Halaman

09 July 2013

Balu Dr.A Rahman terima PJK

Oleh: Noraini Jusoh

Balu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, Hajah Azizah Nik Omar dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Sukan, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) dan balu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia baru-baru.

Hajah Azizah hadir bersama anaknya bongsunya, Nurul Najihah, pada majlis tersebut.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli untuk Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran negeri kepada 217 penerima sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan baginda pada tahun ini.

Menurut Hajah Azizah, walaupun baru kehilangan suami tercinta beliau tetap menguatkan semangat untuk hadir ke majlis berkenaan.

"Saya gembira bercampur sedih dengan penganugerahan pingat ini kerana begitu merasakan ketiadaan arwah di sisi, tetapi dengan adanya Nurul Najihah bersama saya pada hari ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu saya pada arwah.

"Pemergian arwah membuatkan saya betul-betul rasa kehilangan tetapi demi anak-anak saya perlu terus tabah dan kuat dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis tersebut.

Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Srikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud kerana telah mencalonkannya untuk menerima pingat itu.