Halaman

11 July 2013

CEDAR seru belia manfaatkan Dana Tabung Usahawan Muda

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (CEDAR) di bawah Kementerian Sumber Manusia menyeru lebih ramai belia manfaatkan Dana Tabung Usahawan Muda.

Ketua Pegawai Operasi CEDAR, Dr Sheikh Ghazali Abod berkata, bagi melihat lebih ramai anak muda menceburi bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pihaknya giat mengadakan kempen, seminar dan sebagainya untuk memberi pendedahan mengenai bantuan dan peluang keusahawanan yang disediakan pihak kerajaan kepada golongan muda.

"Program-program yang kita adakan bertujuan untuk menarik lebih ramai belia menjadi usahawan sekali gus dapat manfaatkan dana RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Muda yang telah diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet 2013.

"Bermula April lepas, dana khusus untuk anak muda menceburi bidang PKS itu telah memberi kemudahan modal kepada lebih 100 usahawan di seluruh negara dengan pinjaman sehingga RM100,000 bergantung kepada bentuk perniagaan yang dijalankan,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media di Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk PKS di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Namun demikian, amat mendukacitakan bagi Negeri Terengganu katanya, sehingga kini tidak ada seorang pun anak muda tampil merebut peluang berkenaan untuk meneroka peluang bergelar usahawan PKS.

"Untuk memohon dana berkenaan amat mudah malah tidak mensyaratkan seseorang itu mempunyai segulung ijazah, tetapi cukup mereka yang berminat untuk berusaha keras, ada semangat berniaga dan berumur antara 18 hingga 35 tahun.

"Anak-anak muda yang baru lepas SPM dan tidak mempunyai modal dan pengalaman, tetapi berminat untuk menjadi usahawan dipelawa memohon dana berkenaan melalui SME Bank,” ujarnya.

Katanya, latihan dan bimbingan juga akan diberikan kepada mereka sehingga mampu menjadi seorang usahawan PKS.

Jelas beliau, selain pelbagai bantuan yang disediakan pihak kerajaan, ilmu, sikap dan kemahiran sangat penting dalam membentuk diri seseorang itu sehingga dapat bergelar usahawan yang berjaya.