Gambar oleh Zulkipli Putra
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan baginda, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu, pagi ini.
Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Tengku Sri Temenggong Raja,Tengku Bentara Raja dan To’ Puan Seri Tengku Halifah Kasnihah Tengku Su.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.
Turut sama menyambut Sultan Terengganu, Panglima Markas Briged Ke Lapan Infantri, Briged Jeneral Dato’ Mohamad Zaki Hamzah dan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamsah Mustapa.
Sejurus tiba, Menteri Besar dan isteri kemudiannya memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu berangkat ke Pentas DiRaja, diikuti dengan Kawalan Kehormat Utama mempersembahkan `Hormat DiRaja’ serentak dengan lagu Selamat Sultan.
Majlis kemudiannya disusuli dengan Bendera DiRaja dipecahkan dan dikibarkan di SSINS beserta 21 das tembakan meriam.
Sultan Mizan kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang disusuli dengan persembahan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan sebelum kumpulan kawalan kehormat itu berjalan keluar dari stadium.
Sejurus kemudian, baginda berkenan memeriksa kontinjen perbarisan mengelilingi stadium dengan menaiki kenderaan khas, disusuli dengan perbarisan berjalan lalu serta memasuki semula ke tempat asal dan melaungkan seruan `Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.
Sebelum majlis berakhir, Kawalan kehormat Utama memasuki semula ke dalam stadium berserentak dengan persembahan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan.