Halaman

09 July 2013

Golongan muda sokong calon BN Kuala Besut

Tengku Zaihan 



Oleh: Kamarudin Mat Akib 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pemuda Umno Terengganu yakin calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, akan mendapat sokongan padu daripada pengundi muda di kawasan berkenaan.

Malah, Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisaham Zaki, turut menaruh keyakinan yang besar calon berkenaan bakal menjadi pilihan majorit penghundi di kawasan itu, sekaligus membantu memastikan kemenangan BN pada PRK berkenaan.

 “Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, kita (BN) agak sukar untuk mendapat undi daripada golongan muda.

 “Bagaimanapun, pada PRK ini saya yakin Tengku Zaihan mampu meraih undi daripada generasi muda kerana beliau merupakan calon terbaik yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan BN,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas pencalonan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat) Tengku Zaihan, 37, sebagai calon BN pada PRK Kuala Besut, pada 24 Julai ini.

Pengumuman tersebut dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, selaku Pengarah Pilihanraya BN, di Dataran Kuala Besut, petang ini.

Encik Badrul Hisham berkata, pihaknya akan menggerakkan jentera parti bagi membantu calon BN menang pilihan raya dan mendapat majoriti yang lebih besar seperti yang dihajati pucuk pimpinan BN.

 “PRK ini tidak boleh dipandang ringan dan kita perlu berjuang berhabis-habisan bagi mempertahakan kedudukan BN sebagai kerajaan yang memerintah negeri ini,” katanya.

 

Balu Dr.A Rahman terima PJK

Oleh: Noraini Jusoh

Balu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, Hajah Azizah Nik Omar dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Sukan, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) dan balu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia baru-baru.

Hajah Azizah hadir bersama anaknya bongsunya, Nurul Najihah, pada majlis tersebut.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli untuk Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran negeri kepada 217 penerima sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan baginda pada tahun ini.

Menurut Hajah Azizah, walaupun baru kehilangan suami tercinta beliau tetap menguatkan semangat untuk hadir ke majlis berkenaan.

"Saya gembira bercampur sedih dengan penganugerahan pingat ini kerana begitu merasakan ketiadaan arwah di sisi, tetapi dengan adanya Nurul Najihah bersama saya pada hari ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu saya pada arwah.

"Pemergian arwah membuatkan saya betul-betul rasa kehilangan tetapi demi anak-anak saya perlu terus tabah dan kuat dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis tersebut.

Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Srikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud kerana telah mencalonkannya untuk menerima pingat itu.

 

TENGKU ZAIHAN BERUSIA 37 TAHUN CALON BN PRK KUALA BESUT

Laporan terus dari: Ruslan Abdul Rahman, Fauzi Mohd dan Haji Mohamad Ishak dari Besut. 

 Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat) Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.
  Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, selaku Pengarah Pilihanraya BN, di Dataran Kuala Besut, sebentar tadi dan disambut sorakan kira-kira 4,000 penyokong BN yang hadir.
Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan para pemimpin parti komponen.
  Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Tengku Zaihan adalah taruhan terbaik BN untuk pengundi di DUN Kuala Besut berdasarkan pengalaman luas beliau dalam jabatan kerajaan dan boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.
  Tegas beliau  pemilihan Tengku Zaihan dibuat selepas melalui proses pemilihan yang mengambilkira kehendak tempatan dan calon yang 'winable"
 “Saya yakin ini adalah calon terbaik.  Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik" katanya.
 Calon yang diterima oleh semua,” ujar beliau.
  Tengku Zaihan ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon pilihan raya berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘pilihan raya kecil yang besar’
  Anak kelahiran tempatan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.
  “Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya demi rakyat Kuala Besut,” katanya yang juga ahli UMNO Cawangan Seri Seratus dan anak kepada veteran Umno.
  Tengku Zaihan sebenarnya telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan berkenaan ketika berkhidmat sebagai Jurutera Daerah JPS Besut.

TDM serah dividen tertinggi sejak 2006 berjumlah RM35.3j

Oleh: Aida Abd Rahman

Anak syarikat kerajaan Terengganu, Terengganu Development Management (TDM) Berhad merekod pembayaran dividen tertinggi sejak 2006 berjumlah RM35,303,886.86.

Pembayaran ini merupakan rekod bayaran dividen tertinggi yang pernah dibayar kepada pelbagai agensi kerajaan negeri bagi pendapatan yang diperoleh dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2012.

Berdasarkan kenyataan kepada media, syarikat itu berjaya merekodkan peningkatan sebanyak 21. 6 peratus dari jumlah bayaran yang dibayar pada tahun kewangan sebelumnya iaitu sebanyak RM29,029,148.83.

Katanya, bayaran itu akan diserahkan oleh Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu, Tingkat U2, Blok Podium, Wisma Darul Iman, esok.

Sementara itu, TDM Berhad mencatat keuntungan RM214 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Jumlah bayaran tersebut meliputi 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat berkenaan.


Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang ke-51.

Putera Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Muhammad Mua'az dan puteri baginda, Tengku Nadhirah Zahrah turut berangkat.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, kerabat-kerabat Raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara dan pegawai-pegawai kerajaan.

Hari ini seramai 217 senarai penerima bintang dan darjah kebesaran daripada keseluruhan 324 yang hadir menerima pengurniaan.

 

Sembilan pusat mengundi di PRK Kuala Besut

Sembilan pusat mengundi akan dibuka bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Fakhrul Razi Ab. Wahab, berkata, selain itu, sebuah pusat pengundian awal akan dibuka di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak dengan dua saluran mengundi pada 20 Julai.

 “Bagi pengundian biasa, lapan buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi dengan kesemuanya 35 saluran tempat mengundi termasuk di Pulau Perhentian,” katanya kepada Bernama.

 Seramai 305 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini yang dianggarkan melibatkan kos kira-kira RM750,000.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Dr. A. Rahman Mokhtar 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada PRU-13, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut dengan mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar.

Ketua Cawangan UMNO Dun Kuala Besut bersetuju siapa saja calon BN


Abd Rashid Jusoh

Oleh: Mohammad Ishak

Kesemua 36 Ketua Cawangan UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, sepakat menyokong siapa sahaja nama calon yang bakal dipilih pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 24 Julai ini.

Pemimpin terbabit menzahirkan sokongan kepada Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya berkenaan.

Menurut mereka, siapa sahaja calon yang dipilih bertanding ia akan disokong bagi mempastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal di DUN Kuala Besut. “Yang pasti semua jentera parti akan bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi dalam PRK yang dianggap penting itu,” kata mereka ketika menghadiri majlis perjumpaan dengan Idris di Pejabat Penyelaras DUN semalam.

PRK Kuala Besut akan diadakan pada 24 Julai manakala hari penamaan calon 12 Julai. Seramai 17,683 jumlah pemilih berdaftar layak mengundi di PRK itu yang pertama diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei lalu.

Ketua Cawangan Umno Kampung Lay Out Tok Saboh, Abdul Rashid Jusoh berkata,pemimpin peringkat akar umbi tidak menghadapi masalah untuk menyokong mana-mana calon yang diletakkan bertanding pada PRK itu.

Katanya, kami sudah berikhrar untuk bersatu dan mem beri sokongan kepada calon dan walau apa keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Yang penting BN akan terus kekal di DUN itu bagi meneruskan agenda parti dan kerajaan untuk membangunkan kawasan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut.

Ketua Cawangan Umno , Alur Teratai, Ariffin Sulong berkata, PRK itu penting bagi kesinambungan pembangunan di perkampungan nelayan Kuala Besut diteruskan oleh kerajaan BN.

Oleh itu,katanya, tidak ada sebab pengundi menolak mana-mana calon BN yang diletakkan bertanding kerana sesiapa sahaja calon adalah mewakili BN.

Sementara itu, Idris yang juga Menteri Pendidikan II berkata, nama calon yang akan bertanding di kawasan itu akan diumumkan jam 2.30 petang ini di Dataran Kuala Besut  oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK terbabit. .

Tabung Haji Hotel tawar konsep pematuhan syariah kepada pelanggan

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih)

Tabung Haji Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) menawarkan konsep pematuhan syariah atau “Shariah Compliance” kepada pelanggan sempena kedatangan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan dinanti-nanti oleh semua penganut beragama Islam.

Menepati ciri pematuhan syariah, THHT menyediakan kolam tertutup untuk wanita, ruang mandi dan tandas yang berasingan di dalam bilik-bilik hotel. Selain itu, turut disediakan “wading pool” bagi kanak-kanak dengan konsep taman tema mini, Mananti Lounge yang dilengkapi kemudahan wifi secara percuma.

 THHT yang merupakan hotel empat bintang menyediakan 182 bilik yang luas dan selesa terdiri daripada Bilik Superior, Deluxe, Keluarga, Suite dan Apartment, dan juga bilik bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Dikenali juga sebagai pusat konvensyen, THHT menyediakan ruang dewan persidangan dan bankuasi yang terbesar di Terengganu, di mana mampu memuatkan 3000 orang pada satu masa, mempunyai empat bilik persidangan dan sembilan bilik mesyuarat.

 Mengambil keberkatan sempena Ramadhan, THHT menjemput anak-anak yatim Darul Hilmi, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu dan rakan-rakan media untuk berbuka puasa di restoran eksklusif mereka, iaitu Restoren Lagenda.

 Selain itu, THHT juga menawarkan bufet Ramadhan dengan harga berpatutan, iaitu RM59.00 untuk dewasa dan RM41.00 untuk kanak-kanak.

 Pelanggan tidak perlu risau untuk mengerjakan solat kerana kemudahan surau yang luas turut disediakan kepada pengunjung. THHT juga membuat promosi untuk bilik, iaitu pada harga serendah RM180 beserta dengan sahur atau sarapan pagi untuk bilik Superior dan Deluxe sepanjang bulan Ramadhan ini.

 

JKNT periksa 95,339 premis cegah denggi

Oleh; Esah Abdullah 

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya membuat pemeriksaan terhadap 95.339 premis di seluruh negeri untuk mencegah denggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

 Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut 5,887 premis telah diberi notis pembersihan di bawah Seksyen 8, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP).

“Daripada jumlah tersebut juga didapati 457 premis positif Aedes dan kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM500 setiap premis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Gempur Aedes Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Pejabat Kesihatan daerah Marang semalam.

Katanya, dalam usaha mencegah penyakit demam denggi JKNT telah menubuhkan 110 pasukan Komunikasi Ubah Tingkah Laku (Kombi) yang main peranan begitu aktif menyedarkan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran tempat kediaman.

Menurutnya, jabatan juga menjalankan aktiviti berterusan bagi mengenalpasti lokaliti yang bermasalah di samping menjalankan pemeriksaan berkala serta penyeliaan lebih rapi oleh pegawai bertugas.

Dato’ Dr Anwa juga mengingatkan masyarakat di negeri ini tidak merasa selesa apabila berlaku penurunan kes denggi yang dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebaliknya perlu sentiasa mengambil berat kebersihan sekeliling.

Orang ramai juga diminta luangkan masa setiap hujung minggu untuk mengesan dan memusnahkan sebarang tempat atau bekas pembiakan nyamuk aedes di dalam dan di luar rumah kediaman.

“Segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam dan sakit sendi kerana rawatan awal akan memudahkan pengesanan kes bagi pelaksanaan pencegahan denggi yang berkesan,” katanya.

MENUNGGU-NUNGGU SIAPAKAH CALON YANG BAKAL BERTANDING

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Hanya tinggal beberapa jam lagi, calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan disusuli pula pada sebelah malamnya Pas pula akan mengumumkan calonnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut.
Pas yang kebiasaannya mengumumkan calon terlebih awal, tetapi kali ini tidak berbuat demikian.
  Apakah kerana masalah kesukaran memilih atau ada strategi tertentu? Di peringkat BN beberapa calon disebut-sebut termasuk pegawai tadbir, pegawai tadbir agama (kadi), bekas kakitangan kerajaan dan beberapa aktivis Umno dan masyarakat.
 Ada yang berpendapat calon berpendidikan agama perlu dipilih berdasarkan keperluan kepimpinan negeri, tetapi ada juga yang berpendapat calon yang popular di kalangan rakyat perlu diberi keutamaan kerana penduduk Kuala Besut amat suka wakil rakyat yang bergelumang dengan mereka.
 Pas sendiri pun masih tercari-cari yang paling sesuai, termasuklah Nik Zawawi Salleh, tetapi ada penyokong yang berpendapat calon wanita Napisah Ismail perlu dikekalkan.
 Seorang calon Pas yang dikenali dengan jolokan “ tauke kayu saiz” juga disebut-sebut kerana dikatakan dipercayai popular.
 Ada juga kalangan Pas lebih memihak kepada Yang Dipertua Pas Besut sendiri bertanding iaitu Wan Azhar Wan Ahmad.
 Namun begitu, di pihak BN kali ini calonnya dikatakan seorang yang ‘winable’ dan telah dikenali oleh rakyat.
 Yang pastinya calon itu telah dipersetujui oleh Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak.
 Apakah dalam tempoh beberapa lagi ini tuan empunya diri sudah dimaklumkan bahawa mereka terpilih dan diminta rahsiakan hatta kepada keluarga sendiri sebelum tiba masanya?
 Namun begitu pastinya mereka akan mendapatkan restu keluarga terlebih dahulu dan jika masih mempunyai  ibubapa sudah tentu restu ibubapa akan terlebih dahulu dipohonkan.
  Beberapa fitnah sudah cuba disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab melalui SMS dan sebagainya kepada beberapa nama calon BN yang disebut-sebut dan diramalkan oleh media.
  Itulah sikap pembangkang yang bagi mereka perkara biasa membuat fitnah kepada mana-mana calon lawannya.
  Amalan menfitnah membuat tohmahan tanpa bukti adalah perbuatan jahat yang amat bertentangan dengan Islam.
 Sesiapa pun calon BN atau Pas yang bakal diumumkan nanti, diharapkan bertandinglah secara sihat dan menjaga kesucian bulan Ramadhan.