Kerajaan negeri berharap kepimpinan muda di negeri ini mampu merangka program yang dapat menjaga kepentingan dan menentukan hala tuju golongan belia dalam mendepani cabaran masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata program yang diatur itu mampu menyuntik semangat golongan belia untuk aktif berpersatuan, sekali gus dapat mencapai sasaran untuk mengaktifkan kesemua 500 persatuan belia seluruh negeri, berbanding hanya 101 persatuan belia yang aktif tahun lalu.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga sentiasa menyalurkan bantuan dan peruntukan tanpa henti bagi membangunkan modal insan khususnya di kalangan belia menerusi persatuan dan pertubuhan yang berdaftar bagi memastikan golongan ini lebih aktif dan mampu berbakti kepada sesama mereka dan masyarakat sekeliling.
"Persatuan di peringkat akar umbi, di kampung-kampung harus diaktifkan kembali kerana kita bermula dari peringkat akar umbi," katanya sempena sambutan Hari Belia Negeri dan Penyampaian Anugerah Belia Negeri Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali.
Katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM1.4 juta pada tahun ini untuk kesemua persatuan belia melaksanakan program mereka.
“Kita sedar golongan ini menjadi aset utama negeri serta negara pada masa depan dan segala keperluan dan kehendak mereka tidak pernah dipandang sepi,” katanya.
YB Haji Rozi turut melahirkan rasa bangga dan menyanjung tinggi keupayaan Terengganu di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 walaupun gagal mempertahankan kejuaraan buat kali kelima, baru-baru ini.
“Walaupun di atas kertas kita berada di kedudukan kedua keseluruhan selepas dirampas pencabar utama, Selangor, bagi saya kita tetapi juara kerana menunjukkan daya juang yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kedudukan itu.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kita selepas banyak acara yang menjadi kegemaran dan penguasaan kita tidak dijalankan, namun kita tetap berada pada kelas tersendiri dalam temasya itu kerana memperolehi banyak emas dalam acara tertentu termasuk mendayung dan sebagainya,” katanya.