Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyasarkan kutipan zakat tahun ini sebanyak RM120 juta berbanding tahun lalu RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, sasaran berkenaan berdasarkan kesedaran umat islam di negeri ini terhadap tanggung jawab membayar zakat semakin meningkat.
“ Tahun lalu sasaran kita RM100 juta tetapi berjaya mengutip RM107 juta dan tahun ini kita target RM120 juta,” katanya kepada pemberita di pejabat Maidam.
Katanya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kutipan zakat telah mencecah RM39.3 juta berbanding RM29 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu oleh itu jabatan yakin target yang disasarkan dapat dicapai.
Menurutnya, zakat perniagaan menjadi penyumbang terbesar dalam kutipan zakat di negeri ini terutama anak-anak syarikat kerajaan negeri dan institusi kewangan yang mengeluarkan zakat masing-masing.
Mengenai fitrah katanya, tahun lalu pihaknya berjaya memungut RM5.7 juta dan ia menyumbang lima peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu.
“Tahun ini dianggarkan pungutan fitrah akan meningkat kepada RM5.8 juta serta menyeru semua umat Islam supaya menunaikan fitrah seawal mungkin bagi mengelak kesukaran pada waktu puncak,” katanya yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) .