Halaman

11 July 2013

Maidam anjur ujian hafaz al-Quran

 Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Sukor (Pelatih) 

 Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menganjurkan Ujian Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu bagi penggal kedua tahun 2013.

 Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid MAIDAM, Dato’ Hajah Samsiah Awang, berkata, pihaknya mempelawa sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai ujian tersebut.

 “Setiap peserta perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu beragama Islam, rakyat negeri Terengganu yang bermastautin di Terengganu dan tahap minima hafaz adalah tidak kurang dari tujuh juzu’ pertama mengikut susunan mashaf.

 “Selain itu, pemohon hendaklah berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu’ dan pemohon berumur 30 dan ke atas pula hendaklah memasuki tahap 30 juzu,’”katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, penyertaan turut terbuka kepada mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau mana-mana Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran atau yang seumpama dengannya, di mana mereka hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu’.

“Peserta hendaklah bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di Terengganu sahaja iaitu di tempat-tempat yang diarahkan dan dipersetujui oleh Jabatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Sumbangan tersebut merujuk kepada pengajaran kelas Al-Quran, kelas Fardhu Ain, mengajar Bahasa Arab dan mengajar ilmu Tafsir Al-Quran, Tajwid, Feqah dan lain-lain kepada masyarakat atau kanak-kanak yang penyertaannya melebihi 10 orang,” katanya.

Dato’ Hajah Shamsiah berkata, mana-mana invidu yang berminat boleh mengisi borang yang boleh didapati melalui lawan sesawang jheatweb.

terengganu.gov.com.my, pejabat Maidam dan Pejabat Agama Daerah masing-masing. “Bagi pemohon 30 juzu’ pula, mereka hendaklah mengisi Borang Maklumat Sumbangan Sukarela Berkembar.

  “Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Agama Daerah masing-masing sebelum atau pada 31 Julai 2013,” katanya.

.