Halaman

12 October 2013

Unisza perhebat promosi

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperhebat promosi dalam usaha mengantarabangsa institusi berkenaan ke seluruh dunia.

 Baru-baru ini, UniSZA berkunjung ke China dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga universiti iaitu Guangzhou University, Jinan University dan Beihang University.

 MoU itu ditandatangani Presiden Guangzhou University Prof. Yu Jian She, Presiden Jinan University, Prof. Jun Hu dan Presiden Beihang University, Prof. D. Jiang Tao manakala UniSZA diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

 Majlis menandatangani MoU di Guangzhou itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Profesor Dr. Amran Ahmed dan Pengarah Kampus Antarabangsa UniSZA Profesor Dr. Mohd Zambri Jaafar.

Menurut Yahaya, MoU itu membuka jalinan kerjasama lebih luas termasuk melibatkan aktiviti penganjuran bengkel dan seminar di peringkat antarabangsa dan penyelidikan mengenai isu-isu semasa yang akan dipersetujui dari semasa ke semasa.

 "Selain itu, MoU berkenaan turut melibatkan pertukaran pelajar, staf akademik, profesor pelawat antara institusi-institusi tersebut serta kerjasama lain dalam bidang akademik," katanya kepada pemberita.

Menurut Yahaya, melalui perjanjian persefahaman itu UniSZA dapat mengembangkan lagi sistem pengajian yang sedia ada selain mempromosi pengajian kepada masyarakat luar terutama warga China.

"Usaha ini juga bagi mengukuhkan UniSZA sebagai sebuah universiti yang mempunyai keunggulan komparatif dan berdaya saing setaraf dengan universiti-universiti lain.

"Malah, kerjasama ini turut menjadi pemangkin dalam usaha meningkatkan kualiti akademik dalam kalangan pensyarah dan pelajar di UniSZA," katanya.