Halaman

03 July 2013

Yayasan Terengganu hargai komitmen kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 28 kakitangan Yayasan Terengganu diraikan dalam satu majlis dan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai menghargai usaha, pengorbanan dan komitmen mereka berkhidmat dengan jabatan berkenaan.



Penerima anugerah APC yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012 masing-masing membawa pulang Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000.

14 daripadanya turut menerima Insentif Lama Berkhidmat dengan mendapat hadiah tambahan sebanyak RM1000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium, Bank Simpanan Nasional (BSN) yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah, di Primula Beach Hotel, semalam.

Penerima anugerah, Dr. Hashim Azmi Che Noh yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu berkata, anugerah tersebut berbaloi dengan segala sumbangan beliau yang telah berkhidmat selama 20 tahun 9 bulan dengan jabatan itu.

"Selama bekerja dengan Yayasan Terengganu, saya pernah beberapa kali menerima anugerah APC dan saya menyokong sepenuhnya usaha jabatan dalam menghargai kakitangan dengan mengadakan majlis sebegini,” ujarnya yang turut menerima Insentif Lama Berkhidmat.

Suffianah Jalaluddin yang bertugas sebagai Penolong Pengarah pula melahirkan perasaan gembira kerana usahanya selama ini dihargai dan disenaraikan sebagai salah seorang penerima APC.

"Saya bersyukur dengan anugerah ini dan mengharapkan ia akan menjadi pendorong untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang di jabatan ini,” ujar ibu kepada lima orang anak ini.

Bagi Mohd Zaid Abdullah yang menerima APC dan Insentif Lama Berkhidmat menyatakan rasa syukur kerana anugerah tersebut merupakan kali kedua diterimanya setelah hampir 35 tahun bekerja di Yayasan Terengganu.

"Perasaan saya sungguh gembira kerana segala komitmen yang diberikan kepada jabatan selama ini dihargai,” ujarnya yang merupakan kakitangan sokongan di jabatan terbabit.

 








TIDAK PAYAH ANDAIKAN, KATA TAN SRI MUHYIDDIN

Oleh: Ruslan Rahman

 “Kami baru mesyuarat tadi bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, wakil bahagian dan setiausaha bahagian Besut bagi taklimat, untuk memberi input tentang apa yang boleh kami lakukan, beritahu Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin.
  Beliau juga memberi nasihat kepada semua pihak supaya jangan membuat andaian apa-apa tentang kerajaan campuran dan sebagainya.
  Memanglah dalam menghadapi sesuatu perkara kita perlu memikirkan tentang kejayaan dan elakkan dari memikirkan sesuatu yang sebaliknya.
 “Strategi kami untuk menang kawasan itu yang juga kubu kuat BN, tidak ada soal wujudnya kerajaan campuran, tidak payah andaikan (apa akan berlaku),” katanya menjawab soalan media.
  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di Institut Aminuddin Baki (IAB) semalam (Selasa).
 TEKA TEKI CALON BN
 Tentang calon, katanya terdapat tiga tiga nama disenarai untuk dipilih sebagai calon bertanding pada PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
 Menurut Muhyiddin ketiga-tiga mereka orang tempatan dan mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi serta berhemah.
 “Kami ada ramai tokoh, tetapi saya dikemukakan dengan tiga nama. Walaupun Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Dato’ Seri Najib Razak berada di luar negara, kami akan kemukakan nama ini kepada beliau dan akan putuskan seberapa cepat yang mungkin,” katanya.
  Akhbar Sinar Harian hari ini membuat tekaan beberapa nama termasuk Pegawai Tadbir Negeri Terengganu yang berasal kawasan itu, Pegawai Agama yang juga di kawasan itu dan seorang jurutera.
 Bagaimana pun ramai lagi calon-calon BN yang meniti di bibir penduduk Kuala Besut yang tidak disebut oleh akhbar berkenaan.
  Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan 1, menyatakan BN membuat persiapan rapi dan berharap menerusi kempen yang akan diadakan nanti, keputusannya lebih baik dan majoriti undi meningkat daripada diperolehi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.    “   "Begitu juga dengan pembahagian tugas, bahagian pun usulkan kalau negeri lain hendak membantu, bahagian tetapkan setiap peti undi ada dua negeri, tidak ada masalah,” katanya.
lpost">


02 July 2013

28 kakitangan Yayasan Terengganu terima APC

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 28 kakitangan Yayasan Terengganu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja mengagumkan sepanjang tahun 2012.

14 daripadanya turut menerima Insentif Lama Berkhidmat kerana menabur bakti melebihi 20 tahun dengan jabatan berkenaan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof berkata, penerima anugerah diharap terus mempertingkatkan mutu kerja di Yayasan Terengganu ke arah perkhidmatan yang lebih efektif, berkualiti tinggi, berwibawa dan penuh integriti.

"Bagi yang kurang bernasib baik pada kali ini diharap terus berusaha dan memberikan perkhidmatan cemerlang agar berpeluang untuk menerima anugerah sebegini pada masa akan datang.

"Namun, janganlah kita melaksanakan kerja yang diamanahkan kerana mengharapkan ganjaran dan pengiktirafan sahaja, sebaliknya meletakkan keikhlasan dalam bekerja sebagai batu asas untuk terus menabur bakti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 yang telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah di Primula Beach Hotel, hari ini.

Tambah beliau, kecemerlangan sesebuah organisasi tidak bergantung kepada satu pihak semata-mata sebaliknya melibatkan semua peringkat dari pengurusan tertinggi hingga ke peringkat bawahan.

"Saya harap, warga kerja Yayasan Terengganu sentiasa mengamalkan budaya kerja yang berkualiti agar kualiti penyampaian perkhidmatan Yayasan Terengganu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada majlis tersebut, setiap penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000 manakala penerima Insentif Lama Berkhidmat pula mendapat hadiah tambahan sebanyak RM1000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium, Bank Simpanan Nasional (BSN).

 

Sokongan dengan keputusan BN Pusat

Oleh: Suriati Ali

Pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) seluruh Terengganu bersetuju dengan keputusan Barisan Nasional (BN) Pusat yang melantik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

 Tan Sri Muhyidin akan dibantu Ketua UMNO Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan pengarah (PRK) itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

 Dato’ Idris Jusoh berkata DUN Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan Allahyarham berjaya meraih majoriti lebih 2,400 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Kita yakin dapat mempertahankan DUN Kuala Besut, di peringkat bahagian Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya,” katanya yang juga Menteri Pendidikan II.

Menurutnya, jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut.

 “Saya cukup kenal rakyat dan amat memahami kawasan ini…biarkan pakatan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat DUN Kuala Besut.,” katanya

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata dia yakin gandingan mantap kedua-dua pemimpin itu mampu beri yang terbaik kepada rakyat Kuala Besut.

 “UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memperkuatkan jentera pilihan rayanya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

  “Pengundi di DUN Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan.,” katanya

 Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada pukul 10.18 pagi akibat kanser paru-paru. Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada PRU-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, Pas menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat satu kerusi.

 

Kenaikan gaji tahunan penjawat awam bermula 1 Julai

Oleh: Noraini Jusoh

Setiap penjawat awam di seluruh Malaysia akan mendapat faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) iaitu minimum RM80 dan maksimum RM 320 bermula semalam (1 Julai).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menerima pakai pekeliling daripada kerajaan Persekutuan untuk dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

"Ini adalah anugerah daripada kerajaan Persekutuan, di mana semasa ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam perjumpaan dengan penjawat awam pada bulan Mac lalu ada menyebut mengenai perkara ini.

"Perdana Menteri juga ada menyatakan untuk mengkaji semula kedudukan tangga gaji penjawat awam di bawah sistem saraan baru yang diperbaiki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 di Primula Beach Hotel, hari ini.



Katanya, perkara ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sekiranya tiada sebarang masalah, segala urusan yang berkaitan dijangka akan diselesaikan sehingga akhir tahun ini.

Tambah beliau, bagi penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji mati lebih daripada tiga tahun pula, akan diberi faedah sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan.

"Walau bagaimanapun, perkara ini (tangga gaji mati) masih lagi menunggu pekeliling yang akan dikeluarkan oleh pihak JPA,” katanya.

 



USTAZ AZHAR IDRUS TIADA DALAM SENARAI CALON PAS

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Pesuruhjaya Pas Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan penceramah bebas Ustaz Azhar Idris yang popular, tidak dalam senarai calon Pas untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.
  Alasan utama yang diberikann=nya ialah kerana Ustaz Azhar adalah orang Ladang Kuala Terengganu,
bukannya Besut.
  Beliau mengesahkan senarai nama yang ada antranya ialah Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang juga dikenali sebagai Ustaz Azhar yakni Yang DiPertua Pas Besut. Ramai menyatakan bahawa alasan yang diberikan itu dangkal dan tidak munasabah, sedangkan sebelum ini ramai calon-calon Pas bertanding tidak kira asalnya dari mana.
  Misalnya Mat Sabu pernah bertanding sebagai calon Pas Parlimen Kuala Terengganu beberapa tahun lalu. Mat Sabu orang Pulau Pinang. Nasaruddin Mat Isa pernah bertanding di Parlimen Besut dan sebagainya lagi begitu banyak Pas meletak calon bukan orang tempatan bahkan bukan orang dari negeri Terengganu pun.
   Tiba-tiba dinyatakan bahawa Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak ada dalam senarai kerana dia orang Ladang,bukannya Besut.
  Ustaz Azhar Idrus atau UAI adalah tokoh yang banyak membantu Pas, bahkan Presiden Pas Dato’ Seri Haji Hadi Awang di Terengganu sendiri mendapatkan khidmat UAI untuk mengumpulkan orang ramai datang ke ceramah dan majlis yang diadakan.

HAJI HADI DIMINTA BUKTIKAN DAKWAANNYA DI TERENGGANU DALAM PRU 13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Masyarakat Terengganu ingin mendapatkan penjelasan dari Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkaitan wujudnya kejadian pengundi yang tidak sah yang dibangkitkan oleh beliau di sidang Parlimen baru-baru ini.
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang semasa berucap di Parlimen membahas titah diraja baru-baru ini menyebut di Terengganu banyak berlaku penyelewengan semasa pilihan raya umum lalu.
 Di antaranya kata beliau ialah pengundi-pengundi daripada luar negeri, pengundi tidak cukup umur, warga asing pun mengundi termasuk Myanmar- semua digunakan sebagai pengundi dakwa beliau.
  Tanpa memperincikan di mana kejadian itu berlaku, berapa ramai pengundi yang terlibat, masyarakat inginkan bekas Menteri Besar itu mengemukakan bukti secara terperinci bagi mengelak ia menjadi fintah dan dusta yang tidak dibenarkan oleh Islam perbuatan itu.
  Sebagai orang yang sering bercakap mengenai keadilan Islam, beliau seharusnya membuat dakwaan dengan disertai dengan bukti, kata seorang kakitangan Ramli Hamzah dari Manir.

Katanya, setiap apa yang didakwa mestilah disertai dengan bukti supaya taraf beliau sebagai orang berilmu dan berlatar belakang agama dapat dipertahankan.









Unisza buka kampus di China

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan membuka kampus di negara China dan di Kuala Lumpur dengan sasaran pelajar dari luar negara.

Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti tersebut berkolaborasi dengan konsotium universiti-universiti China dengan mewujudkan kampus di negara tersebut.

“Kita jangka pengambilan sesi pertama membabitkan pelajar 500 pelajar akan bermula September ini,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Ucap Tama Tahunan Naib Canselor dan Penganugerahan Kecemerlangan UniSZA 2013 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man semalam.

 Menurutnya, pendekatan ini adalah bagi menampung keperluan pelajar-pelajar antarabangsa yang (berminat) ingin melanjutkan pelajaran mereka di UniSZA tetapi kurang berminat untuk datang ke Terengganu.

Sehingga ini katanya, universiti tersebut telah pun mendapat perhatian para pelajar luar negara terutama dari negara China, Timur Tengah dan juga Indonesia.

 Menurut Prof Dr Yahaya, tempat dan bangunan untuk dua-dua kampus telah dikenalpasti dan kini dalam proses rundingan, sekiranya berjalan lancar, pengambilan pelajar sesi pertama akan dilaksanakan mengikut jadual iaitu September depan.

 “UniSZA akan menyediakan kursus yang mendapat permintaan dan turut menawarkan tempat pengajian dengan pelajar Muslim di China bagi penempatan kampus di negara berkenaan di samping kursus sedia ada yang ditawarkan di Unisza.,” katanya.

Dalam perkembangan lain Prof Dr Yahaya berkata, perpindahan pelajar ke kampus Tembila, Besut telah bermula pada 1 Julai lalu dengan melibatkan dua fakulti iaitu Fakulti Informatik dan Komputeran dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan.

“Seramai 900 pelajar lama dan baru telah mula berpindah ke Tembila dan semua kemudahan serta kelengkapan asrama telah siap sepenuhnya kecuali makmal masih belum lengkap dan ia akan diselesaikan tahun ini juga,” katanya.
 

PRK Kuala Besut – pemimpin Pas bertelagah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Gendang belum lagi dipalu, tetapi pemimpin Pas mula bertelagah sama ada mahu meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut (PRK) atau memboikotnya seperti yang disaran DAP.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali, membuat kenyataan parti itu akan meneliti cadangan untuk memboikot PRK tersebut seperti yang disarankan sekutu Pas, iaitu DAP.

Bagaimanapun, hari ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, bingkas menangkis pandangan itu dengan mengaskan pihaknya telah pun membuat keputusan untuk bertanding.

 Mohd Abdul Wahid menegaskan pihaknya akan meletakkan calon mereka walaupun DAP mahu Pas memulau PRK berkenaan yang bakal diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya, Dr Haji A Rahman Mokhtar.

Kenyataan Mohd Abdul Wahid ternyata bercanggah dengan kenyataan Mustafa yang menyatakan pihaknya akan meneliti cadangan Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng, yang mencadangkan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohd Abdul Wahid, Pas Terengganu telah mengadakan mesyuarat dan akan meletakkan calonnya manakala jentera parti sudah digerakkan.

Mengulas mengenai pertelingkahan pemimpin Pas berhubung isu berkenaan, Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

 “Kita (Umno) telah pun mengatur gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK ini, sekaligus mengekalkan kedudukan 17 kerusi BN dan DUN Terengganu,” katanya.

Beliau yakin pucuk pimpinan BN akan memilih calon terbaik bagi menghadapi PRK dan pengundi di kawasan DUN Kuala Besut akan terus memberi sokongan kepada calon baru seperti yang dltunjukkan kepada Alahyarham Dr A Rahman.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar di mana 17,463 merupakan pengundi Melayu, Cina (118) dan lain-lain (84). Pada PRU-13 Alahyarham Dr A Rahman meraih 8,809 undi manakala calon Pas, Napisah ismail mendapat 6,375 undi.

Dato’ Haji Ahmad Razif yakin dengan kelebihan majoriti 2,434 undi yang diraih Alahyarham Dr A Rahman, BN mempunyai peluang besar bagi mempertahankan kerusi tersebut walau siapa pun calon Pas yang akan bertanding di situ kelak.

 

Terengganu juara Kategori Lampu Terbaik

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Keindahan dan Keunikan lampu yang dipaparkan pada bot berhias membolehkan Terengganu dipilih sebagai pemenang Kategori Lampu Terbaik sempena Pertandingan `Magic Of The Night’ di Persiaran Tasik Putrajaya, Kuala Lumpur yang berakhir malam kelmarin.

 Bot berhias ciptaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menekankan beberapa keunikan, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik membolehkan Terengganu layak menjuari kategori itu.

 Pertandingan yang berlangsung selama sembilan hari, iaitu bermula 22 hingga 30 Jun itu disertai 14 bot berhias. Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani, berkata sebanyak 14 bot berhias dengan pelbagai motif dan ikon pelancongan terkenal menonjolkan kehebatan masing-masing.

Katanya, juara keseluruhan bagi pertandingan itu dimenangi Putrajaya, manakala ketegori Paling Popular (Johor) dan kategori Bot Kreatif pula digondol Sabah.

“Dianjurkan buat kali ketiga, "Magic of the Night" yang diadakan sempena Floria Putrajaya (anjuran Pebadanan Putrajaya) telah menjadi acara tahunan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semenjak tahun 2011 dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan asing.

 “Acara ini memaparkan perarakan bot-bot yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni yang direka khas berdasarkan keunikan dan kreativiti para peserta serta bertemakan flora dan fauna, ikon serta produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menjadi tarikan mengikut negara, negeri atau organisasi masing-masing.,” katanya.