Halaman

10 July 2013

EMPAT KEKUATAN UTAMA BN DI PRK KUALA BESUT- DATO’ AHMAD MASLAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Maslan membariskan empat fakta penting yang boleh membawa kemenangan dan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil (PRK), Dun Kuala Besut.
  Perkara pertama ialah kestabilan negeri, mencakupi keperluan mewujudkan negeri yang stabil di bawah kerajaan yang ada sekarang pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Menteri Besar.
  Kerajaan BN Terengganu memerlukan kedudukan yang kekal kerusi 17- 15 untuk terus mewujudkan kestabilan dan tidak membawa kepada huru-hara dan permasalahan yang merugikan rakyat.
 Walaupun katanya, Yang DiPertua Dewan boleh menjadikan BN terus berkuasa, tetapi keadaan tidak stabil akan wujud dalam kerajaan dan negeri Terengganu jika hanya bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.
  Oleh itu, tiada pilihan lain melainkan pengundi Kuala Besut perlu memastikan BN terus mendapat mandat 17-15 sepertimana sebelum ini, malah kedudukan yang lebih baik lagi dalam PRU 14 nanti.
 Perkara kedua ialah dengan sokongan padu Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang membawa banyak transformasi kepada Malaysia dan seterusnya membuat pelbagai kebajikan untuk rakyat dengan konsep mendahulukan kepentingan rakyat dalam segala perkara.
  “Lebih banyak lagi bantuan-bantuan untuk rakyat nikmati akan diadakan oleh Dato’ Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
  Perkara ketiga ialah ‘pembangunan’ yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi kepentingan penduduk Besut dan Kuala Besut.
 Beliau yakin dan percaya pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan akan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk Kuala Besut.
  Calon profesional muda yang dikemukakan oleh BN untuk penduduk Kuala Besut sudah pasti mempunyai pelbagai idea untuk membangunkan lagi pekan dan kawasan ini.
  Katanya, fakta yang terakhirnya ialah sokongan kepada BN adalah sebagai penyataan kesyukuran dan penghargaan rakyat Kuala Besut khususnya dan Besut amnya kepada Dato’ Seri Haji Idris Jusoh yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan II dalam kabinet Malaysia.
 Menurutnya Kementerian Pendidikan adalah kementerian kanan yang mempunyai tanggungjawab yang besar dan penduduk Besut bertuah kerana Ahli Parlimennya terpilih sebagai Menteri di kementerian berkenaan.
 Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Pengarang Teganukita dan Unit Media Baru (UMB) Negeri Terengganu petang semalam.

Jangan guna masjid untuk berpolitik - Pesuruhjaya JHEAT

Oleh; Esah Abdullah

Semua pemimpin parti politik di negeri ini diingat supaya tidak menggunakan masjid atau surau bagi tujuan berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai depan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, masjid dan surau merupakan tempat ibadah umat Islam dan sebarang perkara yang boleh mencemar kesuciannya perlu dielakkan.

“Saya minta semua umat islam agar mematuhi peraturan serta tidak mengambil kesempatan ke atas masjid dan surau untuk tujuan politik kepartian,” katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.

Katanya, kempen pilihanraya kecil yang dibuat pada bulan puasa hendaklah bersih daripada umpat mengumpat parti lawan sebaliknya katakan perkara yang baik-baik bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

“Dosa memfitnah sangat berat iaitu 70 kali ganda daripada dosa riba’ dan mereka yang mendengar fitnah juga menerima sama seperti orang memfitnah,” katanya.

Tambahnya, bagi mengelak ibadah puasa menjadi sia-sia, adalah kebih baik bercerita tentang kebaikan parti masing-masing tanpa menyentuh keburukan parti lawan untuk menarik pengundi.
 

ZAHANAFI SAGAF SOKONG ZAIHAN


Oleh: Ruslan AR

Zahanafi Sagaf, memberi sokongan penuh kepada calon BN  Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Beliau menyifatkan pemilihan Tengku Zaihan wajar kerana latarbelakangnya adalah merupakan merupakan seorang profesional muda dari Kuala Besut.
  Beliau yang juga mengetuai salah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) dalam Dun Kuala Besut akan berusaha memastikan kemenangan calon BN itu.
  Katanya, sebagai profesional muda (jurutera kanan) dari Kuala Besut, Tengku Zaihan diyakini mampu membawa pembaharuan.
 Beliau adalah salah seorang calon yang disebut-sebut sebelum ini berkata, segalanya ketentuan dari Allah dan yang penting baginya ialah bersama-sama bekerja  memastikan kemenangan BN bagi PRK Kuala Besut.

Penjawat awam perlu kejar keistimewaan bulan Ramadan

Oleh: Suriati Ali

 Penjawat awam beragama Islam perlu mengejar banyak keistimewaan yang dianugerahkan Allah s.w.t menerusi utusan Ramadan yang hanya hadirnya setahun sekali dan mengganggap kehadirannya adalah yang terakhir untuk hayat kita.

 Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata umat Islam perlu mengganggap Ramadan sebagai tetamu Allah s.w.t yang mengunjungi rumah kita, di mana kita pula perlu menjadi tuan rumah terbaik untuk memastikan bulan yang menjanjikan ganjaran istimewa ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Katanya, Ramadan juga harus dijadikan satu bulan yang amat dirindui dan dinantikan di kalangan umat Islam bagi mentarbiah dan memuhasabah diri.



“Pendekatan itu perlu bagi menzahirkan perasaan rindu itu untuk melaksanakan suruhan, tuntutan dan amalan sunat termasuk mengerjakan solat tarawih,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Daru Iman dan Anugerah Pekerja Cemerlang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, penjawat awam juga disaran supaya mencari idea-idea baru yang lebih bernas bagi memenuhi kehendak pelanggan dan orang ramai yang berurusan di jabatan masing-masing.

 “Buat masa ini pihaknya berpendapat penjawat awam perlu mementingkan keberhasilan mereka dalam melaksanakan tugas harian agar rakyat mendapat faedah maksimum.

 “Penjawat awam tidak boleh bekerja secara diam, tetapi mereka perlu bekerja secara berkumpulan dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.

    




Teruskan tradisi penyampaian sumbangan kepada surau dan masjid sempena Ramadhan

Oleh: Noraini Jusoh

Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau sempena bulan Ramadhan 1434H bertempat di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, seperti lazimnya ia diadakan pada setiap tahun dan menjadi tradisi DUN berkenaan, sejak enam tahun yang lalu.

"Kita serahkan barangan seperti kurma dan air zam-zam untuk kegunaan masjid dan surau bagi membantu mereka menyediakan juadah sampingan bagi majlis berbuka puasa serta moreh.

"Setakat ini, terdapat empat masjid dan 23 buah surau dalam DUN Seberang Takir dan semua mendapat sumbangan ini mengikut jumlah yang telah ditentukan,” ujarnya kepada Teganukita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Katanya, selain memberikan sumbangan kepada masjid dan surau, majlis yang diadakan juga bertujuan untuk meraikan iman, bilal dan juga jemaah sembahyang jenazah dalam DUN Seberang Takir.

"Kebiasaannya, majlis sedemikian diadakan pada hari pertama puasa ataupun sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadhan.

"Ia untuk memudahkan iman dan bilal turut serta kerana sepanjang bulan Ramadhan mereka sibuk menguruskan aktiviti masjid dan surau,” katanya.

Beliau mengharapkan sumbagan ini dapat memeriahkan dan mengimarahkan program-program ihya ramadhan yang diadakan di masjid mahupun surau dalam DUN berkenaan.

 

09 July 2013

BIODATA CALON BARISAN NASIONAL (BN) N1 KUALA BESUT

Gambar oleh Zulkipli Putra
Tengku Zaihan bin Che Ku Abd Rahman

Nama: Tengku Zaihan Bin Che Ku Abd Rahman
Umur: 37 tahun
Tarikh Lahir: 4 Ogos 1976
Tempat Lahir: No 666 Kampung Nail,Kuala Besut, Terengganu
Kerjaya: Jurutera Awam Di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia
Pendidikan Awal: Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu.
Pendidikan Akhir: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam USM
Nama Isteri: Siti Salbiah Othman.
Umur: 34 tahun
Pekerjaan Isteri: Guru di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2
Anak: 4 Orang 3 perempuan satu lelaki
Pencapaian: Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan (2006)
 Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan (2011)
 Anugerah Pencetus Idea (2010)
 Politik: Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Pekan Baru, Kuala Besut.

Tiga kadar fitrah ditetapkan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Tiga kadar fitrah telah ditetapkan bagi negeri Terengganu tahun ini iaitu RM7.60 atau RM7 atau RM4.50 bagi setiap orang.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato, Haji Mohd Rozali Saleh berkata, kadar yang ditetapkan ini adalah sama seperti tahun lepas.

Dato' Haji Mohd Rozali menunjukkan kad tauliah amil 
yang dikeluarkan oleh Maidam
“Mana-mana umat Islam di negeri ini yang akan menunaikan fitrah dengan wang tunai boleh memilih salah satu dari tiga kadar tersebut,” katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) petang ini.

Menurutnya, kadar nilaian tunai dikira berdasarkan kepada harga beras gred super di pasaran tempatan yang mana nilainya bersamaan dengan beras 15 peratus , 10 peratus dan 5 peratus hancur dan mana-mana orang yang memakan beras dari jenis yang baik kadar bayarannya adalah senilai dengannya.

Katanya, fitrah juga boleh dibayar dengan beras dan kadar timbangannya adalah 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak bersamaan dengan satu gantang Baghdad.

“Umat Islam di negeri ini boleh mula membayar fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam disetiap daerah dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang yang dibuka tujuh hari seminggu bermula 26 Julai hingga 7 Ogos,” katanya.

Sehubungan itu, Maidam telah melantik 1,132 amil untuk menjalankan pungutan fitrah atau zakat harta di setiap 496 buah masjid dan lebih 1,000 surau seluruh negeri.

Dato’ Haji Mohd Rozali seterusnya mengingatkan umat Islam agar membayar fitrah kepada amil yang dilantik oleh Maidam dan menjadi kesalahan sekiranya ia dibuat melalui mereka yang tidak bertauliah.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menunaikan fitrah seawal mungkin bagi mengelak sebarang kesukaran dan tidak menunggu hingga saat akhir atau sejurus sebelum solat Idulfitri iaitu waktu terakhir pembayaran.

“Berdasarkan pengalaman lepas terdapat sesetengah orang Islam di negeri ini menunggu saat akhir waktu pembayarannya dan amalan ini boleh menyebabkan fitrah tidak ditunai pada waktu yang ditetapkan,” katanya.
 

Golongan muda sokong calon BN Kuala Besut

Tengku Zaihan 



Oleh: Kamarudin Mat Akib 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pemuda Umno Terengganu yakin calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, akan mendapat sokongan padu daripada pengundi muda di kawasan berkenaan.

Malah, Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisaham Zaki, turut menaruh keyakinan yang besar calon berkenaan bakal menjadi pilihan majorit penghundi di kawasan itu, sekaligus membantu memastikan kemenangan BN pada PRK berkenaan.

 “Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, kita (BN) agak sukar untuk mendapat undi daripada golongan muda.

 “Bagaimanapun, pada PRK ini saya yakin Tengku Zaihan mampu meraih undi daripada generasi muda kerana beliau merupakan calon terbaik yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan BN,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas pencalonan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat) Tengku Zaihan, 37, sebagai calon BN pada PRK Kuala Besut, pada 24 Julai ini.

Pengumuman tersebut dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, selaku Pengarah Pilihanraya BN, di Dataran Kuala Besut, petang ini.

Encik Badrul Hisham berkata, pihaknya akan menggerakkan jentera parti bagi membantu calon BN menang pilihan raya dan mendapat majoriti yang lebih besar seperti yang dihajati pucuk pimpinan BN.

 “PRK ini tidak boleh dipandang ringan dan kita perlu berjuang berhabis-habisan bagi mempertahakan kedudukan BN sebagai kerajaan yang memerintah negeri ini,” katanya.

 

Balu Dr.A Rahman terima PJK

Oleh: Noraini Jusoh

Balu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, Hajah Azizah Nik Omar dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Sukan, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) dan balu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia baru-baru.

Hajah Azizah hadir bersama anaknya bongsunya, Nurul Najihah, pada majlis tersebut.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli untuk Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran negeri kepada 217 penerima sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan baginda pada tahun ini.

Menurut Hajah Azizah, walaupun baru kehilangan suami tercinta beliau tetap menguatkan semangat untuk hadir ke majlis berkenaan.

"Saya gembira bercampur sedih dengan penganugerahan pingat ini kerana begitu merasakan ketiadaan arwah di sisi, tetapi dengan adanya Nurul Najihah bersama saya pada hari ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu saya pada arwah.

"Pemergian arwah membuatkan saya betul-betul rasa kehilangan tetapi demi anak-anak saya perlu terus tabah dan kuat dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis tersebut.

Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Srikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud kerana telah mencalonkannya untuk menerima pingat itu.

 

TENGKU ZAIHAN BERUSIA 37 TAHUN CALON BN PRK KUALA BESUT

Laporan terus dari: Ruslan Abdul Rahman, Fauzi Mohd dan Haji Mohamad Ishak dari Besut. 

 Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat) Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.
  Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, selaku Pengarah Pilihanraya BN, di Dataran Kuala Besut, sebentar tadi dan disambut sorakan kira-kira 4,000 penyokong BN yang hadir.
Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan para pemimpin parti komponen.
  Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Tengku Zaihan adalah taruhan terbaik BN untuk pengundi di DUN Kuala Besut berdasarkan pengalaman luas beliau dalam jabatan kerajaan dan boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.
  Tegas beliau  pemilihan Tengku Zaihan dibuat selepas melalui proses pemilihan yang mengambilkira kehendak tempatan dan calon yang 'winable"
 “Saya yakin ini adalah calon terbaik.  Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik" katanya.
 Calon yang diterima oleh semua,” ujar beliau.
  Tengku Zaihan ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon pilihan raya berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘pilihan raya kecil yang besar’
  Anak kelahiran tempatan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.
  “Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya demi rakyat Kuala Besut,” katanya yang juga ahli UMNO Cawangan Seri Seratus dan anak kepada veteran Umno.
  Tengku Zaihan sebenarnya telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan berkenaan ketika berkhidmat sebagai Jurutera Daerah JPS Besut.