Halaman

11 July 2013

Tengku Zaihan pilihan tepat

Oleh: Suriati Ali

Pengumuman calon muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, pada 24 Julai ini disifatkan sebagai pilihan yang tepat.

Calon BN, Tengku Zaihan (berbaju belang) dekat di hati rakyat Kuala Besut.
Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin, berate pemilihan itu memperlihatkan komitmen berterusan BN dalam membawa transformasi politik tidak hanya bersandarkan kepada pengalaman dan usia.

“Malah pada masa sama, mengambil kira kelayakan akademik, kemampuan memberi perkhidmatan yang baik, penerimaan masyarakat setempat serta kebolehpercayaan.

“Pemilihan calon-calon muda adalah sebagai bukti sifat keterbukaan yang diamalkan oleh BN di samping menjadikan parti itu lebih kuat dan bertenaga.

“Saya berharap beliau dapat bekerja dengan proaktif untuk membawa Kuala Besut ke satu tahap yang lebih baik dengan menggunakan kekuatan fizikalnya sebagai orang muda dan akal fikirannya sebagai seorang jurutera," katanya kepada Teganukita.

 Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan Tengku Zaihan, bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon kerusi DUN Kuala Besut.

 PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu akibat komplikasi paru-paru berair.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Terengganu , Puan Nordiana Shafei berkata, usia muda bukan kriteria utama, namun perkara tersebut menjadi pelengkap selepas aspek lain seperti memiliki latar belakang yang memenuhi kehendak masyarakat setempat dikenal pasti pada diri seseorang calon tersebut.

Menurut beliau, dengan pakej yang dimiliki Tengku Zaihan, ditambah dengan usaha keras sepanjang tempoh pilihan raya kecil, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu diyakini dapat mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti 2,434 undi.

 “Kami mengalu-alukan pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon orang muda di DUN Kuala Besut. Kami berharap beliau dapat menonjolkan kriteria-kriteria yang harus dimiliki oleh seseorang wakil rakyat pada masa kini,"katanya.