Halaman

07 October 2013

Pemuda Umno relevan, wadah penting orang muda : KJ

Oleh: Aida Abd Rahman

Persaingan dan perebutan golongan muda bertanding pelbagai jawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno membuktikan sayap parti itu masih relevan sehingga kini, kata Ketua Pergerakannya, YB Khairy Jamaluddin.

“Seramai 75 calon yang menawar diri bertanding bagi jawatan exco Pemuda ( Pusat). Ini sebenarnya bagus kerana menggambarkan bahawa Umno dan terutama nya Pemuda Umno masih relevan lagi, sehingga jawatan-jawatan dalam Pemuda Umno Pusat menjadi tumpuan dan rebutan ramai.

“Jika umno tidak relevan tiada yang berminat dengan Pemuda Umno,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama pemimpin Belia dan Masyarakat, di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Pasir Panjang, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Mohd Mahdi Musa, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda dan Pengerusi Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Mohd Iskandar Jaafar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Pada majlis itu, YB Khairy turut menyampaikan sumbangan dana kementerian sebanyak RM260,000 kepada 660 persatuan belia di seluruh Terengganu.

Menurutnya, sambutan baik di kalangan calon orang muda yang menawarkan diri juga memberi gambaran positif bahawa Pemuda Umno menjadi wadah penting bagi menyampaikan aspirasi dan suara golongan muda terutama anak Melayu.

Beliau turut menasihatkan supaya perwakilan bijak dan mampu membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pemimpin yang dapat memenuhi aspirasi mereka menerusi pergerakan itu, pada pemilihan Umno nanti.

“Pada masa yang sama, saya harap walaupun ramai calon, perwakilan dapat buat pilihan yang tepat dan memilih exco pemuda yang konsisten melakukan kerja serta bukan hanya rajin melakukan kerja ketika waktu kempen.

“Tetapi yang mana kita dapat nilai bahawa dia ikhlas dan jujur untuk membuat kerja pada empat hingga lima tahun akan datang,”katanya.