Halaman

12 July 2013

Pengerusi MAYC Negeri dinobat pemenang Anugerah Belia 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman dinobatkan pemenang bagi Anugerah Belia Kategori Lelaki sempena Sambutan Hari Belia Negeri dan Penyampaian Anugerah Belia Negeri Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Amirullah yang juga Pembantu Unit Komunikasi Negeri Terengganu Parlimen Marang itu membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

"Alhamdulillah, saya rasa bertuah dan bersyukur kerana mendapat pengiktirafan yang cukup bermakna dan tinggi dari kerajaan negeri sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam persatuan belia ini.

"Anugerah ini satu amanah untuk saya memartabatkan lagi pertubuhan belia yang dinaungi dan memastikan nasib belia di bawah persatuan MAYC khususnya akan terus terbela,” katanya kepada Teganukita.

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Manakala Anugerah Belia Kategori Wanita pula menjadi milik Ahli Jawatankuasa Belia Daerah Marang, Puan Laila Md Daud.

 Kejayaan itu membolehkan Laila membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil.

Sementara Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu Syed Muhamad Hafizudin Datuk Syed Omar pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Belia Negeri.

Selain itu, johan bagi Anugerah Persatuan Belia pula diraih Persatuan Belia Permata (MAYC) Seberang Takir, manakala naib johan pula dimenangi Persatuan Belia Setia Pakat (MAYC) Tebakang, Alor Limbat.

Kedua-dua persatuan belia itu menggondol wang tunai masing-masing RM10,000 dan RM5,000, selain trofi serta sijil.