300 peserta dari kalangan majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini menyertai Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk PKS yang bertemakan 'Pengurusan Sumber Manusia Mencorak Masa Depan Perniagaan' di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik berkata, seminar anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB-HRDF) bertujuan menyediakan landasan bagi perkongsian ilmu serta maklumat berkenaan aplikasi pengurusan sumber manusia secara strategik.
"Ia juga berperanan membantu majikan PKS dalam mengukuhkan perniagaan melalui pengurusan sumber manusia yang berkesan.
"Seminar ini merupakan salah satu aktiviti jelajah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang dilakukan secara berkala ke seluruh negara,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan seminar tersebut.
Katanya, hasrat kerajaan untuk memperkasakan agenda Transformasi Ekonomi golongan usahawan PKS akan tercapai dengan segala program yang terancang serta pelbagai inisiatif yang dijalankan di bawah PSMB.
Katanya, seminar sebegini juga merupakan salah satu platform untuk membincangkan masalah yang dihadapi para majikan terutamanya berkaitan permasalahan sumber manusia dan usaha-usaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Tambah beliau, ia diharap dapat memberikan kesedaran kepada majikan terutamanya dalam mengurus sumber manusia kerana untuk menjamin kejayaan sesebuah perniagaan memerlukan pengurusan yang berkesan,” ujarnya.
Katanya, selain menyokong program ini, menerusi seminar ini juga YPU turut mengadakan kolaborasi dengan rakan strategik seperti SME Bank dan anak syarikatnya, CEDAR serta Credit Guarantee Corporatio (CGC).
"Kolaborasi ini bertujuan menyediakan peluang kepada golongan sasar untuk memperoleh maklumat berkenaan pembiayaan kewangan yang boleh dipohon dalam usaha mempertingkatkan potensi perniagaan dan menambahbaik insfrastruktur perusahaan,” ujarnya.