Tiga kadar fitrah telah ditetapkan bagi negeri Terengganu tahun ini iaitu RM7.60 atau RM7 atau RM4.50 bagi setiap orang.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato, Haji Mohd Rozali Saleh berkata, kadar yang ditetapkan ini adalah sama seperti tahun lepas.
Dato' Haji Mohd Rozali menunjukkan kad tauliah amil yang dikeluarkan oleh Maidam |
Menurutnya, kadar nilaian tunai dikira berdasarkan kepada harga beras gred super di pasaran tempatan yang mana nilainya bersamaan dengan beras 15 peratus , 10 peratus dan 5 peratus hancur dan mana-mana orang yang memakan beras dari jenis yang baik kadar bayarannya adalah senilai dengannya.
Katanya, fitrah juga boleh dibayar dengan beras dan kadar timbangannya adalah 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak bersamaan dengan satu gantang Baghdad.
“Umat Islam di negeri ini boleh mula membayar fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam disetiap daerah dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang yang dibuka tujuh hari seminggu bermula 26 Julai hingga 7 Ogos,” katanya.
Sehubungan itu, Maidam telah melantik 1,132 amil untuk menjalankan pungutan fitrah atau zakat harta di setiap 496 buah masjid dan lebih 1,000 surau seluruh negeri.
Dato’ Haji Mohd Rozali seterusnya mengingatkan umat Islam agar membayar fitrah kepada amil yang dilantik oleh Maidam dan menjadi kesalahan sekiranya ia dibuat melalui mereka yang tidak bertauliah.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menunaikan fitrah seawal mungkin bagi mengelak sebarang kesukaran dan tidak menunggu hingga saat akhir atau sejurus sebelum solat Idulfitri iaitu waktu terakhir pembayaran.
“Berdasarkan pengalaman lepas terdapat sesetengah orang Islam di negeri ini menunggu saat akhir waktu pembayarannya dan amalan ini boleh menyebabkan fitrah tidak ditunai pada waktu yang ditetapkan,” katanya.