Halaman

07 July 2013

Pasukan Niners naib johan bola Jaring KWDI 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Niners muncul naib johan Kejohananan Bola Jaring Wisma Darul Iman 2013 selepas dijinakkan Kelab Permata dalam perlawanan akhir yang berkesudahan 8-13, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Pasukan Niners, johan kumpulan A mara ke pentas final selepas berjaya menundukkan pasukan Perbendaharaan di peringkat separuh akhir, dengan mata 8-6.

Pasukan yang diketuai Puan Najwa Hanis Abdul Samat itu memulakan langkah kanan selepas mengalahkan Kejora dengan jaringan 8-7, sebelum meneruskan rentak cemerlang menundukkan penyandang juara tahun lalu, Lebah dengan mata 10 berbalas 6.

Gandingan pemain di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Cik Suraya Isa terus menunjukkan keserasian apabila membenamkan pasukan Urus dengan mata 18-2 sebelum layak ke separuh akhir.

Sementara pasukan Permata, penyandang naib johan tahun lalu, mengalahkan Kejora, 14 berbalas 3 di peringkat separuh akhir untuk mengesahkan langkah ke final bertemu Niners yang akhirnya memihak kepada pasukan itu muncul juara edisi ini.