Halaman

11 October 2013

FGS medan pertemuan pecinta gamelan seantero dunia

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 14 penyertaan akan mengambil bahagian dalam Festival Gamelan Sedunia (FGS) yang akan berlangsung di Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu bermula 25 hingga 27 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata, tujuh daripadanya kumpulan gamelan dari luar negara dan selebihnya dari dalam negara.

“Kumpulan dari luar negara antaranya ialah Kumpulan Gamelan Melayu Nusantara Nottingham, Eropah; Gamelan Gabungan Karawitan Darmasiswa, Eropah; Gamelan Wasabi, Jepun; Gamelan Central Conservatory of China, China.

“Gamelan Gondrong Gunarto, Jawa, Indonesia; Gamelan Sangrila,B , Indinesia dan Cak Lempong Gastarana, Bukit Tinggi, Indonesia,” katanya kepada pemberita di Muzium Negeri Terengganu semalam.

Selain itu katanya, kumpulan professional dalam negara yang mengambil bahagian ialah Gamelan Hands Percussion; Gamelan Rhythms in Bronze; Gamelan Swakarya Pakngah Production; Gamelan Okestra Tradisional 1Malaysia, Istana Budaya; Gamelan Gema Gangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Gamelan Alkis Gamawan.

Katanya, tiga kumpulan gamelan dari negeri ini turut membuat persembahan ialah Gamelan Suktra, Gamelan SaGa Warisan dan Gamelan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu.

“Kira-kira 400 peserta akan mewarnai sepanjang festival berkenaan yang turut diadakan persembahan serta bengkel yang dikendalikan oleh pakar gamelan dari Malaysia, Indonesia dan Eropah,” katanya.

Katanya, tujuan utama bengkel adalah untuk memberi pendedahan kepada pencinta gamelan mempelajari dan seterusnya mendalami seni permainan alat muzik gamelan Melayu, alat muzik gamelan Jawa serta alat-alat muzik gamelan Bali.

Menurutnya, FGS kali ketiga ini merupakan medan pertemuan pencinta gamelan seantero dunia dan juga diterjemahkan sebagai satu acara bagi memeriah serta menjayakan kempen tahun Melawat Terengganu.