Halaman

07 October 2013

Berkempen secara berhemah-Pengerusi BPUNT

Oleh; Esah Abdullah 

"Berkempen tidak salah tetapi biarlah secara berhemah," itu nasihat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada semua ahli Umno yang menawarkan diri bagi bertanding pelbagai jawatan parti tahun ini.

“Bila ada pertandingan memanglah perlu berkempen tetapi elakkan dari menfitnah kawan sendiri semata-mata untuk menang dalam parti,” katanya ketika berucap di majlis Pengenalan Calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Exco Pergerakan Sayap Umno di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Katanya, berkempenlah secara sihat jangan sampai jatuh menjatuhkan pihak lawan itu dikira tidak bagus untuk masa depan parti yang ditunjangi bersama. Lebih 2,000 perwakilan Umno termasuk calon dari tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri serta MKT  memperkenalkan diri masing-masing.

Calon Naib Presiden yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dan juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Dato’ Seri Mohd Ali Rustam turut hadir.

Antara calon MKT yang hadir termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengingatkan semua jentera calon agar tidak membuat kesilapan ketika berkempen kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada parti terutama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

 

Haikal Juara Termuda 'Speed Race'.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Haikal gembira bersama hadiah dimenangi kumpulannya.
SETIU: Pemenang paling muda dalam Karnival ‘Speed Race” yang diadakan sempena Sultan Mizan Cup 2013,di sini kelmarin , berhasrat mahu menjadi juara Kejohanan Kuda Lasak peringkat antarabangsa suatu hari ini.

Haikal Danial Darim, 7 tahun, berasal dari Tok Jiring, Kuala Terengganu, berkata, cita-citanya itu bermula apabila sering datang menyaksikan kejohanan Sultan Mizan Cup sejak dari kecil lagi dan melihat aksi kuda yang menyertai kejohanan itu.

“Nak jadi juara dunia suatu hari ini, saya minat kuda sejak umur empat tahun lagi. Ayah selalu ajar naik kuda sehinggalah saya boleh tonggang kuda dengan baik sekarang,” katanya yang menang dalam acara “sprint” test.

Haikal berkata, selepas mengetahui minatnya terhadap kuda, ayahnya sentiasa mengajar mengendalikan kuda pada setiap petang dan hari minggu dan kini dia boleh menonggang kuda dengan baik. “Walaupun saya selalu bermain kuda tetapi saya tida lupa pada pelajaran dan saya mahu berjaya dalam kedua-dua bidang itu,” katanya.

Sementara itu, seramai 20 peserta menyertai carnival itu yang terbahagi kepada tiga kelas iaitu kelas A, B dan C. Turut diadakan juga ialah pertandingan kuda cantik yang dimenangi kuda milik Mohd Hashim Yusof yang bernama Putri.

Manakala tempat kedua ialah kuda bernama Tengkok Pendek milik Mohd Hafizol Azhar dan tempat ketiga ialah kuda Pok Hashim Kuda bernama Aibox. Dalam kategori Kelas A, pemenang ialah Mohd Hafizi Mohd Zahri, kedua Ahmad Fitri Amin Muhammad dan ketiga ialah Mohd Afizol Azhar.

Kategori B pula pemenang ialah Wan Muhd Azmer Wan Zakaria, kedua, Mohd Afizol Azhar dan ketiga Kahirul Anwar. Hadiah-hadiah berupapa hamper dan wang tunai di sampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.



Pemuda Umno relevan, wadah penting orang muda : KJ

Oleh: Aida Abd Rahman

Persaingan dan perebutan golongan muda bertanding pelbagai jawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno membuktikan sayap parti itu masih relevan sehingga kini, kata Ketua Pergerakannya, YB Khairy Jamaluddin.

“Seramai 75 calon yang menawar diri bertanding bagi jawatan exco Pemuda ( Pusat). Ini sebenarnya bagus kerana menggambarkan bahawa Umno dan terutama nya Pemuda Umno masih relevan lagi, sehingga jawatan-jawatan dalam Pemuda Umno Pusat menjadi tumpuan dan rebutan ramai.

“Jika umno tidak relevan tiada yang berminat dengan Pemuda Umno,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama pemimpin Belia dan Masyarakat, di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Pasir Panjang, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Mohd Mahdi Musa, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda dan Pengerusi Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Mohd Iskandar Jaafar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Pada majlis itu, YB Khairy turut menyampaikan sumbangan dana kementerian sebanyak RM260,000 kepada 660 persatuan belia di seluruh Terengganu.

Menurutnya, sambutan baik di kalangan calon orang muda yang menawarkan diri juga memberi gambaran positif bahawa Pemuda Umno menjadi wadah penting bagi menyampaikan aspirasi dan suara golongan muda terutama anak Melayu.

Beliau turut menasihatkan supaya perwakilan bijak dan mampu membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pemimpin yang dapat memenuhi aspirasi mereka menerusi pergerakan itu, pada pemilihan Umno nanti.

“Pada masa yang sama, saya harap walaupun ramai calon, perwakilan dapat buat pilihan yang tepat dan memilih exco pemuda yang konsisten melakukan kerja serta bukan hanya rajin melakukan kerja ketika waktu kempen.

“Tetapi yang mana kita dapat nilai bahawa dia ikhlas dan jujur untuk membuat kerja pada empat hingga lima tahun akan datang,”katanya.


Vateran perlu dekati golongan muda- Zulkifly

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Zulkifly(dua dari kini) berucap ketika merasmikan mesyuarat.
Antara ahli veteran UMNO Setiu yang hadir.
SETIU: Veteran UMNO perlu mendekati golongan muda agar mereka tidak semakin jauh dengan perjuangan UMNO, sekaligus mewujudkan golongan pelapis dalam parti dan memastikan UMNO terus relevan pada masa depan.

Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh, berkata hubungan baik antara veteran UMNO dengan golongan muda perlu diwujudkan secara berterusan supaya mereka akan sentiasa mendapat maklumat yang betul tentang UMNO dan tidak akan meninggalkan parti.

“Kalau boleh kita sebagai orang lama atau veteran ini kena cakna kepada orang muda supaya mereka ingat kepada perjuangan orang-orang lama ini. Kita lihat ada di antara mereka semakin jauh dengan UMNO, oleh itu kita sama-samalah mendekati mereka dan mengambil tahu apa yang mereka lakukan.

“Kita akan tubuh satu persatuan untuk pemuda-pemuda yang berada di luar daerah yang bekerja di Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain supaya sentiasa ada hubungan dan mudah untuk kita menyalurkan maklumat yang betul kepada mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Vateran UMNO Setiu di Bandar Permaisuri, semalam.

Zulkifly...tanding secara sihat.
Che Zulkifly berkata, menjelang pertandingan merebut beberapa jawatan dalam pemilihan UMNO Bahagian nanti, beliau mahu semua pihak bertanding secara sihat dan elakan berlaku sebarang perpecahan yang boleh meruntuhkan parti.

“Kalau bertanding pasti akan wujud bibit-bibit perpecahan, oleh itu bertandinglah secara sihat dan berhemah supaya UMNO akan kukuh dan terus mentadbir daerah Setiu,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 30 vateran UMNO dari beberapa cawangan UMNO Setiu hadir di Persidangan Agong Tahunan Majlis Vateran UMNO yang berlangsung di Bangunan Perpustakaan Lama itu.


06 October 2013

KRT Lay Out Tok Saboh,Kuala Besut juara Kempen Kibar Jalur Gemilang 2013


Mohd Mahdi menyampaikan hadiah kepada wakil KRT Lay Out Tok Saboh.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lay Out Saboh,Kuala Besut, mencatat sejarah apabila muncul johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) Peringkat Negeri Terengganu 2013 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

Dengan kejayaan itu KRT Lay Out membawa pulang RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan. Tempat Kedua ialah KRT Pancor Merah,Guntong,Setiu, mendapat RM2,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penyertaan. Manakala tempat ketiga ialah KRT Alur Ketitir,Marang memperolehi RM1,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah itu dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Yang Berhormat Mohd Mahdi Musa yang mewakili Yang Amat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Majlis yang berlangsung di Dewan Berlian Utama,Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sempena Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu itu turut disertai lebih 1,000 tetamu mewakili ahli jawatankuasa KRT Rukun Tetangga seluruh Terengganu.

Pengarah JPNIN Terengganu,Baharuddin Haji Daud berkata, pertandingan KKJG itu bermula 17 Ogos dan berakhir 17 September lalu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan selain menyemai semangat patriotik dikalangan warga KRT.

Beliau yang bangga dengan sambutan yang diberikan oleh KRT terbabit berharap usaha berterusan dilakukan oleh KRT negeri ini untuk membangkitkan semangat cintakan negara melalui kempen berkenaan.

Sementara itu Mahdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera memuji usaha yang dilakukan oleh JPNIN kerana penganjuran program berkenaan kerana ia dapat mewujudkan semangat rakyat mencintai negara. .

Usah rosakkan meter parkir - Exco

OLEH : CHE KU ZAINAL BIN CHE KU MUDA 


 Penduduk tempatan diingatkan supaya tidak mengamalkan vandalism ke atas Sistem Meter Pakir Berbayar yang dipasang di sekitar bandar negeri ini kerana ia merupakan usaha murni Kerajaan Tempatan bagi memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing dengan lebih sistematik dan teratur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri, YB Roslee Daud berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dengan tidak mengkhianati sebarang usaha kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat kerana ia dilakukan bagi tujuan memudahkan orang ramai.

Beliau berkata, meskipun meter pakir tersebut berbayar namun ia tidak membebankan dan boleh memudahkan orang ramai dan rakyat negeri ini bagi meletakkan kenderaan dengan tersusun serta bergilir-gilir.

“Kita tahu sistem pakir bermeter dikenakan bayaran tetapi ia adalah usaha murni Kerajaan Tempatan dalam usaha supaya orang ramai meletakkan kenderaan mereka secara tersusun, teratur dan sistematik.

 “Oleh yang demikian, janganlah lakukan vandalism ke atas meter tersebut dengan meletakkan benda-benda yang boleh merosakkan meter berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Parking Bermeter oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di Perkarangan 7 Eleven di Pusat Perniagaan Sura Gate di sini semalam yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan.

Pada majlis tersebut beliau turut memberitahu bahawa MPD telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi memasang 457 meter pakir berbayar secara keseluruhannya di bandar Dungun dan dari jumlah itu sebanyak 278 meter dipasang khusus di Pusat Perniagaan Sura Gate sahaja.

YB Roslee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Besi berkata, dengan kadar 10 sen bagi 10 minit adalah berbaloi dan tidak membebankan orang ramai dan pengguna di samping boleh menghindarkan kesesakan.

Sementara itu, YDP MPD, Zulkifli Bakat berkata, orang ramai perlu meletakkan duit paling minima sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen untuk setiap minit berikutnya.

Beliau berkata, tarikh beroperasi ialah pada 1 Oktober ini bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada setiap hari kerja iaitu Sabtu sehingga Khamis manakala hari Jumaat dan kelepasan am dikecualikan.

 “Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan MPD iaitu dengan memasukkan duit sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen bagi setiap minit seterusnya bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun oleh Penguatkuasa MPD.

 “Jika mereka gagal mematuhi arahan ini dan didapati mereka tidak meletakkan duit maka mereka akan dikenakan tindakan saman atau kompaun dan sebarang kesulitan bolehlah menghubungi 09 8481931 atau 012 9652084 puan Zalehah Mohamad”, jelasnya.

 

Jadikan Bahasa Melayu bahasa teras

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA


Rakyat di negara ini diminta supaya menjadikan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa teras dalam usaha untuk memertabatkan bahasa berkenaan sebagai bahasa Kebangsaan.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sariyan menegaskan bahawa BM adalah bahasa asal di Tanah Melayu dan ia telah diamalkan sejak berkurun-kurun yang lampau.

Beliau berkata, selain orang-orang Melayu BM turut diamalkan oleh bangsa lain di negara ini seperti Cina, India, Kadazan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau meminta supaya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini supaya sama-sama memainkan perana ke arah memartabatkan BM dengan penganjuran bengkel-bengkel BM.

“Kita tahu bahawa DBP telah diwujudkan oleh kerajaan sejak tahun 1956 lagi dan tujuan utamanya ialah untuk memartabatkan BM kita semua harus berterima kasih kepada para penulis yang terdahulu dengan gigih menulis cerpen, novel, puisi dan sebagainya.

 “Oleh itu, saya sarankan agar semua pelajar termasuk pensyarah di IPTA atau universiti yang setaraf dengannya supaya memartabatkan BM supaya menjelang tahun 2020 BM tidak lagi menjadi mandul”, tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu yang diwakili Rektornya, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi di Dewan Bidara di Hotel UiTM di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut pengasas Noor Arfa Batik, Wan Mohd. Ariffin Wan Long dan Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, Hasimah Salleh turut mengadakan MoU dengan UiTM.

 Selain itu, Awang meminta agar pelajar dan pensyarah UiTM merancakkan lagi bengkel-bengkel penulisan supaya BM tetap menjadi gah di Rantau Asia dan juga dunia.

Bercakap kepada pemberita, Abdol Samad berkata UiTM telahpun menghantar sebanyak 30 manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Sebenarnya, sudah lama UiTM memartabatkan BM dan telah banyak buku yang berbentuk ilmiah dicetak dan kita juga sudah menghantar sebanyak 30 naskah manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Jadi dengan termenterainya MoU di antara UiTM dengan DBP ia akan menguatkan lagi usaha kami bagi memastikan BM terus gah dan sangat berharap agar semua rakyat di negara ini supaya mengamalkan BM,” katanya.

UiTM Dungun naib juara kejohanan Petanque

Oleh: Che Ku Zainal Che Ku Muda 


Universiti Malaysia Pahang (UMP) membuktikan pasukan mereka berbisa apabila berjaya mengondol tiga kategori single lelaki, double lelaki dan double wanita Kejohanan Petanque IPT Piala Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Zon Timur yang berlangsung di Gelanggang Petanque, Jalan Nibong, Dungun, kelmarin.

Pada perlawanan akhir bagi kategori single lelaki, pasukan itu menumpaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu dengan kiraan mata 13-9 dan 13 -8 dan seterusnya mengondol hadiah wang tunai RM300 dan medal.

 UiTM Terengganu di tempat kedua menerima wang tunai RM200 sementara tempat ketiga dimenangi pasukan INSTEP yang menerima RM100. Kategori double lelaki, pasukan UMP yang menjuarai kategori itu menerima RM500 selepas menumpaskan Politeknik Kota Bahru 13-7 dan 13-9 dan Politeknik Kota Bahru Menerima RM300 sementara ditempat ketiga dimenangi pasukan INSTEP yang menerima RM200.

Pada kategori double wanita, pasukan UMP menewaskan pasukan Kolej Polytech Mara (KPTM) dengan mata 11-7 dan 11-5 sekaligus menggondol wang tunai RM500 dan KMP menerima RM300 sementara tempat ketiga dimenangi pasukan Politeknik Sultan Ahmad Shah Kuantan (POLISAS) menerima RM200.

Pasukan KPTM Kota Baru muncul juara kategori single wanita menerima RM300 selepas menumpaskan pasukan UMP 11-6 dan 11-6 dan UMP yang naib juara menerima RM200 sementara tempat ketiga dimenangi UiTM Terengganu menerima RM100.

Ketegori triple lelaki pula menyaksikan pasukan Politeknik Kota Baru muncul juara menerima RM 750 menumpaskan pasukan UMP dengan mata 13-8 dan 13-6. UMP selaku naib juara menerima RM500 sementara Kolej Komuniti Temerloh (KKT) di tempat ketiga menerima RM300.

Pasukan Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) A, muncul juara menerima RM750 selepas berhempas pulas menjinakkan pasukan adik mereka KKKT B’ yang menerima RM500 sementara tempat ketiga dimenangi Kolej Komuniti Kok Lanas RM300.

Ketegori beregu campuran pula, POLISAS muncul juara selepas menjinakkan KKKT A’ dengan mata 13-6 dan 13-8. POLISAS menerima RM500 dan KKKT A’ menerima RM300 smenetara Kolej Komuniti Kok Lanas ketiga menerima RM200.

Seramai 136 peserta membabitkan 16 Institut Pengajian Awam dan Institut Pengajian Swasta dari zon timur mengambil bahagian dan hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Kolej Komuniti Terengganu, Che Mukhtar Bakar dan Pengerusi Petanque Dungun, Malik Musadali.

Golongan belia sangat beruntung – YB Rozi

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Golongan belia merupakan golongan yang sangat beruntung kerana mendapat perhatian daripada kepimpinan negeri dari pelbagai sudut bantuan kewangan dan sokongan moral.

YB Haji Rozi (kanan) melihat kad keahlian Belia 4B Malaysia Terengganu yang baru diperkenalkan oleh YB Iskandar.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, kerajaan membelanjakan RM1.2 juta untuk menjalankan aktivit belia di negeri ini.

Amanat yang disampaikan YB Rozi kepada belia seluruh negeri pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia Terengganu Ke-41.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta setahun di bawah Program Bakti Remaja,” katanya di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia Terengganu Ke-41, di Stadium Tertutup , Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Enci Rosli Yusof; Komanden Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mejar Abdul Aziz Yahya dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda.

Katanya, orang muda perlu menjadikan setiap cabaran dan kekurangan yang dihadapi sebagai proses mematangkan diri serta sedia berubah menjadi lebih matang dan bersikap terbuka.

“Negeri dan negara memerlukan pemimpin pelapis yang berdaya saing serta berwawasan dan golongan muda hari ini merupakan sandaran kepimpinan akan datang,” katanya.

Katanya, jangan persiakan pengorbanan kerajaan yang berhabis berjuta ringgit bagi melaksanakan program membina jati diri serta ketahanan fizikal dan mental golongan muda agar meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

YB Haji Rozi seterusnya berharap kepimpinan baru dalam Belia 4B dapat memikul amanah dan tanggung jawab sebaik mungkin serta melaksanakan aktiviti di peringkat cawangan secara menyeluruh.

“Saya yakin kepimpinan baru ini mampu berbuat sesuatu untuk mengembalikan keyakinan dan kesedaran orang muda untuk mempertahankan kemakmuran dan keamanan negara yang sebenarnya berada di tangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu lapan kawasan Belia 4B iaitu kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman masing-masing menerima bantuan pentadbiran RM1,000 setiap kawasan yang disampaikan oleh YB Haji Rozi.
 

Kesinambungan kepimpinan lalu diteruskan-YB Iskandar

YB ISKANDAR
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kesinambungan kepimpinan lalu diteruskan dan penyelarasan aktiviti digerakkan diseluruh negeri agar setiap orang muda merasa sentuhan melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Iskandar Jaafar merancang melaksanakan sebarang aktiviti perlu diselaraskan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau disetiap mukim.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Iskandar Jaafar ketika berucap di majlis perasmian mesyuarat agung pergerakan itu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

“Setiap PDM atau mukim dikenalpasti untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan atau yang menjurus kepada minat dan kesesuaian keadaan setempat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Setiu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis perasmian Mesyuarat Agung Pergerakan Belia 4B Malaysia Terengganu kali ke-41 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

YB Iskandar merupakan pengerusi baru dilantik mengantikan YB Haji Rozi Mamat yang memegang jawatan itu selama dua penggal dan pelepasan jawatan berkenaan adalah kerana telah melebih usia,

Katanya, beliau akan meneruskan kesenimbungan kepimpinan terdahulu serta berusaha menarik perhatian golongan muda menghargai sumbangan dan jasa kerajaan dalam membangunkan orang muda.

“Ini merupakan satu peluang dan ruang yang harus diambil untuk mengisi program menjurus kepada kegiatan sosial yang membawa kepada minat mereka untuk memahami dan membantu kerajaan dalam pelaksanaan dasar dan program,” katanya.

Katanya, cabaran memimpin belia hari ini ialah bagaimana untuk mengisi ruang yang ada memberi tambahnilai kepada golongan itu agar bersama menjalankan tanggung jawab sebagai seorang warga negara yang berjaya.

Selain itu katanya, beliau akan berusaha untuk mencetuskan inovasi baru agar golongan ini lebih kreatif dalam mengerakkan persatuan mengikut minat dan kecenderungan di kawasan masing-masing.

“Program yang dilaksanakan mestilah seiring dengan kemahuan orang muda dan mereka mungkin ada idea bagus untuk diketengahkan dan sebagai pemimpin kita perlu mendengar suara di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, sokongan padu yang diberikan sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga dan juga masa selagi ianya selari dengan kehendak kerajaan serta tidak menyimpang dari nilai norma dalam masyarakat.