Orang ramai di negeri ini akan mendapat kemudahan pinjaman buku dalam talian melalui program e-book yang diperkenalkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mulai Jun depan.
Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pada masa ini program tersebut sedang dalam proses penyediaan dan peminjam dapat menggunakan kemudahan itu tanpa perlu lagi ke perpustakaan.
``Dengan adanya kemudahan itu ahli PPAT tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk meminjam buku, secara online,’’ ``Kaedah itu diperkenalkan sejajar dengan perkembangan semasa untuk kemudahan ahli di samping meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat.’’ katanya.
Menurutnya, pada masa ini 87 judul buku pelbagai jurnal termasuk buku untuk kanak-kanak telah diprogramkan dalam e-book dan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Sejajar dengan perkembangan itu katanya, mereka yang belum menjadi ahli boleh juga mendaftar ahli dalam talian tanpa perlu hadir ke perpustakaan.
Sehubungan itu, pendaftaran ahli secara manual masih boleh dilakukan dan ahli yang mendaftar di perpustakaan akan diberikan `Kad Ilmu’ yang layak untuk meminjamkan sehingga empat buah buku setiap kali meminjam.
“Selain kemudahan tersebut, PPAT turut memperkenalkan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai mendaftar sebagai ahli di samping berkunjung ke perpustakaan.
“Pada masa ini PPAT mempunyai kira-kira 400 ribu ahli di seluruh negeri yang melibatkan di perpustakaan negeri, daerah dan 90 perpustakaan desa.
``Kita sedar pada masa ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui hujung jari, dan PPAT sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan kepada pengunjung,’’ tambahnya.
Beliau berkata, pada tahun ini PPAT mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan bahan bacaan dan meningkatkan kemudahan di perpustakaan.