Halaman

08 July 2013

Kes denggi menurun di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya mencatat penurunan kes denggi sebanyak 63.2 peratus dan penurunan kes wabak 83.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, tahun lalu terdapat 418 kes denggi yang dikesan manakala tahun ini hanya 154 kes dan kes wabak pula 12 (2012) dan dua kes tahun ini.

“Tiada kematian dicatatkan dan wabak adalah terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Ops Gempur Aedes’ Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Pejabat Kesihatan Daerah Marang hari ini.

Katanya, ops gempur ini diadakan serentak di seluruh negara ditujukan kepada lokaliti terpilih yang bermasalah denggi serta dikenalpasti lebih awal sebelum operasi bertujuan mencegah penularan penyakit bawaan vektor di samping memberi kesedaran kepada orang awam agar menjaga kebersihan premis masing-masing.

Menurutnya, dua lokaliti wabak di kenalpasti di negeri ini ialah Kampung Pantai Pandak. Kuala Terengganu dan Kuarters Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Beberapa kampung lain turut terbabit ialah Kampung Chendering Jalan Sekolah, Kampung Chendering dan Kampung Simpang Empat Chendering ( daerah Kuala Terengganu). Kampung Paya, Kampung Kijing dan IPD Marang (daerah Marang).

“Sebanyak 1,301 premis telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan tujuh rumah kediaman dan premis telah dikenakan kompaun sebanyak RM500 manakala 40 lagi diberi notis pembersihan di bawah Seksyen 8,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan berulang, tindakan mahkamah boleh dikenakan kepada tuan punya premis dengan denda maksima RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duannya sekali.