Halaman

10 October 2013

Tanam 'Timun Cina' dapat RM50 ribu setahun.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Kebun tembikai Norizan di Lembah Bidong.
SETIU: Seorang ibu dari Lembah Bidong, di sini tidak pernah jemu mengusahakan tanaman buah tembikai sejak lebih 10 tahun lalu bersama suaminya demi untuk membesarkan anak-anaknya walaupun terpaksa berhadapan dengan panas terik matahari .

Norizan Yatim, 53, dari Perumahan PPRT Lembah Bidong yang mengusahakan tanah seluas kira-kira lima ekar itu mampu memperolehi pendapatan kasar iaitu sekitar RM50, 000 setahun melalui tanaman dua kali setahun itu.

Ibu kepada lima orang anak ini sudah lali dengan panas terik dan basahan hujan malah pada musim tembikai berbuah dia akan bermalam di sebuah bangsal kecil bersama suaminya meninggalkan anak-anak di rumah.

Norizan..gigih berusaha.
“Biasalah kerja petani macam ini, panas ke hujan ke, kami tetap datang ke sini untuk menjaganya. Adakalanya kami bermalam di sini kerana menjaga buah daripada di makan babi. Biasanya kami bermalam lebih seminggu sehingga buah-buah habis dikutip.

"Sekali tanam tu dapatlah sekitar RM25 ribu. Itu pendapatan kasar, apabila ditolak semua cukuplah untuk kami makan sekeluarga,” katanya.

Norizan berkata, mengusakan tanaman tembikai, tidaklah susah kerana ia hanya perlu menjaga batas daripada ditumbuhi rumput dan perlu menyiramnya dua kali sehari sekiranya hari panas manakala membaja pula hanya tiga kali sahaja.

“Tanaman buah tembikai ini hanya memakan masa sekitar tiga bulan sahaja dan saya tanam dua kali setahun kerana bulan 11, 12 dan 1 adalah musim banjir manakala 2 dan 3 pula musim panas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia juga pernah mengalami kerugian sebanyak dua kali kerana tanamannya itu musnah akibat banjir beberapa tahun lalu.

Ibu kepada lima anak itu kita baru dapat merasa sedikit kesenangan kerana kesemua anak-anaknya sudah habis belajar dan ada yang sudah bekerja.

“Dulu dapat duit digunakan untuk belanja anak-anak sekolah tetapi kini bolehlah simpan sikit untuk masa depan. Terima kasihlah kepada kerajaan sekarang kerana menyediakan rumah PPRT untuk saya dan memberi tanah ini untuk mengusahakan tanaman tembikai,” katanya yang berasal dari Mengabang Telong itu.