Halaman

11 July 2013

RTM Terengganu sedia program khas PRK Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu akan menerbitkan rancangan khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, bermula hari ini sehingga 24 Julai nanti.

Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff (gambar), sepanjang tempoh dua minggu, pihaknya akan bersiaran langsung dari sebuah resort di Besut bermula jam 10 pagi.

“Kita akan menyediakan rancangan secara langsung membabitkan pengisian dari sebelah pagi, tengahari dan juga malam yang mungkin mengambil masa enam jam sehari sepanjang tiga sesi berkenaan.

“Bukan sahaja Radio Malaysia Terengganufm (TfM), Radio Malaysia Kelantanfm juga turut serta sepanjang program khas itu berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, baru-baru ini.

Puan Azizah berkata, sempena PRK itu juga pihaknya menyajikan program Ceria Ramadan yang menjemput pemimpin setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri untuk majlis berbuka puasa bersama golongan sasar khususnya masyarakat setempat dan anak yatim.

Beliau berkata, lebih 100 petugas terlibat sepanjang program khas itu yang melibatkan RTM Terengganu, Kuala Lumpur dan juga Kelantan.

“RTM Terengganu mahu program ini berupaya meningkatkan kesedaran rakyat terhadap usaha pembangunan, transformasi dan kecaknaan kerajaan kepada rakyat selama ini.

 “Saya berharap program ini mencapai matlamat yang digariskan pihak kami,” katanya.