Halaman

08 July 2013

Tfm saji 37 program khas sempena Ramadan dan Hari Raya

YB Ghazali Taib menekan ipac mini gimik pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya Tfm di Equestrian Resort Kuala Ibai.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) menyajikan 37 program khas sepanjang Ramadan dan Hari Raya bagi menyemarakkan sambutan bulan mulia itu sekaligus menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat khususnya pendengar setia saluran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata Tfm yang menyajikan pelbagai informasi dan hiburan khas untuk pendengar dari segenap lapisan mengikut segmen tertentu turut melaksanakan program wajibnya, iaitu `Ceria Ramadan’ yang mula diperkenalkan sejak 2010.


"Tfm menggerakkan program itu dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), syarikat swasta, hotel dan masyarakat setempat sebagai langkah mendekati golongan yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, orang kelainan upaya serta ibu-ibu tunggal.

“Objektif utama program sebagai satu tanggungjawab sosial korporat Tfm selain merakyatkan radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program radio di lokasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, hari ini.


Turut hadir, Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

YB Ghazali berkata, program Ceria Ramadan merangkumi sebelas sesi akan melibatkan semua golongan sasar, termasuk Ceria Ramadan Bersama Media (11 Julai di Hotel Tabung Haji); Ceria Ramadan Bersama Anak Yatim pada 12 Julai di Hotel Sumai Suite, pada 14 Julai di TER, pada 30 Julai di Hotel Prinz Park dan Taman Tamadun Islam (1 Ogos) serta Ceria Ramadan bersama penduduk Dewan Undangan Negeri  (Dun) Jabi (29 Julai).

Rancangan lain sepanjang bulan Ramadan ialah Jelajah Ramadan (berbula puasa) (19 Julai di Demong Beach Resort, Besut; 20 Julai di Dun Kuala Besut dan (bersahur) di Intitut Pendidikan Guru Sultan Mizan pada 21 Julai.

Segmen khas di radio termasuk Hidayah Nur Ramadan (jam 1.30 petang); Syiar Ramadan ( 6.15 petang); Kuiz Ramadan (12.45 tengah hari); Tadarus al-Quran (9.45 malam); Mari Mengaji (2 petang) dan Drama Khas Ramadan (tiga kali seminggu bermula jam 3.45 petang, selama 15 minit).

Sementara rancangan Hari Raya, termasuk Dendang Perantau (malam raya pertama, 9.15 malam), siaran langsung solat sunat hari raya (hari raya pertama , jam 8 pagi); Indahnya Syawal (hari raya pertama , 10.30 pagi) dan Muzika Raya TFM (hari raya pertama, jam 2 petang).