Halaman

08 October 2013

Beri pendidikan terbaik untuk anak- isteri MB.

Oleh: Aminudin Ismail. 
Gambar Ihsan: Sapavi (Pejabat Kemas Terengganu).

SETIU: Ibubapa perlu meluangkan lebih masa terhadap anak-anak dengan memberi ilmu dan pendidikan yang sempurna kepada mereka sejak kecil lagi supaya apabila meningkat dewasa kanak-kanak itu dapat menjadikan ilmu yang diberi ibubapa sebagai panduan untuk masa depan.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Norliza Mahmud, berkata dengan ilmu dan panduan hidup yang diberi ibubapa sekurang-kurangnya ia boleh menghalang anak-anak daripada melakukan perkara yang tidak baik.

“Sebenarnya kanak-kanak ini dilahirkan putih bersih tanpa noda dan dosa, kita sebagai ibubapalah yang akan mencorakannya menjadi manusia yang baik dan sempurna. Mereka ini diberi oleh Allah s.w.t akal dan fikiran serta kebolehan dan keupayaan.

“Seawal tadika ini kanak-kanak harus diberi ruang untuk menentukan kebolehan masing-masing. Kita juga sebagai ibubapa perlu mendidik serta memberi pelajaran yang terbaik kepada anak-anak anugerah Allah ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi KEMAS Terengganu 2013, yang diadakan di Sungai Tarom, di sini, semalam.

Pertandingan bolesepak turut diadakan.
Dalam pada itu, To' Puan Seri Norliza berkata, program Hari Potensi Kemas Terengganu 2013 itu banyak memberi faedah kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mengenengahkan bakat semulajadi mereka dalam bidang-bidang tertentu dan dapat membentuk minda menjadi lebih baik.

Sehubungan itu, beliau berharap KEMAS dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti seumpama itu supaya kanak-kanak sentiasa dapat didedahkan dengan perkara-perkara yang boleh membantu perkembangan minda mereka supaya dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang pintar menjelang 2020.

Beliau mengingatkan warga Kemas supaya terus menyumbang dan bersama-sama berkongsi idea ke arah memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

Turut hadir pada majlis perasmian penutup program itu ialah Penolong Pengarah operasi (I) KEMAS Terengganu, Zarina Razlan dan isteri wakil-wakil rakyat Parlimen Setiu.

Sementara itu, lebih 500 murid Tadika KEMAS seluruh Terengganu hadir menjayakan program Hari Potensi Kemas peringkat negeri Terengganu itu. pelbagai acara diadakan, antaranya ialah sukan, persembahan, syarahan kanak-kanak dan majlis penyampaian anugerah.