Halaman

07 July 2013

107 penerima bintang dan darjah kebesaran

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Seramai 107 penerima bintang dan darjah kebesaran hadir pada Majlis Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pergurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli untuk pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri kepada penerima-penerima sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan pada tahun ini.

 Penerima itu didahului dengan Setiausaha Kerajaan Terengganu Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.


Mereka berdua dianugerah darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang membawa gelaran Dato'.

 Seorang lagi menerima darjah tersebut ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar namun beliau tidak hadir atas sebab-sebab tertentu.

 Dua penerima Peringkat Yang Ketiga Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) yang juga membawa gelaran Dato’ ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mohamad Salleh.



 Manakala 13 menerima Peringkat Yang Kedua membawa gelaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang juga bergelar Dato’ ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dato’ Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Dato’ Raja Arif Raja Ali.


 Penerima lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Dr Che Abd Rahim Nik; Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Dato’ Haji Shafii Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

 Diikuti Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah, Dato’ Abdul Wahad Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Risda (Pembangunan),Dato’ Mohamat Muda; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu, Dato’ Nor Akmal Abdul Fatah dan Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal, Dato’ Hajah Samsiah Awang.

 Turut menerima, Naib Yang DiPertua Perkaya, Dato’ Haji Harun Hassan dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dato’ Dr Mahamed Anwar Omar Din.

 Kesemua penerima itu adalah sebahagian daripada 324 penerima bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Ke-51 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.