Halaman

08 July 2013

YPU mainkan peranan penting bangunkan PKS

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memainkan peranan penting dalam pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini sejak 15 tahun yang lalu.

Dalam memastikan kemajuan PKS Terengganu, YPU telah merngadakan pelbagai bentuk latihan, kursus dan seminar kepada usahawan dalam memastikan mereka mampu menjadi seorang usahawan yang berpengetahuan dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, sebanyak 50 siri latihan, seminar serta kursus telah diadakan sepanjang tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 1500 peserta yang telah mengikuti program yang diadakan.

"YPU turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi terutama yang berkaitan dengan keusahawan khususnya untuk memartabatkan usahawan Terengganu agar mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat global.

"Untuk memastikan segala maklumat berkaitan program yang dianjurkan YPU sampai kepada pengetahuan pengusaha PKS, saya juga berharap mereka sentiasa berhubung dengan pihak kami agar program yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para usahawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan terus membantu dalam memastikan para usahawan di negeri ini berjaya serta berubah kearah yang lebih cemerlang.