Halaman

09 July 2013

JKNT periksa 95,339 premis cegah denggi

Oleh; Esah Abdullah 

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya membuat pemeriksaan terhadap 95.339 premis di seluruh negeri untuk mencegah denggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

 Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut 5,887 premis telah diberi notis pembersihan di bawah Seksyen 8, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP).

“Daripada jumlah tersebut juga didapati 457 premis positif Aedes dan kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM500 setiap premis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Gempur Aedes Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Pejabat Kesihatan daerah Marang semalam.

Katanya, dalam usaha mencegah penyakit demam denggi JKNT telah menubuhkan 110 pasukan Komunikasi Ubah Tingkah Laku (Kombi) yang main peranan begitu aktif menyedarkan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran tempat kediaman.

Menurutnya, jabatan juga menjalankan aktiviti berterusan bagi mengenalpasti lokaliti yang bermasalah di samping menjalankan pemeriksaan berkala serta penyeliaan lebih rapi oleh pegawai bertugas.

Dato’ Dr Anwa juga mengingatkan masyarakat di negeri ini tidak merasa selesa apabila berlaku penurunan kes denggi yang dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebaliknya perlu sentiasa mengambil berat kebersihan sekeliling.

Orang ramai juga diminta luangkan masa setiap hujung minggu untuk mengesan dan memusnahkan sebarang tempat atau bekas pembiakan nyamuk aedes di dalam dan di luar rumah kediaman.

“Segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam dan sakit sendi kerana rawatan awal akan memudahkan pengesanan kes bagi pelaksanaan pencegahan denggi yang berkesan,” katanya.