 35,000 pengunjung dijangka akan datang ke Tasik Kenyir dalam tempoh tersebut seterusnya memeriahkan festival yang menghidangkan pelbagai acara menarik.

"Antara objektif penganjurannya ialah untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai kemudahan dan keistimewaan seperti keindahan alam semulajadinya yang mampu memukau pelancong dalam dan luar negara.

"Penganjuran festival ini juga bertujuan untuk memberi maklumat awal kepada pelancong tentang produk pelancongan baru antaranya Kenyir Island Hopping (KIH) dan cadangan Pulau Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada Ogos 2014,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pelbagai acara menarik boleh dinikmati pengunjung sepanjang festival ini berlangsung antaranya karnival upin dan ipin, pertunjukan luncur udara, demostrasi bot kawalan jauh, serta paint ball.

"Pameran kereta klasik dan auto show, sukan rakyat, pertandingan bot berhias, memancing pinggir tasik dan pelbagai acara menarik yang lain juga bakal menanti pengunjung,” ujarnya.

Tambah beliau, pengunjung juga berpeluang meninjau keindahan pemandangan Tasik kenyir melalui udara dengan kemudahan “Helicopter Ride’ yang disediakan sempena penganjuran festival ini.

Katanya, festival Kenyir kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Najwa latif, Azlan Typewriter, Saleem dan ramai lagi.